Petani Dan Perjuangan Menentang Neokolonialisme
Rencana Khas Oleh: Dr Rahmat Ghazali
Penjajahan neokolonialisme atau ‘penjajahan baru’ datang tanpa tentera, tanpa tekanan politik, tanpa penindasan kemanusiaan yang nyata dan langsung, tetapi amat terkesan kepada rakyat tempatan yang terjajah.
Pada hari ini dan sejak 31 Ogos 1957 lagi, kita sudah merdeka; kemerdekaan yang diterjemahkan sebagai bebas daripada belenggu kependudukan penjajah, cengkaman ketenteraan, telunjuk politik dan pentadbiran orang asing. Cengkaman politik yang lazim dirujuk dalam konteks penjajahan, menjangkau banyak aspek yang mengganggu pengendalian pentadbiran negara termasuk ketenteraan, ekonomi, pendidikan, budaya, pertanian, hasil semulajadi negara, perlombongan dan apa juga yang boleh menyumbang kepada kekayaan kuasa penjajah. Syukur, kita sememangnya telah bebas daripada belenggu sedemikian.
Namun tanpa sedar, sebagaimana yang sering diuar-uarkan oleh sarjana pasca-penjajahan, kolonialisme atau imperialisme terus menyelinap fikiran negara bekas penjajahan dalam bentuk yang berbeza daripada kependudukan penjajah, kuasa ketenteraan dan kuasa politik kolonial sebagaimana yang pernah kita alami sebelum 1957 dan 500 tahun sebelumnya.
Ia datang tanpa tentera, tanpa tekanan politik, tanpa penindasan kemanusiaan yang nyata dan langsung, tetapi amat terkesan kepada rakyat tempatan yang terjajah.
Walaupun istilah neokolonialisme itu sering digunakan secara polemik untuk menentang tekanan negara-negara maju terhadap negara bekas jajahan mereka, namun ia penting untuk mengingatkan negara-negara yang pernah dijajah seperti Malaysia bahawa penjajahan corak baru sentiasa berlangsung dalam bentuk tekanan ekonomi dan tekanan budaya.
Malah menurut Kwame Nkrumah, Presiden pertama pasca-penjajahan Ghana, neokolonialisme lebih dahsyat daripada penjajahan ketenteraan dan pentadbiran negara kerana ia berlangsung secara halus, memusnahkan budaya, sistem nilai, pandangan dunia, ekonomi serta amalan hidup rakyat peribumi.
Nkrumah, yang dilihat sebagai pencetus kepada teori neokolonialsme menyatakan bahawa antara mekanisme penjajahan bentuk baru itu ialah:
- Berlakunya kawalan yang berterusan dan aktif dalam bentuk halus terhadap negara baru merdeka.
- Dalam banyak kes, neokolonialisme dilaksanakan melalui perancangan ekonomi dan kewangan. Misalnya negara bekas jajahan menjadi tumpuan pemasaran barangan import negara bekas penjajah.
- Walaupun neokolonialisme merupakan kawalan berterusan daripada negara bekas penjajah, namun negara bekas jajahan akan juga menghadapi tekanan kuasa penjajah baru seperti Amerika Syarikat, mahupun organisasi kewangan serta dana antarabangsa.
- Dalam kes tertentu, kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain, Rusia, Perancis, Jepun dan China, akan menjadikan negara bekas jajahan yang sedang membangun itu sebagai lokasi ‘peperangan dingin’ antara mereka.
- Bagi kepimpinan negara bekas jajahan yang tidak peka terhadap mekanisme neokolonialisme sedemikian dan melayani kuasa neokolonialisme itu, maka isu tentang taraf hidup rakyat, pendidikan, pembangunan dan kemiskinan terus terabai.
Tanpa mahu meneropong aspek-aspek mikro ekonomi dan budaya yang terkesan daripada penjajahan neokolonialisme, ingin sekali saya menarik perhatian pembaca untuk berfikir sepintas lalu tentang beberapa gejala yang pernah dialami oleh negara kita.
