Limau Nipis Buah Seribu Guna
Terdapat berbagai-bagai jenis limau di negara kita. Setiap satu sangatlah digemari ramai. Limau langkat, limau mandarin, limau bali, limau kasturi, limau madu, limau purut, limau kuantung.
Satu lagi ialah limau nipis iaitu sejenis buah yang mempunyai seribu satu kegunaaan. Secara umumnya ia dibahagikan kepada tiga kegunaan iaitu untuk tujuan perubatan, masakan dan kosmetik.
Salah seorang pengusaha limau nipis ialah Nizam Abdullah yang mengusahakan di sekeliling rumahnya di Kampung Air Baloi, Johor.
Dengan dibantu oleh beberapa orang pekerjanya, Nizam yang mengusahakan tanaman ini sejak beberapa tahun lepas berazam menambahkan lagi keluasan ladang limau nya.
“Saya menjual limau nipis ini di pasar-pasar tani dan pasar malam, sekitar daerah ini dan permintaan sangat menggalakan. Di masa akan datang, saya berazam mengembangkan lagi ke pasaraya besar seluruh negara” katanya.
Jus limau ini amatlah sesuai untuk membunuh kuman disentri, kolera dan tifioid. Ia juga boleh menghilangkan lemak di samping menguruskan badan. Ia boleh meningkatkan kesihatan dengan kandungan Vitamin A dan C.
Limau nipis digunakan di banyak negara secara tradisional. Di Barat, ia dikenali dipanggil ‘lime’, Sepanyol ia dipanggil ‘’lima’. Di negara-negara arab, pula ia dipanggil ‘limah’.
Penggunaannya adalah salah satu petua yang sangat mujarab untuk mengempiskan perut, memutihkan kulit dan wajah, menghilangkan bau kaki dan mewangikan rambut.
Penanamannya sangat sesuai dengan iklim panas lembap seperti negara kita. Nama botaninya Citrus airantifolia dan ia bukanlah sesuatu yang asing bagi kebanyakan daripada kita. Pada masa kecil, kita mungkin meminum air perahannya.
Ia dipercayai berasal dari India atau Myanmar. Dan pada masa ini ditanam di hampir keseluruhan negara tropika dan sub-tropika. Di Asia Tenggara pula, ia ditanam secara tut. Tanah jenis lom berpasir amat sesuai.
Buahnya kecil bulat berukuran 2.5 hingga 5 sentimeter. Ia didapati sesuai untuk membiak melalui biji. Dalam ladang ia ditanam pada jarak antara 6 meter kali 6 meter. Pokok ini sesuai ditanam sebanyak 270 pokok untuk setiap hektar.