Petani: Kemiskinan Hanya Mitos
Oleh: Dr. Rahmat Ghazali
Suatu ketika dahulu pada era 70-an, seseorang petani yang ingin berkahwin mempunyai kebangkalian yang tinggi untuk ditolak peminangannya ke atas seorang gadis kerana persepsi genjot terhadap kerja mereka. Malah kerja-kerja pertanian dan penternakan dilihat sebagai tidak tekal dalam konteks pendapatan untuk meladeni hidup yang kian mencabar serta menuntut kemampuan kewangan dalam segala hal. Pertanian tidak dianggap sebagai kerjaya (ikhtisas) tetapi sebaliknya hanya sebagai suatu kerja (job).
Pada era tersebut kerjaya seperti perkeranian, perguruan, tentera dan polis menjadi impian pemuda yang ditanggapi lebih menjaminkan pendapatan yang tekal kalau tidak lumayan sekalipun. Banyaklah faktor yang membina tanggapan genjot sedemikian yang antaranya seperti keluasan bidang tanah yang diusahakan amat kecil, teknologi kuno yang tidak menggalakkan pengeluaran secara besar-besaran, tiada mekanisme pemasaran efisien dan yang paling penting tiada modal untuk memajukan bidang pertanian sebagai kerjaya komersial.
Sektor pertanian yang menjadi tumpuan utama negara pada ketika itu ialah padi, getah, kopi dan kemudiannya kelapa sawit yang diangkat sebagai pertanian komersial. Namun penglibatan masyarakat pedalaman dalam sektor ini hanyalah secara kecil-kecilan pada peringkat menghasilkan bahan mentah kegunaan peribadi dan bukannya produk untuk pemasaran. Golongan petani jarang terlibat secara langsung dengan sektor perkilangan bagi hasil pertanian sedemikian. Dengan itu juga mereka lebih banyak bergantung kepada orang tengah baik dalam sektor pertanian mahupun penternakan.
Walau bagaimanapun tanggapan atau persepsi genjot sedemikian tidak terpakai di negara Barat seperti Amerika Syarikat. Apabila bakal suami diketahui merupakan seorang petani maka besarlah kebangkalian peminangannya akan diterima. Malah ramai calon isteri mahu memenangi hati petani yang mereka lihat sebagai mempunyai kekayaan lumayan.
Di Amerika Syarikat, apabila seseorang itu dikelasifikasikan sebagai petani, maka dia dilihat sebagai seseorang yang mempunyai ladang seluas mata memandang, memiliki beberapa buah kapal terbang penabur baja, jentera penuai, malah kilang untuk memproses hasil pertaniannya.
Malah pada hari ini sudah ada program bersiri TV realiti yang dinamakan ‘Farmer Wants a Wife’ yang secara tidak langsung mendedahkan betapa hebatnya kerjaya seorang petani sehingga berduyun-duyun wanita kota yang jelita mahu mencuba nasib menjadi calon isteri mereka. Dalam konteks ini penulis bukanlah berniat mahu mengangkat falsafah ‘mata duitan’ dalam kalangan masyarakat kita, terutamanya masyarakat Melayu-Bumiputera, tetapi apa yang ingin diketengahkan ialah betapa hebatnya kerjaya pertanian mahupun penternakan di negara maju.
Bagaimanapun, pada hari ini kita sudah mula melihat perubahan besar yang berlaku pada realiti kerjaya pertanian, penternakan dan perikanan yang telah mengangkat individu tertentu dalam kalangan masyarakat desa di negara kita, sebagai jutawan.
Berkaitan hal ini, pernah pada suatu hari, saya ingin memasak asam pedas ikan terubuk yang menjadikan bunga kantan (atau phaeomera impirialis) sebagai bahan perasa yang enak dan sedap dimakan. Saya amat terkejut apabila harga bunga kantan di Pasar Raya Giant (Shah Alam) ialah RM1.50 sekuntum. Bayangkan petani yang mengusahakan tanaman pokok kantan di Batu Pahat secara komersial yang mampu memiliki 4200 pokok setiap hektar.
Di Sungai Siput Perak, pengusaha bunga kantan, Zulkifli Mohamad, mempunyai lebih setengah hektar tanaman bunga kantan di kawasan bekas sawah padi di Kampung Temin. Daripada tanaman seluas itu, kini beliau mempunyai sebanyak 1,300 perdu dengan setiap perdu berkenaan mempunyai 30 pokok.
”Saya boleh mengutip antara 4 hingga 7 kuntum bunga kantan seminggu daripada setiap perdu bunga yang mempunyai aroma yang sangat menarik itu,” katanya. Pada masa ini beliau memasarkannya di pasar-pasar sekitar Ipoh dan Sungai Siput dengan setiap kuntum boleh dijual pada harga 70 sen secara harga borong.
Di Kuala Langat Selangor permintaan terhadap ubi kayu, keledek, dan pisang amat tinggi kerana industri desa yang mengeluarkan kerepek amat popular di sana sehingga menjadikannya suatu industri dengan pengeluaran komersial yang menjanjikan pendapatan lumayan. Misalnya di Kampung Sungai Lang Tengah, Beringin Food’s Industry yang dimiliki oleh Mohd Sapuan Kapiran mengeluarkan 60 tan kerepek pelbagai jenis setiap bulan untuk pasaran tempatan dengan pendapatan purata RM35 ribu sebulan. Syarikat Mohd Sapuan yang mempunyai 12 orang pekerja, menghasilkan kerepek ubi kayu, pisang, keledek, tumpi dan rempeyek.
