Pertanian Menurut Pandangan Islam
Oleh: Ahmad Anwar Ismail & Benyamin Che Yaakob
Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Mukadimmah
”Kami menjadikan (di atas muka bumi ini tempat yang sesuai untuk dibuat) ladang-ladang kurma dan anggur. Kami pancarkan banyak mata air (di situ). Tujuannya supaya mereka boleh mendapat rezeki daripada hasil tanaman tersebut dan tanaman-tanaman lain yang mereka usahakan. Adakah mereka berasa tidak perlu bersyukur?” (Yasin: 34-35)
Di dalam Islam, pertanian merupakan salah satu daripada pekerjaan yang mulia dan amat digalakkan oleh Allah swt dan Rasulullah saw. Banyak ayat al-Quran yang menyebut tentang hasil tanaman dan buah buahan yang pelbagai. Dari segi akidah pula, bidang pertanian dapat mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah swt. Ini kerana tanda kebesaran Allah swt dapat dilihat dengan jelas dalam peroses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman.
Apabila seseorang itu melakukan aktiviti pertanian, ia akan lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar bertawakkal kepada Allah swt yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. Jika Allah swt takdirkan sesuatu tanaman itu hidup, tanaman itu akan hidup dan tidak mengecewakan petani.
Namun jika Allah menginginkan sebaliknya maka itulah ketetapan takdir Allah swt terhadap si petani itu. Itulah kekuasaan Allah swt seperti Firmannya yang bermaksud:
”Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buahan) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berubah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman ”
(Al-Ana’am: 99).
Hukum pertanian mengikut pandangan Islam
Jika dengan pertanian sahaja seseorang itu mampu lakukan untuk mencari nafkah bagi dirinya dan keluarganya maka hukumnya adalah fardu ain baginya menceburi bidang pertanian. Jika seseorang itu ada kepakaran dalam salah satu bidang pertanian dan tiada seorang pun yang pandai, maka hukum dia menceburi bidang pertanian adalah wajib kerana untuk kepentingan orang awam. Tetapi apabila ada ramai petani yang mampu melakukan usaha demikan maka menjadi fardhu kifayah kepada sesiapa sahaja yang melakukannya untuk kepentingan orang awam, petani tersebut perlu mengeluarkan bekalan yang mencukupi untuk semua.
Bidang pertanian menjadi fardhu kifayah kepada seseorang kerana manafaatnya lebih besar daripada manafaat peribadi.
Kebanyakkan fuqaha’ Islam berpendapat bahawa bidang pertanian adalah lebih afdal atau utama disisi agama Islam berbanding perniagaan dan perusahaan atau perkilangan. Keadaan ini kerana manfaat pertanian lebih meluas dan kepentingannya tidak dapat dinafikan sebagai bidang yang terpenting kerana tanpanya atau tidak mencukupi, akan huruhara dunia.
Rasulullah saw menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya yang bermaksud:
”Andainya kiamat tiba dan pada seseorang daripada kamu ada sebatang anak kurma, maka hendaklah dia tanpa berlengah-lengah lagi menanamnya”
(Hadith riwayat Imam Ahmad).
Hadith ini menggambarkan kepada kita terlalu pentingnya bidang pertanian sehinggakan hampir kiamat pun digalakkan lagi bercucuk tanam oleh Rasulullah saw. Ini menunjukkan bidang ini tidak boleh diabaikan sama sekali kerana ia adalah penyumbang utama kepada kehidupan manusia.
Pertanian merupakan satu ibadah
Bidang pertanian adalah salah satu jalan untuk mendekatkan diri seseorang hamba itu dengan Allah swt. Bagi mereka yang menceburi bidang ini, disamping mendapat pendapatan yang halal lagi mulia, Allah swt juga menjanjikan ganjaran pahala kepada golongan yang mengusahakannya di atas setiap satu tanaman yang ditanam.
Setiap satu tanaman yang ditanam seseorang itu akan semakin dekat dengan Allah swt seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
”Tiada seorang muslim pun yang bertani, lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala di atas hal itu” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadith lain pula Rasulullah saw bersabda:
”Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman, melainkan Allah swt menetapkan baginya ganjaran sebanyak jumlah buah yang dihasilkan oleh tanaman berkenaan” (Hadith riwayat Iman Ahmad)
Galakkan tanah terbiar diusahakan
Setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah saw menggalakan sahabat-sahabatnya mengusahakan bidang pertanian. Bumi Madinah yang sememangnya subur perlu diusahakan dengan lebih bersungguh-sungguh. Kaum muhajirin yang berhijrah bersama-sama dengan Baginda diaturkan agar bersatu dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah supaya dapat berganding bahu dalam pelbagai urusan lebih-lebih lagi dalam mengusahakan kegiatan pertanian terhadap tanah terbiar.
