Tropicana Plantation Pelopori Tanaman Nanas
Menggunakan Teknik Anak Benih Tisu Kultur MD2 untuk Tingkatkan Hasil
Oleh: Wartawan Agro Malaysia
APA juga rancangan pembangunan ekonomi negara yang dilaksanakan kerajaan tidak akan mencapai matlamat sebenar ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 jika pihak swasta dan syarikat mega tidak memainkan peranan membabitkan syarikat dalam projek berkaitan pembangunan ekonomi.
Selain rakyat, syarikat swasta sama ada terlibat dalam bidang pembuatan, pertanian, ternakan dan industri hiliran adalah merupakan sebahagian pengemudi memacu pembangunan ekonomi negara menerusi pengeluaran produk masing-masing untuk dieksport atau pasaran tempatan.
Di Ayer Hitam, Kluang, Johor, Tropicana Plantation Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik penduduk tempatan yang bergiat aktif dalam projek tanaman nanas menggunakan baka terbaik MD2 dari benih Tisu Didik harus dijadikan sebagai contoh kepada syarikat lain kerana penglibatan syarikat ini dalam pelaksanaan projek tanaman berkenaan mampu membantu kerajaan membangunkan ekonomi negara.
Nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus dari keluarga Bromeliaceae adalah tanaman tropika yang dipercayai berasal dari Amerika Selatan, dan ianya banyak ditanam di negara lain seperti Thailand, Filipina, Amerika Selatan dan Afrika. Di Malaysia, nanas juga banyak ditanam di negeri Johor, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang.
Menyentuh mengenai pembangunan ekonomi negara, segelintir pihak hanya pandai bercakap dan memberi komen sama ada dalam bentuk pro atau kontra tetapi bagaimana dengan sikap sebenar mereka? Tropicana Plantation Sdn. Bhd. dilihat mempraktikkan sikap ‘Less talk, much work‘ dengan membuktikan keampuhan syarikat mengendalikan perniagaan dalam penghasilan benih serta memasarkan buah nanas dari baka terbaik itu.
Sejak terbabit dalam projek tersebut kira-kira lima tahun lalu, Tropicana Plantation Sdn. Bhd. bukan sahaja berjaya mengubah landskap kawasan seluas lebih kurang 50 ekar itu yang pada suatu ketika dahulu hanya tanah terbiar dengan tanaman nanas MD2 kini saujana mata memandang, malah mampu meneroka bidang baru iaitu penghasilan benih nanas secara tisu kultur.
Menurut pengarah syarikat berkenaan, Tan Chun Chuang, 45, baka MD2 yang berasal dari Hawaii itu mempunyai keistimewaan tersendiri, antaranya ialah buahnya lebih sedap dimakan, segar dan tidak berasa gatal pada lidah. Buahnya juga mampu bertahan selama sebulan jika disimpan di dalam peti sejuk atau di dalam bilik bersuhu sejuk selain boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh setahun dari tarikh ia ditanam berbanding baka biasa yang perlu mengambil masa setahun setengah untuk berbuah.
“Ini semua antara keistimewaan baka terbabit yang dihasilkan menerusi kaedah penyediaan benih tisu kultur yang kami usahakan.
“Selain bertujuan meningkatkan taraf ekonomi keluarga, pembabitan syarikat dalam pelaksanaan projek nanas menggunakan baka berasaskan penemuan bioteknologi ini diharap dapat membantu kerajaan menjana ekonomi negara,” kata Tan Chun Chuang ketika ditemui Agro Malaysia di pejabatnya.
Dilihat cara syarikat ini mengendalikan perniagaan menggunakan konsep ladang kontrak (Farming Contract), ia menunjukkan bukan sahaja mahu mengajak orang ramai untuk berkongsi ilmu, malah membantu petani memperolehi pendapatan lumayan apabila hasil tanaman mereka dibeli oleh syarikat ini dengan menawarkan harga yang berpatutan.
Menerusi konsep itu, Tropicana Plantation Sdn. Bhd. bukan sahaja sanggup membeli hasil tanaman yang diusahakan petani di sekitar Kluang, malah turut membantu menyediakan khidmat nasihat lain seperti teknik penanaman, penggunaan teknologi terbaru dan motivasi diri supaya petani tidak mudah patah semangat dalam menghadapi cabaran mengusahakan projek.
Dibantu seramai 10 pekerja di ladang, syarikat tersohor di semenanjung ini yang berjaya membuktikan kesungguhan memajukan projek tanpa mengetepikan penemuan dalam teknologi pertanian moden mendapat perhatian Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang sentiasa memberi perangsang di samping berusaha menarik minat petani supaya mengusahakan ladang nanas menggunakan konsep ladang kontrak dan baka MD2.
Beliau menjelaskan, pihaknya sudah menandatangani dokumen perjanjian persefahaman (MOU) dengan Jabatan Pertanian Sabah pada tahun 2013 dalam menjalankan kajian serta penyelidikan berhubung penggunaan benih MD2 tisu kultur selain perkara berkaitan pembangunan baka terbabit yang menggunakan kaedah pertanian bioteknologi.
Projek yang dilaksanakan bertujuan untuk memperbanyakkan kuantiti sesuatu benih yang berpotensi di samping mengekalkan tahap kualiti baka tersebut. Pada akhirnya baka nanas yang dibiakkan ini akan dibekalkan kepada pekebun kecil untuk ditanam.
