Kolam Tok’ Batin: Impian Kaki Pancing
Saya bukanlah ‘kaki pancing’ yang tegar. Minat memancing hanyalah sekadar meluangkan masa sambil bersosial bersama sahabat-sahabat kaki pancing yang dikenali berpuluh tahun lalu.
Pengalaman mengikut arwah bapa yang ‘pakar’ memancing mendedahkan saya kepada ilmu ‘lubuk ikan’ bukan sahaja di laut, sungai, tasik juga kolam.
Banyak tips yang digali dari arwah bapa dikongsi bersama semasa menemani kaki pancing.
Sewaktu dipelawa oleh rakan Agro Malaysia – Shamsuhazli mamat, minat meneroka isi perut Kolam Pancing Tok’ Batin saya tidak menolak.
Tidak sabar untuk menyapa spesies ikan air tawar yang menjadi idaman sambil menikmati segarnya panorama alam sekitar yang dikunjungi.
Laluan masuk ke kawasan tersebut menyusuri anak sungai yang terhasil dari limpahan air terjun Taman Templer, Rawang Selangor.
Mata sempat juga melihat tanaman kesum yang subur menghijau di lembah Templer yang dimiliki oleh orang asal (asli ) di kampung berhampiran.
Sebaik kaki melangkah ke Kolam Pancing Tok’ Batin Bukit Lengong saya amat teruja. Terdapat tujuh buah kolam yang menjadi idaman kaki pancing di kawasan seluas tiga ekar ini.
Keistimewaan kawasan kolam ini ia dikelilingi bukit bukau yang menghijau serta bersebelahan Hutan Simpan Templer yang mewah oksigen. Pasti kaki pancing ‘ralit’ menanti kail disambar ikan sambil menghirup udara segar anugerah alam keliling.
Kolam yang kelihatan tenang ini pastinya adalah syurga kaki pancing. Pasti para pengail yang mencuba nasib di sini pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Bayaran berpatutan untuk sekali masuk memancing di Kolam Tok’ Batin amat berbaloi. Di sini terdapat tujuh buah kolam pancing yang dihuni oleh pelbagai jenis ikan air tawar, antaranya termasuklah ikan keli, haruan, puyu, tilapia, lampam dan juga jelawat yang pastinya sedang menunggu para pengail.
Selain itu ikan patin, kerapu air tawar, baung dan tongsan turut menjadi penghuni kolam yang telah di bina sejak lebih sepuluh tahun lalu.
Kesemua kolam ini diuruskan oleh Mohamad Hazlee Mohd Zin bersama pembantunya. Anak jati kelahiran Kelantan yang mengusahakan kolam ikan tersebut turut memanfaatkan kawasan sekitar dengan pelbagai tanaman sayuran serta buah-buahan.
Tanaman yang diusahakan ini dapat memberi nilai tambah serta menceriakan lagi ‘mood‘ kaki pancing.
“Ada kaki pancing yang datang bersama keluarga dan kawan-kawan. Sambil memancing mereka mengeratkan hubungan siratulrahim. Jika kawasan indah pasti pengunjung lain juga turut gembira,” katanya.
Menurut Mohamad Hazlee, beliau bertuah kerana isteri dan anak turut menemaninya menetap di kawasan tersebut.
“Keluarga memahami minat saya. Isteri juga amat membantu termasuk menguruskan kebun serta kolam.
“Saya melakukan kerja-kerja pertanian serta kolam secara berperingkat-peringkat berpandukan modal yang ada serta waktu lapang,” kata Mohamad Hazlee yang juga seorang guru di daerah tersebut.
Mohamad Hazlee atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Lee juga memanafatkan kawasannya dengan tanaman herba.
Pohon-pohon limau purut yang memagari kolam membangkitkan aroma persekitaran berbau harum.
Pokok ekzotik yang kaya dengan khasiat seperti rossele, mahkota dewa dan pohon naga yang hidup subur menambahkan lagi keindahan serta menjadi terapi mata para pengail.
Kolam pancing yang bersih kerana sumber air dari Bukit Lagong (Berhampiran Hutan Simpan Templer Park) Selangor. Udara yang nyaman dan segar di kelilingi pohon-pohon hutan yang gagah merimbun. Usaha baik Cikgu Mohamad Hazlee Mohd Zin dan isteri dipercayai dapat memberi motivasi kepada mereka yang ingin menceburi bidang pancing dan perikanan.