Di daerah Jerantut, menyusuri Sungai Pahang, sangkar-sangkar ikan air tawar berderetan dibina oleh penduduk tempatan yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bergiat dalam penternakan ikan air tawar kerana ia boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan jika mereka mengusahakan dengan penuh iltizam. Terdapat lebih 80 sangkar ikan milik beberapa individu berlainan diletakkan sepanjang Sungai Pahang di Kampung Lada, Jerantut.
Salah seorang penternak ikan air tawar, Isharum Bujang telah membuktikan bahawa usaha beliau berbalui setelah bergiat dalam penternakan ikan air tawar di Sungai Pahang sejak 10 tahun lalu. Menurut beliau, ikan patin yang amat popular di daerah Temerloh boleh dijual selepas lima atau enam bulan diternak dalam sangkar. Ketika itu berat setiap seekor boleh menjangkau 500 hingga 700 gram. Biasanya sebuah sangkar boleh menghasilkan satu tan ikan pada setiap musim dan satu kilogram ikan patin dan tilapia dijual secara runcit dengan harga RM15 – RM19 sekilogram, bergantung pada gred. Malah permintaan terhadap ikan patin dan tilapia amat besar dan tidak dapat dipenuhi oleh penternak ikan berkenaan di Jerantut itu.
Di daerah Sook, Sabah, sekurang-kurangnya 25,766.56 hektar tanah telah digunakan untuk membangunkan kegiatan pertanian. Antara tanaman yang diusahakan di sini adalah keladi. Anggaran hasil tahunan yang diperoleh melalui tanaman individu petani dan projek tanaman keladi berkelompok adalah lebih kurang RM4 juta. Joseph Lomboling alias Gangos adalah petani contoh yang dikenali ramai di daerah kecil Sook. Beliau memilih untuk menjadi pemborong hasil pertanian sehingga membolehkan beliau mengaut sekitar RM50,000 sebulan. Ramai lagi insan-insan yang berjaya dalam pelbagai jenis tanaman yang telah diusahakan dan mampu mengaut ribuan ringgit sebulan. Felecia Binti Sinting, Mustain Datirin, Guain Samud dan Sodina Niasin adalah antara individu yang turut menjadi petani contoh di kalangan penduduk setempat.
Akhir-akhir ini juga, para petani dan penternak telah dimaklumkan dengan satu lagi penternakan yang boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan iaitu penternakan burung walit bagi mendapatkan sarangnya. Penternakan burung walit dijangka menyumbang kira-kira RM4 bilion hingga RM5 bilion daripada RM523 bilion anggaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) menjelang tahun 2020 ini.
Dianggarkan sehingga kini terdapat lebih 10,000 premis ternakan burung walit di seluruh negara dengan nilai eksportnya lebih RM500 juta. Ia menjadi tarikan kerana anggaran harga bagi satu kilogram sarang burung itu mampu mencecah RM5,000 jika dinilai berdasarkan gred, saiz dan ketulenannya. Jika dieksport ke negara China pula, harganya dipercayai boleh meningkat sehingga empat kali ganda kerana permintaan di sana sangat tinggi.
Banyak lagi contoh yang boleh dikutip daripada kejayaan petani daripada kawasan pedalaman yang sedikit-sebanyak mengangkat bidang pertanian sebagai suatu kerjaya yang sekali gus mengangkat martabat para petani.
Malah, usaha-usaha gigih para petani bukanlah diperlekehkan begitu sahaja oleh pihak kerajaan. Misalnya kerajaan telah mengumumkan bahawa pertanian adalah salah satu Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara.
Perancangan kerajaan telah mengangkat bidang pertanian sebagai NKEA negara di bawah program Transformasi Ekonomi. Dalam program ini kerajaan akan menyemarakkan usaha petani untuk menjadikan usaha tanaman tertentu sebagai tanaman komersial bukan sahaja di peringkat domestik malah menjangkau ke peringkat global. Di samping itu pengkomersialan hasil pertanian juga akan distrategikkan untuk menjamin bekalan makanan negara.
Melalui program berkenaan terdapat beberapa projek permulaan dan potensi perniagaan yang telah dikenal pasti dan akan diberikan fokus untuk dimajukan. Keseluruhan pendapatan negara berjumlah berbillion dan mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang sebahagian besarnya di kawasan luar bandar. Antara projek yang telah dikenal pasti termasuklah produk herba, sarang burung walit, industri rumpai laut, ternakan ikan sangkar, dan ternakan lembu daging dan tenusu.
Secara kasarnya, usaha dan tekad akan dapat mengenyahkan kemiskinan serta fobia yang datang bersamanya. Hari ini saya percaya bahawa tanggapan genjot terhadap para petani telah kian cair. Sudah ada contoh-contoh kejayaan yang signifikan dalam kalangan masyarakat pedalaman yang menunjukkan bahawa bidang pertanian sudah menjadi kerjaya dan bukan lagi semata-mata kerja. Malah dengan sokongan kerajaan memberikan bantuan nasihat dan kewangan, pastinya tiada alasan bagi para petani untuk melenyapkan stigma kemiskinan dalam minda masyarakat umum.
Menjadi petani tidak semestinya miskin. Ada petani kaya, ada petani miskin.
Tapi mengatakan kemiskinan itu mitos adalah sama sekali tidak benar!
Kemiskinan adalah suatu realiti. Masakan ianya mitos… kerana di dalam Al-Quran sering menyebut tentang kemiskinan dan hak-hak orang miskin.
Contohnya kita sering disuruh membantu orang-orang miskin. 🙂