Bekas Pengurus Akaun Ternak Kambing Secara Komersial
Oleh: SULAIMAN KADIR
sulaiman_news10@yahoo.com.my
MINAT yang membuak-buak dalam bidang penternakan tidak membatas kudrat untuk mengusahakan ladang ternakan kambing secara feedlof di Kampung Paal, Batu 10, Jalan Kemabong, Tenom, Sabah.
Menurut pemiliknya yang juga penerima anugerah Penternak Jaya peringkat negeri 2011, Tham Yau Siong, minatnya sungguh mendalam dalam bidang ternakan kambing mendapat sokongan ahli keluarganya dalam membantu mengusahakan bidang tersebut dengan modal permulaan sebanyak RM10,000.00.
Beliau turut berterima kasih kepada Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agro Bank) membantu memberi pinjaman berjumlah RM100,000.00.
Titik permulaan ternakan kambingnya hanya enam ekor pada tahun 2005 dan sekarang jumlah kambingnya meningkat kepada 400 ekor dalam masa lapan tahun. Kandang kambingnya pula dibina secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan semasa disamping berusaha menambahkan lagi bilangan ternakannya.
Bagaikan sukar dipercayai, ladang ternakan yang sinonim dengan bau busuk dan kotor. Kini tidak dialami saat pertama kali Agro Malaysia menjejakkan kaki ke ladang kambing milik Tham Yau Siong.
Walaupun pelbagai spesies kambing yang terdapat di sini, namun tiada bau busuk yang membuatkan pengunjung loya sehingga tidak sanggup berada lama di kandang ini.
“Kami amat mementingkan kebersihan dan ladang ini juga diwujudkan untuk kunjungan orang ramai yang ingin melawat sebagai destinasi agro pelancongan.”
“Kalau bau busuk bukan sahaja orang ramai, malahan kami sendiri pun takkan sanggup berada lama di sini,” katanya kepada Agro Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
“Pekerja perlu berada diladang sepanjang masa untuk menjaga serta memantau pergerakan kambing-kambing ini. Di sinilah yang boleh dibuktikan, kalau tidak mempunyai bau busuk dan sentiasa bersih jadi manusia serta haiwan boleh tinggal bersama”, katanya lagi.
“Saya amat menyukai haiwan dan ini mendorong saya untuk melepaskan jawatan pengurus akaun bagi mendalami bidang penternakan ini secara serius.
Beliau berkata, mengusahakan ternakan kambing perlu mempunyai minat dan kesungguhan serta sentiasa turun padang untuk memastikan kambing yang diternak tidak berpenyakit dan mempunyai tahap kesihatan baik.
Ketika ditanya mengenai masa depan ternakan kambingnya, beliau berkata, dia mahu menjadi usahawan ternakan yang berjaya dengan menjadi pembekal daging kambing terkemuka di negara ini dengan memasarkannya secara besar-besaran.
”Saya juga bercadang untuk menghasilkan baka induk yang bermutu kerana ini juga mampu memberi sumber pendapatan yang baik kepada penternak” katanya lagi.
Info: Mengenali penyakit kambing
Mengenali penyakit kambing adalah sangat mustahak bagi setiap usahawan ternak agar dapat menghindari penyakit-penyakit tersebut daripada menyerang ternakan mereka.
Musuh utama ternakan kambing yang selalunya menjadi punca kematian jika tidak dikawal dan dirawat adalah parasit (terutamanya cacing dan coccidia) dan bakteria Pasteurella sp. (yang menjadi penyebab penyakit pneumonia).
Walau bagaimanapun penternak juga mesti memahami penyakit-penyakit lain yang biasa menyerang ternakan kambing. Antaranya adalah:
1. Cirit-birit (Diarrhoea)
Cirit birit adalah disebabkan oleh beberapa perkara antaranya seperti faktor pengurusan di mana ternakan mengambil makanan yang tidak sesuai. Peralatan kandang dan lain-lain peralatan yang tidak bersih. Ternakan minum air yang tidak bersih atau tercemar. Faktor jangkitan parasit seperti masalah bebanan cacing dan kuman atau tersalah makan.
Kambing yang menghidapi cirit-birit akan mengalami sakit pada abdomen, mengeluarkan tahi cair dan berbau busuk, pangkal ekor kotor dan basah, monyok, tiada selera makan dan suka mengasingkan diri.
2. Penyakit Puru (Contagious ecthyma)
Penyakit ini disebabkan oleh virus. Ianya mudah menyerang pada anak kambing. Biasanya, apabila ia menjangkiti kambing yang sihat dan cergas, kambing berupaya untuk pulih sendiri tanpa bantuan rawatan. Tetapi apabila ia menjangkiti kambing yang sememangnya mempunyai masalah kesihatan seperti ‘stress‘ dan bebanan parasit, kambing tersebut akan menjadi kurus dan lemah, kadang-kala akan menyebabkan ia mengalami kesukaran untuk makan.
Penyakit puru dapat dicam dengan tanda-tanda fizikal iaitu terdapatnya gelembung berair pada bahagian kulit lembut, mulut dan gusi serta bibir. Gelembung ini mungkin juga ada pada kaki terutama di celah jari.
3. Kembung (Tyumpang)
Kambing mudah mengalami kembung terutama apabila makan terlalu banyak makanan kekacang. Di antara tanda-tanda kembung ialah meleleh air liur, perut buncit dan keras, berdentum bila berkentut, gelisah, selalu mengembek dan sering buang air kecil.
Kembung terjadi diakibatkan oleh gas yang dikeluarkan semasa proses penghadaman makanan tersebut, menyebabkan gas tersebut memenuhi ruang perut serta rongga pernafasan. Ini menyebabkan kambing mengalami sesak nafas kerana rongga pernafasan tersumbat.
4. Radang Paru-Paru (Pneumonia)
Ia merupakan penyakit biasa ternakan kambing. Penyakit ini berpunca daripada amalan pengurusan ternakan yang tidak baik. Antara penyebab penyakit ini adalah virus, bakteria, parasit dan bahan kimia. Bakteria yang dikenali sebagai Pasteurella sp. merupakan penyebab utama pneumonia di dalam persekitaran iklim yang lembab seperti negara kita.
Pasteurella sp. merupakan bakteria yang berada di atas permukaan tanah. Kambing yang berada dalam keadaan kurang cergas, apabila dilepaskan meragut boleh mendapat jangkitan bakteria pasteurella.
Batuk basah adalah tanda awal pneumonia. Kambing kelihatan monyok, lemah, pernafasan cepat, batuk berlendir dan keluar hingus. Keadaan menjadi tenat jika kurang pengudaraan, kesejukan, basah atau keadaan sesak.