Travelog Sabah: 5 Bintang untuk Luanti Kampung Stay

Pukul 5.30 pagi penulis sudah bersama sang suria mengintai Luanti Kampung Stay. Ketika itu bumi masih lagi basah kerana malamnya hujan lebat mengila membasahi daerah pendalaman tersebut.
Kabus pagi yang membalut nipis perkampungan indah ini perlahan-lahan menghilang. Panorama alam mula menampilkan auranya yang menghijau saujana mata memandang.

Permukaan bumi yang diliputi tumbuhan liar pelbagai warna, pohon-pohon berbunga segar menambah seri kawasan penginapan Luanti Kampung Stay milik usahawan gigih bernama Norhayati Assry ini.
PELBAGAI WARNA
“Pilihlah yang mana satu chalet atau rumah yang kakak selesa untuk menginap di sini. Sudah ramai pelancong bermalam di sini termasuk dari luar negara.’’ ujar Norhayati ramah. Wanita ini mengambil alih Luanti Kampung Stay setelah arwah suaminya Jeffrin Majangki meninggal dunia.
Terpegun penulis. Semuanya indah dengan ciri klasik tersendiri. Pelbagai bentuk serta pelbagai warna. Ada yang moden, unik dan mencerminkan suku kaum masyarakat tempatan.

SANGAT KREATIF
Chalet yang berbentuk gong, tempayan serta berkonsep rumah tradisional di Semenanjung juga ada. Ada yang dihiasi dengan alat tradisional dengan hiasan berbeza. Deretan dua belas chelat berwarna warni yang menonjolkan reka bentuk yang kreatif, klasik dan unik adalah inap desa yang menambat hati penulis.
Chalet atau rumah penginapan ini dilengkapi dengan kemudahan asas yang moden serta serta selesa.

“Reka bentuk home stay ini adalah ilham arwah suami saya Jeffrin. Arwah memang seorang yang sangat kreatif dan kaya dengan ilham luar biasa.
“Melalui reka bentuk chelat atau rumah yang diciptanya itu arwah harap pelancong luar tahu masyarakat negara ini dari pelbagai latar belakang beza tetap mampu hidup dalam satu bumbung,” ujar ibu kepada tujuh orang anak ini.

SAJIAN ALAM YANG INDAH
Beliau mengakui tidak mudah untuk menyambung usaha arwah suami jika tidak dibantu oleh anak-anak yang sedang meningkat dewasa.
“Anak-anak adalah penguat semangat untuk saya meneruskan legasi ini. Mereka amat membantu dalam operasi harian dan ini secara langsung meringankan tugasan saya.
“Sambil itu saya dapat mendedahkan mereka dalam bidang bisnes dan belajar menangani masalah dan bertindak secara bijak sana,” jelas beliau lagi.
OKSIGEN SEGAR
Sukar untuk diluahkan betapa indahnya pengalaman menginap di Luanti Kampung Stay. Bagi pencinta alam pasti berpuas hati dapat menyaksikan sajian alam yang asli dan indah.

Wah… bonus untuk penulis yang tidak sabar untuk bermandi mentari sambil menghirup oksigen segar desa orang Dusun. Siapa yang masih diulik mimpi bakal kerugian kerana lukisan alam awal pagi amat indah dan menyuntik semangat untuk meneruskan aktiviti harian.
Nikmat kedamaian yang Allah s.w.t kurniakan untuk warga Kampung Luanti Baru dan komuniti Ranau khasnya. Mereka komuniti yang bersatu menjaga serta mempertahankan perkampungan warisan nenak moyang dari ancaman luar terutama ‘jin-jin tanah’ yang berniat serong.
Khazanah alam, hidupan sungai serta budaya yang diwarisi terus dipelihara dari generasi ke genarasi.
Sepanjang di Luanti Home Stay penulis sempat meninjau tanaman padi bukit yang diusahakan di kawasan ini. Selain itu penulis juga menjenguk ladang arnab dan tanaman sayuran yang turut dijadikan aset untuk menceriakan pelancong.
