Lemang Sushi Dengan Inti Durian
Jika saya Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS) sudah pasti saya menjadikan Lemang Sushi salah satu sajian dalam pesawat kebanggaan negara ini. Pastinya para penumpang MAS yang sedang dalam debaran merentasi benua senyum ceria dapat menikmati Lemang Sushi yang comel dengan inti durian berkualiti tinggi.
Pastinya saya tumpang bangga kerana usahawan yang menghasilkan produk Lemang Sushi amat kreatif demi kelangsungan bisnes yang makin mencabar.
Pertemuan dengan wanita sebalik tabir Lemang Sushi berlangsung santai di kawasan elite Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. Anak jati Kampung Jawa, Negeri Sembilan, Zuriati Sulaiman cukup ramah. Tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman untuk pembaca Agro Malaysia.
INOVASI LEMANG
Agro Malaysia: Bagaimana terilhamnya Lemang Sushi.
Jawapan: Lemang Sushi terhasil apabila Jabatan Pertanian Kuala Pilah, Negeri Sembilan memberi mesin lemang moden (oven). Sebelum ini sejak dahulu lagi lemang sudah menjadi makanan tradisi yang disukai ramai.
Timbul ilham untuk mencipta kelainan. Inovasi lemang yang mampu menjerat selera ramai. Mesin yang diberi oleh Jabatan Pertanian itu telah menyuntik semangat untuk lebih kreatif mempelbagaikan rasa dalam pembikinan lemang moden.
Pada mulanya kami mengeluarkan lemang biasa, pulut hitam dan lemang jagung. Seterusnya idea datang dengan sendirinya bagaimana untuk menjadikan lemang siap berinti ditengah-tengahnya bagi memudahkan para pelanggan untuk menikmati lemang berinti. Pelbagai serunding (2 dalam 1). Oleh kerana kami juga adalah pengeluar serunding sejak 12 tahun yang lalu.
Nama Lemang Sushi berasaskan konsep sushi, satu produk makanan dari Jepun yang berinti di tengah-tengahnya. Kami juga berjaya mempelbagaikan dengan beberapa perisa seperti inti rendang daging minang, inti serunding daging, inti serunding ayam, inti serunding ikan bilis dan juga yang terbaru berinti durian yang berkualiti tinggi.
Agro Malaysia: Bagaimana operasi bisnes dilaksanakan.
Jawapan: Pengeluaran Lemang Sushi bermula dari awal tahun 2016. Dengan mesin lemang oven (9 hole) yang dibekalkan Jabatan Pertanian dan 1 mesin (9 hole) yang dibeli sendiri dapat mengeluarkan 32 batang Lemang Sushi berukuran sembilan inci untuk sekali proses pembikinan. Lemang yang dimasak memakan masa 6 jam bermula dari awal proses hingga ke peringkat akhir pembungkusan.
Selain itu, bahagian memproses mempunyai dua pekerja mahir sahaja dan untuk aktiviti penghantaran/pengedaran, ada yang kami poslaju dalam bentuk frozen bagi agen-agen individu di luar Negeri Sembilan yang mana skop market mereka lebih ke media sosial. Ada juga kami hantar terus ke kedai-kedai agen dengan order minima 50 batang dan adakalanya kami menghantar melalui bas ekpress bagi pelanggan-pelanggan yang ingin mendapatkan segera produk ini.
Agro Malaysia: Sambutan terhadap produk ini dari pelanggan
Jawapan: Kemungkinan produk Lemang Sushi agak baru pada masyarakat Malaysia ditambah pula dengan terbitan artikel di beberapa media seperti Utusan Malaysia, Kosmo, Metro, Sinar dan TV RTM (Selamat Pagi Malaysia) dan di TV Astro Oasis telah menjadikan Lemang Sushi dikenali ramai. Pelanggan ingin sangat merasa keunikan makanan ini. Justeru itu permintaan kini makin bertambah dikalangan penggemar lemang di seluruh Malaysia, Sabah dan Sarawak termasuk Brunei dan Singapura dan ada juga agen yang berminat untuk memasarkan ke luar negara. Yang menariknya Lemang Sushi boleh didapati dalam bentuk sejuk beku dan memudahkan pelanggan untuk menikmati pada bila-bila masa sahaja.
Agro Malaysia: Cabaran menghasilkan produk dan bagaimana cara mengatasinya.
Jawapan: Walaupun pada mulanya kami tidak tahu langsung cara menggunakan mesin lemang oven dan atas usaha sendiri akhirnya kami berjaya juga menggunakan mesin tersebut walaupun banyak rintangan pada awal proses pembikinan lemang. Untuk membuat Lemang Sushi agak rumit sekali dimana prosesnya mesti selalu dipantau setiap masa, jika tidak santannya akan berkumpul di tengah-tengah lubang tiub, Paling rumit sekali ialah proses memasukkan inti didalam tiub yang terletak di tengah-tengah lemang yang mana kami hampir putus asa untuk meneruskan projek ini. Berkat kesabaran dan ‘try n error’ kami, akhirnya membuahkan hasil juga hinggakan pihak MARDI pun kagum dengan pencapaian kami.
Agro Malaysia: Rancangan masa depan
Jawapan: Dalam usaha untuk mencari pasaran baru yang lebih meluas, kami bercadang untuk mengambil langkah-langkah seperti berikut:
1. Melantik lebih banyak agen-agen untuk memasarkan produk secara direct selling (melalui media sosial: FB, Instagram dan Twitter).
2. Memasarkan terus ke hypermarket untuk produk sejuk beku.
3. Melantik francais (untuk membuka kiosk hypermarket) – Perniagaan francais biasanya memerlukan modal untuk pengiklanan, sokongan dan latihan perniagaan yang biasanya merupakan sebahagian pakej francais yang ditawarkan oleh syarikat.
4.Mencari agen yang dapat memasarkan produk ini. (berinti durian) ke luar negara seperti China, Hong Kong, Singapura dan lain-lain memandangkan citarasa kaum China lebih kepada produk berunsurkan rasa durian.