“Yang kita lakukan semua ini adalah sebagai persediaan meninjau pasaran luar negara yang sudah tentu syarikat mahukan pengeluaran buah bermutu tinggi kerana jika syarikat mengambil mudah akan hal ini dan mengeksport buah kurang bermutu, ia akan menjejaskan reputasi negara kita, Malaysia.
“Walaupun syarikat berjaya menembusi pasaran luar negara seperti di Iran, Dubai dan Arab Saudi tapi kami tidak seharusnya berasa berpuas hati, sebaliknya perlu sentiasa memikirkan cara mengekalkan serta meningkatkan kualiti buah bagi menjamin pasaran yang luas dan berterusan,” katanya.
Menyedari prestasi pasaran di negara terbabit memberangsangkan, Tropicana Plantation Sdn. Bhd. kini berusaha meninjau pasaran di China pula berikutan permintaan buah nanas MD2 di negara berkenaan tinggi iaitu kira-kira RM1 bilion setahun, satu peluang keemasan yang perlu direbut.
Melihatkan kejayaan Tan Chun Chuang yang bijak menguruskan syarikat serta mendapat sokongan moral LPNM, tidak mustahil suatu ketika nanti Tropicana Plantation Sdn. Bhd. akan muncul sebagai jenama pengesksport buah nanas terkemuka, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas dunia dalam perniagaan antarabangsa.
Ketika ditanya tentang buah nanas MD2 dapat dijadikan pelbagai produk seperti jus minuman atau ditinkan, Tan Chun Chuang berkata ianya tidak sesuai kerana nanas ini paling sedap dimakan secara semulajadi.
Selain itu, usahawan berwawasan ini juga memiliki 5 buah pusat penghasilan anak benih tisu kultur yang diusahakan menerusi Arus Primajaya Sdn. Bhd. miliknya dengan meletakkan hala tuju memperluaskan penggunaan benih tisu kultur membabitkan nanas dan pisang secara komersial di negara ini.
INFO NANAS MD2
- Tanaman berhasil tinggi.
- Saiz buah 1.3-2.5 kilogram.
- Daun licin, tidak berduri.
- Isi buah manis, tidak melukakan lidah.
- Kulit nipis dan tahan lasak (30 hari).
- Kandungan Vitamin C 4 kali ganda.
- Mengandungi fiber yang tinggi.
INDEKS KEMATANGAN BUAH NANAS
Umumnya peringkat kematangan buah nanas boleh ditentukan dengan melihat perubahan warna kulit, keratan ‘mata’ dan pengiraan hari dari tarikh menanam atau pemberian hormon untuk aruhan bunga. Untuk penuaian, kiraan hari selepas pemberian hormon seringkali digunakan oleh petani.
Bagaimanapun, tarikh kematangan ini digunakan sebagai panduan sahaja, kerana kematangan buah nanas boleh juga dipengaruhi oleh cuaca. Buah nanas biasanya masak lebih awal apabila peringkat akhir tumbesaran buah berlaku pada musim hujan.
Indeks 1
Keseluruhan mata berwarna biru kehitaman dengan braktea berwarna kemerahan (belum matang). Isi sangat pejal dan masam dan belum boleh dituai.
Indeks 2
Keseluruhan mata berwarna hijau tua dengan sedikit kuning diantara mata di bahagian pangkal buah. Braktea agak kering dan berwarna keputihan (peringkat mula matang). Isi pejal dan kemasaman. Sesuai untuk ditin dan eksport segar melalui laut.
Indeks 3
Keseluruhan mata berwarna hijau dengan 1-2 mata di bahagian pangkal buah berwarna hijau kekuningan (cukup matang). Isi pejal, agak berjus dan masam manis. Boleh dimakan segar tetapi belum enak dimakan.
Indeks 4
Lebih kurang 25 peratus mata di bahagian pangkal buah berwarna oren kekuningan (buah masak). Isi kuning pejal, berjus, manis dan harum. Sesuai dimakan segar dan sesuai untuk dieksport melalui udara.
Indeks 5
Lebih kurang 50 peratus mata di bahagian pangkal buah berwarna oren kekuningan (buah masak). Isi kuning pejal, berjus, manis dan harum. Sesuai dimakan segar dan sesuai untuk dieksport melalui udara.
Indeks 6
Lebih kurang 75 peratus mata berwarna oren kekuningan (buah masak). Isi agak lembik, terlalu banyak jus, manis dan harum. Masih sesuai dimakan segar. Tidak sesuai untuk eksport.
Indeks 7
Keseluruhan mata berwarna oren kekuningan (buah ranum). Isi lembik, terlalu banyak jus dan masam manis. Masih boleh dimakan segar tetapi kurang enak. Tidak sesuai untuk eksport.
Nanas dituai dengan memotong bahagian tangkainya dengan menggunakan parang. Bahagian tangkai buah ada kalanya dibiarkan sepanjang 6-10 cm bagi memudahkan kerja-kerja pengendalian. Buah yang telah dituai dimasukkan ke dalam bakul yang disangkut di bahagian belakang pekerja.
(Dipetik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
saya berminat utk ceburi dalam pertanian nanas MD2 .
Ada 5 ekar di ipoh, berbukit. sekeliling tanaman kelapa sawit
Oleh kerana tiada pengalaman, bercadang utk JV
0124052070 (Navin)