Nibong Tebal Jadi Tumpuan Kaki Pancing
Bagi kaki pancing di kawasan utara, khususnya di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Persatuan Unit Nelayan Changkat (PUNC) barangkali bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka memandangkan ia adalah antara persatuan paling aktif.
Persatuan yang sudah ditubuhkan sejak lebih sepuluh tahun lalu dan mempunyai keahlian melebihi seratus orang, sehingga kini menjalankan aktiviti memancing hampir setiap hari.
Selain itu, aktiviti memancing juga menjadi kewajipan ketika cuti hujung minggu atau cuti kelepasan am yang lain.
Oleh itu, sesiapa yang ingin melepaskan keinginan memancing, terutama pengalaman memancing di laut, PUNC adalah pilihan yang semestinya dihubungi bagi tujuan itu.
Faktor PUNC kekal aktif adalah kerana kawasan Nibong Tebal boleh dianggap syurga bagi kaki-kaki pancing berikutan banyak lubuk-lubuk ikan di kawasan itu.
Kawasan memancing paling popular yang sering dikunjungi oleh kaki pancing ialah sangkar Sungai Udang dan di persekitaran Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Biasanya memancing di laut adalah dengan menggunakan bot yang boleh memuatkan 4 hingga 6 orang dan akan bertolak pada pukul 8 pagi serta kembali semula pada jam 5 petang.
Sewa bot pula antara RM300 hingga RM550 bergantung kepada saiz, dan tempat berlepas pula adalah di jeti nelayan kampung Changkat, Nibong Tebal.
Ikan-ikan yang biasa diperoleh adalah siakap, jenahak, kerapu, senangin, pari, duri, gelama dan GT atau nyok-nyok.
Tekong paling popular yang selalu membawa kaki-kaki pancing ke laut ialah Syaharul Izuandi Jamil atau juga dikenali ramai dengan panggilan glamour DD di kalangan penduduk tempatan.
Dalam pengalaman memancing itu, Syaharul Izuandi pernah mencatatkan rekod kejayaan memancing ikan siakap paling berat iaitu 10.5 kilogram.
Untuk memancing di laut, Syaharul Izuandi bukan saja meletakkan syarat-syarat asas seperti mesti memakai jaket keselamatan, penggunaan tali benang 50 paun keatas dan perambut 80 paun untuk mengelakkan mudah putus dan lain-lain kemudahan memancing yang sepatutnya.
9 Tips Elak Mabuk Laut
1. MAKAN PIL PENAHAN MABUK
Makan pil penahan mabuk setengah jam sebelum bot bertolak. Bawalah ubat-ubatan yang boleh mencegah terjadinya mabuk laut seperti Novomin (ubat anti motion sickness), kimite patch (plaster yang ditampalkan dibelakang telinga), serta analgetik untuk menghilangkan pening atau mual.
2. PILIH POSISI TERBAIK
Semasa bot bertolak, ada baiknya anda berada di posisi mengadap laut sambil menghidup udara segar. Jangan duduk secara mengiring atau banyak berbual, kerana ia membuatkan fikiran anda tidak fokus. Paling penting jangan duduk di bahagian belakang bot yang menyebabkan anda terpaksa menghidu asap dan bau minyak diesel.
3. JANGAN LAKUKAN KERJA TEKNIKAL
Ini khusus untuk mereka yang belum biasa berada di laut. Jangan lakukan kerja memasang mata kail, membuat perambut di atas bot atau membuat sambungan tali.
4. SEDIAKAN UBAT-UBATAN RINGKAS
Untuk mengelak rasa loya, air liur terasa pahit, anda perlu membawa air yang masam seperti jus oren, gula-gula berangin atau makanan jenis asam. Jangan dilupakan minyak angin atau balm yang boleh anda sapukan pada bahagian tengkuk, leher, dahi atau sekitar lubang hidung.
5. JANGAN MEMANDANG OMBAK SECARA FOKUS
Bila berada di atas bot, elakkan mata tertumpu pada alunan ombak. Sebaiknya biarkan mata anda memandang jauh ke hadapan. Badan jangan selalu membongkok atau melihat ke bawah, kerana ianya dapat membuat anda lebih cepat merasa mual, selain itu pula jangan melihat sesuatu dari jarak dekat.
6. REHAT DENGAN CUKUP
Rancang perjalanan anda dengan baik. Jika memandu dari jarak jauh, adalah lebih baik untuk bertolak awal dan berehat selama 2-3 jam sebelum menaiki bot. Bawa kenderaan secara bergilir-gilir bersama rakan.
7. JANGAN MAKAN BANYAK SEBELUM BERTOLAK
Perut yang terlalu kenyang sebelum menaiki bot akan menyebabkan proses penghadaman tidak berlaku dengan betul. Akibatnya memang akan cepat mual dan boleh muntah serta merta sebaik sahaja bot berlepas dari jeti. Sebaiknya alas perut sahaja sudah mencukupi.
8. MENDENGAR MUZIK
Jika anda memiliki iPad atau MP3 player, semasa bot bergerak carilah tempat duduk yang selesa dan nyaman, dan boleh terus mendengar muzik kegemaran anda, dengan itu anda akan lebih fokus dengan alunan muzik dan lupa seketika bahawa anda sedang berada di tengah laut.
9. CUBA DAN BIASAKAN IKUT TRIP PENDEK
Jika berhasrat untuk pergi memancing ke laut dalam (trip 2-3 hari) cuba dahulu trip pendek seperti mencandat sotong atau memancing di perairan yang tidak jauh dari pantai. Cara ini mampu membiasakan diri anda berhadapan dengan alun dan ombak.
NOTA: Jika masih mengalami mabuk laut, pastikan kedudukan kepala tidak tinggi dari kaki.