Dalam sebuah hadith, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
”Sesiapa yang memiliki tanah hendaklah dia mengusahakannya, namun jika dia tidak berupaya melakukannya, maka hendaklah diberikan kepada saudaranya (supaya diusahakan) dan janganlah dia menyewakannya”
(Hadith riwayat Abu Daud)
Hadith ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya kegiatan pertanian dalam Islam sehingga banyak dalil dari Al-Quran dan Hadith membicarakannya. Mengikut syariat Islam sesiapa sahaja yang mengusahakan tanah terbiar milik kerajaan dengan berjaya akan mendapat hak milik kekal terhadap tanah berkenaan. Hal ini berdasarkan kepada pendapat kebanyakan ulama’.
Berdasarkan pendapat Mazhab Maliki, hak milik yang diperolehi itu adalah hak milik sementara sahaja, jika setelah mendapat hak milik tanah itu tetapi selepas itu dibiarkan semula terbiar dan orang lain pula mengusahakannya, maka hak milik tanah itu akan berubah kepada si pengusaha tanah baru itu. Hukum ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah saw yang bermaksud:
”Sesiapa yang menjayakan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa (yakni tanah kerajaan), maka dia lebih berhak terhadapnya”
(Hadith riwayat Imam Ahmad, Malik dan Bukhari).
Hadith ini menggalakkan umat manusia supaya memanfatkan tanah supaya tidak begitu terbiar sahaja.
Seseorang yang ingin menjayakan tanah terbiar dibenarkan menanda atau memagar tanah tersebut bagi menjalankan pertaniannya. Bagaimanapun tanah yang ditanda dan diteroka itu tidak harus dibiarkan lebih daripada tiga tahun tanpa diusahakan. Jika dibiarkan begitu orang lain berhak mengusahakannya. Ianya berdasarkan amalan yang dijalankan oleh Saidina Umar ketika pemerintahannya, tanah dianggap terbiar atau mati jika ia gersang ’yakni tiada pengairan, berpaya atau ditenggelami air, tidak sesuai untuk tumbuhan, tidak boleh digunakan bagi tujuan lain selain pertanian, terletak jauh daripada penempatan penduduk, tidak termasuk dalam kawasan simpanan penempatan bagi kegunaan masyarakat setempat seperti bagi tujuan padang ragut, tempat mencari kayu api dan tempat melakukan riadah’.
Bagaimanpun ada perselisihan pendapat dalam undang-undang Islam sama ada keizinan pemerintah diperlukan sebelum seseorang itu memulakan penerokaan. Pendapat imam Abu Hanifah pengasas mazhab Hanafi menyatakan keizinan diperlukan. Dua ulama utama mazhab Hanafi iaitu Abu Yusof dan Hasan Al-Syaibani serta mazhab al Shafie berpendapat sebaliknya. Pendapat ketiga yang juga pendapat mazhab Maliki menyatakan izin diperlukan jika tanah itu terletak hampir dengan kawasan penempatan. Hal ini kerana tanah itu ditakuti termasuk dalam kawasan simpanan awam.
Kesimpulan
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: ”Carilah rezeki dari khazanah bumi” (Hadith riwayat at-Tabrani). Rasulullah saw amat menitikberatkan umat-umatnya supaya menceburi bidang pertanian dan penternakan dan Baginda sendiri sebagai contoh bagi umatnya dalam bidang ini. Baginda terlibat dengan aktiviti penternakan sejak kecil lagi dimana baginda adalah seorang pengembala kambing. Beliau pernah menyebut sat-saat yang dialaminya sewaktu mengembala kambing itu, iaitu: ”Nabi-Nabi yang diutuskan Allah itu gembala kambing”. Dan sabda Baginda lagi: ”Musa diutus dia gembala kambing, Daud diutus dia gembala kambing, aku diutus juga gembala kambing keluargaku di Ajyad”. Begitulah betapa pentingnya bidang pertanian dan peternakan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat untuk peroleh rezeki yang halal serta sebagai satu jalan ibadah yang terpuji disisi Allah swt.