Memacu Kemajuan Industri Gaharu Di Malaysia
Pokok karas atau nama saintifiknya aquilaria spp. yang menghasilkan gaharu adalah dari famili thymelaeceae. Terdapat 22 spesies aquilaria dijumpai di seluruh dunia dan di Malaysia terdapat lima spesies iaitu a. malaccensis, a.hirta, a.beccariana, a. rostrata, a.microcarpa.
Gaharu pula berasal dari perkataan sanskrit iaitu “aguru” yang bermaksud kayu berat (tenggelam). Gaharu juga dikenali dengan nama agarwood, aloeswood, eagleswood, jin-ko (Jepun), oud (Arab). Gaharu adalah sejenis kayu dengan pelbagai bentuk jaluran warna khas, serta memiliki kandungan damar wangian berupa aloe-resin yang akan mengeluarkan bau aroma khusus apabila dibakar. Pada umumnya gaharu dihasilkan daripada pokok spesies karas (aquilaria spp.).
Permintaan yang sangat tinggi serta harga pasaran yang semakin meningkat telah menjadikan gaharu sebagai industri yang kian berkembang maju berdasarkan kepada faktor kepentingan dan kegunaan bahan tersebut untuk bahan perubatan, wangian, kosmetik dan sebagainya.
Di Malaysia, industri gaharu merupakan sub sektor industri perkayuan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi dan merupakan khazanah negara yang perlu dipelihara dengan baik. Ia perlu dimajukan sebagai sumber ekonomi baharu yang penting dalam industri perkayuan negara sejajar dengan Dasar Perindustrian Kayu Negara, NATIP (2009-2020), yang memberi penekanan kepada produk bernilai tambah tinggi.
Industri ini juga diharapkan dapat memainkan peranan sebagai katalis dalam memacu peningkatan aplikasi bio teknologi di dalam industri perkayuan negara, seterusnya mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara.
Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah dilantik sebagai Pihak Berkuasa Pengurusan atau Management Authority (M.A.) bagi Convention on International Trade of Endangered Species of Wild Flora and Fauna (CITES) untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala Jabatan Perhutanan Sarawak pula adalah M.A. bagi negeri Sarawak.
Pihak berkuasa yang dilantik ini bertanggungjawab untuk memastikan perdagangan eksport, import dan eksport semula spesies flora dan fauna yang tersenarai di dalam apendiks CITES mematuhi semua peraturan CITES dan ini termasuklah spesimen atau barangan kayu karas dan gaharu. Segala urusan pendaftaran ladang dan perdagangan antarabangsa bagi keluaran karas dan gaharu perlu dikemukakan kepada MTIB bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah, atau kepada Jabatan Perhutanan Sarawak bagi pemohonan di Sarawak. Ini adalah kerana pokok karas dan gaharu merupakan spesies yang termaktub dalam apendiks II, Konvensyen CITES.
Industri karas dan gaharu di negara ini mula meningkat populariti dengan mendadak bermula tahun 2005. Tahun demi tahun, industri ini dilihat berkembang pesat dengan bertambahnya bilangan ladang karas di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, bagi memacu pembangunan Industri karas dan gaharu di Malaysia, satu pelan tindakan pembangunan industri karas dan gaharu yang bersepadu, komprehensif dan efektif telah dilancarkan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia yang menggariskan lima (5) pelan strategi utama iaitu;
a) Penubuhan ladang karas
b) Pembangunan modal insan
c) Penyelidikan dan pembangunan
d) Pembangunan aktiviti hiliran
e) Promosi dan perdagangan
Bagi mengatasi masalah sumber bekalan bahan mentah dari hutan asli yang terhad, alternatif terbaik untuk kesinambungan industri ini adalah menerusi perladangan karas. Perladangan karas dapat membantu pembekal/peniaga gaharu untuk mendapatkan sumber bekalan bahan mentah yang sah bagi menampung permintaan pembeli gaharu yang meningkat dari semasa ke semasa. Di samping itu, teknologi inokulasi untuk penghasilan gaharu yang murah dan berkesan perlulah wujud agar dapat membantu meningkatkan hasil pengeluaran gaharu mentah tempatan.