Travelog Sabah: SPA Terbuka dengan Urutan Si Kelah
Oleh: Wartawan Agro Malaysia
Ribuan ikan menerpa, menyambut mesra sebaik kaki mencecah permukaan Sungai Moroli yang jernih berkilau dek pancaran suria pagi. Bagai terlatih, ikan yang kebanyakannya dari spesies kelah ini berlumba-lumba ‘mengurut’ dan membersihkan sel-sel mati di kulit kaki penulis. Setiap ekor ikan pintar memainkan peranan.
Ikan Kelah atau dipanggil Pelian (Tordouronensisi) pantas mengurut dengan cara mengigit manja betis, manakala Lampan Sungai dan Buntol mengurut tapak kaki dengan cara yang mengasyikkan. Sesekali Keli Albino turut juga membantu mengigit-mengigit hujung jari penulis tanpa rasa keraguan.
Aduhai… rupanya banyak lagi spesies ikan yang menjadi penghuni Sungai Moroli ini antarannya termasuklah jenis Boboroton, Gundiran, Bertuan, Garap dan Lumpis atau juga disebut bilis sungai oleh penduduk tempatan.
Semua kumpulan ikan ini berebut-rebut menawarkan khidmat urutan istimewa presis Spa Terbuka yang amat mempersonakan dengan oksigen segar Kampung Luanti Baru, Ranau, Sabah. Sambil dibelai manja oleh spesies ikan bernilai tinggi, pancaindera terpukau melihat keindahan pohon-pohon khazanah alam yang memagari Sungai Moroli.
Kicauan burung rimba bersahut-sahutan menyapa satu sama lain dengan ceria dan menjadi pelengkap keunikan daerah ini. Bertuah penduduk desa ini kerana memiliki produk pelancongan yang unik serta mampu menawan hati jutaan warga dunia.
Terasa berbaloi penulis meninggalkan ibu negara untuk menjelajah Borneo kerana berpeluang bertemu dengan usahawan wanita yang bernama Norhayati Assry yang juga Pengerusi Tagal Daerah Ranau.
Wanita berjiwa besi yang mewarisi kecekalan arwah suaminya iaitu Jeffrin Majangki mempertahankan Sistem Tagal Sungai Moroli demi cintanya kepada Kampung Luanti Baru. Wanita yang mudah mesra dan ada waktunya penulis bergurau memanggilnya dengan gelaran ‘Ratu Sungai Moroli’.
Kampung Luanti Baru adalah desa pertama yang mengamalkan Sistem Tagal di Ranau. Penulis berkongsi semangat juang Norhayati untuk pembaca Agro Malaysia.
Sambil menikmati air kelapa muda hasilan petani Kampung Luanti Baru, penulis mendengar tekun bagaimana Norhayati Assry, 47 tahun mengetuai Sistem Tagal di kampung tersebut.
Jelas beliau usaha yang dirintis oleh arwah suaminya sudah menampakkan hasil dengan pertambahan bilangan pelancong berkunjung ke kampung tersebut dari semasa ke semasa.
Bukan sahaja orang awam, warga luar negara, spa sungai terbuka itu juga turut dikunjungi pembesar negara dan kerabat diraja.
IKAN HIDUP BEBAS
“Alhamdulilah berkat kerjasama semua pihak Sistem Tagal di kampung ini terus dapat dipertahankan. Kanak-kanak dan remaja di kampung ini juga sudah amat memahami kenapa sistem perlu terus diamalkan.
“Mereka sama-sama membantu kami memberi penerangan kepada orang luar maksud Sistem Tagal demi mananfaat semua pihak,” kata wanita gigih yang kaya pengalaman ini.
Mengimbas kenangan lalu, Norhayati berkata banyak rintangan yang dialami sewaktu mula memperkenalkan Sistem Tagal kepada komuniti mereka.
“Waktu itu sungai bagaikan ‘tong sampah’. Segala kekotaran termasuk sampah dan sisa makanan dibuang terus ke dalam sungai. Banyak ikan yang mati atau lari kerana habitatnya diganggu oleh pencemaran dan manusia.
“Sessi penerangan dibuat kepada penduduk tanpa henti. Berkat usaha yang tidak mengenal putus asa Sistem Tagal dapat diterima oleh masyarakat di sini. Kini beribu-ribu ikan hidup bebas di kampung ini dan tidak rasa takut kepada ancaman manusia,” katanya.
MEREDAH SUNGAI
Aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh pelancong termasuklah jungle treking, meredah sungai, beriadah sambil meniti jambatan gantung. Bagai memastikan penduduk memperolehi sumber pendapatan sampingan, gerai-gerai menjual produk kampung didirikan di kawasan tersebut khusus untuk menarik pelanggan.
Antara yang diniagakan ialah makanan, buah-buahan, sayur-sayuran dan juga hasil kraftangan.