Khasiat Buah Naga

“Buah Cinta”, begitulah ungkapan dari golongan muda mudi apabila melihat warna kemerahan dan keunikan buah ini yang seakan-akan rupa jantung pisang.
Bagaimanapun, di sebalik rupanya yang ganjil, ia sebenarnya ialah tanaman baharu yang belum diterokai sepenuhnya di negara kita. Buah naga adalah daripada keluarga Cactacea yang tergolong dalam spesis kaktus dan kini ia semakin mendapat tempat di kalangan petani moden dan peminat buah-buahan. Di Malaysia, buah ini juga dikenali dengan nama pitahaya (pitaya).

Buah naga berasal dari negara-negara Amerika Latin iaitu Chile, Argentina, Peru, dan Mexico. Pada mulanya, buah ini dibawa ke Vietnam, hanya sebagai tanaman hiasan. Bagaimanapun, ia kemudiannya mula ditanam secara besar-besaran setelah mengetahui keenakan buahnya. Pada masa ini, Vietnam telah menjadi antara sumber pengeluar dan pengeksport utama dunia untuk buah naga.
Cara penanaman pokok buah naga adalah dengan menggunakan tiang dan konkrit. Ini adalah kerana usia pokok ini mampu mencecah usia sekurang-kurangnya sehingga 30 ke 40 tahun. Dengan itu pokok ini memerlukan tiang penahan yang kuat dan tidak reput untuk menampung berat pokok ini.

Buah naga yang mempunyai isi seperti buah kiwi ini sebenarnya kaya dengan khasiat seperti potasium, protein, ferum, serat dan kalsium yang baik untuk kesihatan berbanding dengan buah-buahan lain.
Penanaman buah naga mula mendapat perhatian dan sambutan hangat di Malaysia kerana buah ini diakui mengandungi khasiat yang tinggi berbanding buah-buahan lain. Ini telah dibuktikan melalui analisis bahan pemakanan antaranya yang dilakukan oleh ‘Taiwan Food Industry, Development and Research Authorities’.
Di Taiwan, kajian tentang khasiat buah ini menunjukkan yang ia sangat kaya dengan serat dan warna merahnya itu pula mengandungi beta kerotin yang tinggi. Ia berupaya memulihkan sel-sel badan yang telah mati dan sangat baik untuk sistem perkumuhan dan dapat menghalang penyakit barah usus.

Di samping itu, buah ini juga mempunyai vitamin C untuk mencantikkan dan mencerahkan kulit. Kajian juga menunjukkan ia dapat memberi tindak balas yang memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah.
Khasiat daripada buah ini juga dipercayai boleh mencegah kanser usus, selain menurunkan kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah dan pada masa sama ia dapat mengurangkan kadar lemak dalam badan. Buah ini juga terdapat albumen yang boleh diguna untuk menyingkirkan toksik dan membebaskan radial serta mampu melambatkan proses penuaan kulit.
Kebaikan penanaman buah naga ialah ia tahan lasak, termasuk tahan serangan serangga, dan tidak memerlukan racun serangga kerana ia adalah dari spesies pokok kaktus yang tidak memerlukan racun serangga. Buah naga mempunyai ketahanan selama 45 hari dalam keadaan suhu yang sejuk dan pada suhu yang biasa ia hanya mampu tahan selama 15 hari. Oleh itu buah ini mempunyai ketahanan dan sesuai untuk dieksport.
Pada masa yang sama, buah yang belum masak boleh dimasak sup dan dicampur dengan daging, ekor atau tulang. Ia juga boleh digoreng sebagai sayuran, dijadikan ulam dan juga boleh dikeringkan untuk dijadikan teh bunga.
Bunga pokok ini mempunyai kadar debunga yang tinggi kerana tempoh untuk ia mekar penuh adalah terlalu singkat. Sekali gus ia menyebabkan lebah dan serangga lain tidak sempat mengambil debunganya secara penuh berbanding bunga lain yang mekar selama berbulan-bulan.

Dahan pokok buah naga juga boleh dijadikan salad, ulam, digoreng dengan sambal belacan dan dimasak sup bagi tujuan kesihatan.
Dahan pokok buah naga boleh dihancurkan dan diperam untuk dijadikan makanan ternakan seperti lembu dan kambing, ia dipercayai mampu meningkatkan kadar susu dan kualiti ternakan berkenaan.
Pada masa ini, harga pasaran bagi sekilogram buah naga adalah sekitar RM6.00 sehingga RM10.00. Selain di jual sebagai pokok buahan, ia juga ada dijual sebagai pokok hiasan. Kecantikan pokok buah naga ini juga dapat dijadikan salah satu tarikan bagi industri pelancongan.