Tembikai Sumber Rezeki
TIDAK mudah menghasilkan sesuatu selain dari usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengubah taraf ekonomi dengan mencuba pelbagai tanaman sebagai sumber pendapatan. Walaupun kekurangan modal, Mohd Rasdi Ismail, tidak pernah mengenal erti kecewa dalam meneruskan projek tanaman tembikai yang diusahakannya sejak beberapa tahun lalu.
Beliau yang mengusahakan tanaman tembikai di atas tapak tanah berhampiran rumahnya di Kampung Pak Mayong, Tok Bali, Pasir Putih di Kelantan bersama-sama dengan isterinya, Khairiah Ismail, serta dibantu oleh tiga orang anaknya.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam tanaman tembikai, Mohd Rasdi memberitahu, projek tanaman buah tersebut diusahakannya selepas kerajaan memberhentikan tanaman tembakau yang diusahakannya sejak sekian lama sebelum ini.
Projek tanaman tembikai yang diusahakan oleh Mohd Rasdi di atas tanah seluas dua ekar mampu menghasilkan pulangan 20 tan bagi setiap musim menuai.
“Penanaman tembikai memerlukan tanah beris yang berpasir seperti di kawasan Tok Bali serta mengandungi bahan organik selain pancaran sinar matahari sepanjang tahun.
“Tanah jenis itu berfungsi sebagai pemudah untuk akar berkembang dan menyerap haba dari tanah selain ia turut memerlukan bekalan air yang banyak dan mencukupi,” katanya ketika ditemui wakil Agro Malaysia baru-baru ini.
Buah tembikai ini ditanam dua kali setahun iaitu pada bulan Januari dan Mac dan mengambil masa 70 hari sebelum dituai. Tanaman pada bulan Januari adalah yang paling sesuai kerana hasilnya mencecah hampir sepuluh kilo setiap biji manakala pada bulan Mac pula hasil tanaman mula berkurangan.
“Antara penjagaan yang paling utama ialah ketika pokok mengeluarkan bunga, kita perlu ‘kahwin’ kan antara bunga jantan dan betina, iaitu untuk mendapatkan hasil yang baik dan berkualiti.
“Pokok juga perlu disiram setiap hari dengan mengepam air menggunakan generator serta wayar getah”, ujarnya.
Mengenai modal dalam mengusahakan tanaman ini, Mohd Rasdi memberitahu, biji benih yang diperoleh dari pembekal di Johor Bahru agak mahal sehingga mencecah RM1,000 yang boleh menghasilkan 3000 pokok tembikai, selain dari bekalan racun dan baja.
“Saya memerlukan modal pusingan sebanyak RM5,000 semusim untuk keperluan tanaman tembikai seperti membeli baja, plastik untuk menutup batas, benih dan racun antara yang paling mahal di pasaran sekarang”, ujarnya.
Tanpa berselindung, Mohd Rasdi berkata walaupun tidak menerima apa-apa bantuan dan bimbingan dari Jabatan Pertanian atau agensi kerajaan lain, tetapi beliau masih mampu mengusahakan tanaman ini sehingga berjaya walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan.
“Antara masalah yang dihadapi ialah penyakit batang pecah dan pucuk pokok tembikai yang rosak akibat serangan penyakit”, ujar beliau lagi.
Ketika ditanya tentang pasaran buah tersebut, Mohd Rasdi berkata masalah pasaran tidak timbul kerana peraih dari seluruh Kelantan datang dengan menggunakan lori untuk membeli tembikainya.
“Saya menjual dengan harga borong anggaran RM1.00 setiap kilogram, itupun bergantung kepada gred buah, manakala harga pasaran (runcit) boleh mencecah sehingga RM2.00 sekilo”, katanya lagi.
Mohd Rasdi juga memberitahu, amat rugi jika beliau tidak dapat mengusahakan tanaman ini dengan cara yang lebih baik lagi kerana masalah kekurangan modal.
Beliau juga sangat gembira dan menyambut baik jika ada mana-mana pihak yang sudi membantunya dari segi bantuan teknikal seperti biji benih dan racun mahupun khidmat nasihat untuk penambahbaikan hasil tanaman ini.
“Saya amat yakin projek ini sangat berdaya maju dan boleh pergi lebih jauh lagi asalkan ianya dibuat secara bersungguh-sungguh serta menggunakan teknologi moden.
“Selain menanam tembikai, saya juga mengusahakan tanaman labu dan ubi keledek untuk menambahkan lagi pendapatan kerana selepas bulan April, musim tembikai sudah tidak sesuai lagi di kawasan ini”, katanya yang sebelum ini pernah bekerja di Singapura.
Fakta Menarik Tentang Tembikai
- Menurut pakar, tembikai dikatakan antara buah yang wujud seawal ribuan tahun dahulu dan dipercayai wujud ketika zaman Mesir Kuno.
- 90% kandungan tembikai ialah air. Justeru, ia sangat sesuai untuk dijadikan penghilang dahaga dan menyejukkan badan.
- China ialah negara pengeluar tembikai terbesar di dunia dengan pengeluaran sebanyak 75 000 000 biji tembikai setahun.
Jenis-Jenis Tembikai
Tembikai atau nama saintifiknya Citrullu lanatus berasal dari spesies Cucurbitaceae yang dikatakan asalnya datang dari Afrika. Terdapat 5 jenis tembikai yang berada di pasaran Malaysia, iaitu:
- Tembikai berbiji
- Tembikai tanpa biji
- Tembikai kuning
- Tembikai susu
- Tembikai merah
7 Khasiat Tembikai
- Membantu menyihatkan jantung
- Mempunyai sifat anti-radang
- Membekalkan air kepada sistem badan
- Memberikan kebaikan pada kulit dan rambut
- Menghilangkan sengal dan lenguh pada otot
- Mengurangkan risiko kanser
- Membantu sistem penghadaman