Pastinya kita masih ingat mengapa semasa krisis ekonomi dan matawang Asia pada 1997, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menolak tawaran bantuan IMF (International Monetary Fund) atau Dana Kewangan Antarabangsa, yang kononnya satu-satunya penyelesaian kepada kemelesetan ekonomi Malaysia. Kepimpinan negara telah menolaknya secara kritis tawaran bantuan IMF itu.
Secara hipotetikalnya Amerika Syarikatlah yang menentukan rentak tari IMF, Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang boleh sahaja diterjemahkan sebagai senjata neokolonialisme. Negara kuasa besar itu juga dilihat seringkali menggunakan kuasa ekonomi untuk memaksa negara lain mengikut telunjuknya.
Sebelumnya kita juga terpanggil untuk meneliti projek kereta nasional atau Proton yang bagi sesetengah pengkritik politik, ia diterjemahkan sebagai suatu ‘mimpi siang hari’ yang tidak akan membantu pembangunan ekonomi negara, malah dilihat sebagai parasit ekonomi dan pembaziran. Sebaliknya, menyangkal pandangan genjot sedemikian, ia adalah suatu mekanisme yang kaya dengan semangat nasionalisme jika bukan patriotisme.
Salah satu daripada kebaikan projek kereta nasional ialah sebagai strategi mengendurkan kebergantungan negara terhadap pengimportan kereta luar negara. Meskipun pada awalnya pelbagai kritikan diterima tentang kualiti produk industri kereta nasional, namun ia harus dilihat sebagai proses pematangan sebagaimana juga yang pernah dialami oleh negara Jepun semasa industri kenderaan mereka mula bertapak. Hari ini industri kereta Malaysia telah subur dan berkembang dengan baik dan amat membanggakan sehingga menumbuhkan tunas ranting Perodua.
Pada perspektif yang sama, sektor pertanian juga harus dimakmurkan sebagai satu mekanisme untuk menentang neokolonialisme yang menyerang negara secara halus. Kebergantungan negara terhadap pengimportan gula, tepung, beras, sayur, makanan laut, buah-buahan, herba, dan lain-lain lagi yang berasaskan hasil pertanian haruslah dibendung. Bayangkan sekiranya berlaku peperangan atau krisis politik di negara pengeluar, pasti dampaknya akan turut dirasai secara lewahnya oleh negara yang terlalu bergantung kepada produk makanan asas itu.
Dari perspektif yang lain, kenaikan harga gula dan beras, yang di luar kawalan negara misalnya, boleh juga menjadi senjata neokolonialisme. Malah dalam rentetan kes yang sama, gejala ekonomi seperti menyorok bekalan sehingga menggangu permintaan telah menyebabkan huru-hara di sesetengah tempat apabila permintaan tidak dapat dipenuhi.
Malangnya bahan makanan seperti gula dan beras adalah bahan komoditi yang tidak boleh dikompromikan belakannya kerana ia telah menjadi makanan asasi dalam budaya pemakanan rakyat Malaysia. Apabila permintaan mengatasi bekalan atau pengeluaran, maka inflasi akan menular. Dengan itu juga harga bahan akan meningkat naik. Lagi sekali, sekiranya rakyat tidak mampu membeli, dampaknya ialah kelaparan, dan kelaparan rakyat akan membawa kepada huru-hara.
Dengan itu sesiapa sahaja daripada kalangan petani yang mengerjakan tanah-taneh mereka dan menyuburkan industri asas tani bagi menyumbang kepada pengeluaran beras, gula, daging, ayam, sayur, ikan dan apa jua keperluan hasil tani, boleh sahaja kita angkat sebagai wira negara yang menentang neokolonialisme.
Pada rentetan perekonomian yang bertitik-tolak daripada sektor pertanian, kita juga tidak boleh mengabaikan sektor pemakanan dan dan mekanisme pemasarannya.
Sekiranya KFC dan McDonald terkenal dengan ayam goreng dan burgernya, maka rakyat tempatan juga harus bergerak seiring dengan produk tempatan yang dapat mematahkan kebergantungan pengguna terhadap jaringan perniagaan luar itu. Ayam Mas, Chicken Rice Shop, dan Ramli Burger misalnya (sekadar menyebut beberapa contoh) adalah suatu mekanisme persaingan yang boleh memecahkan tembok neokolonialisme itu. Semua jaringan produk sedemikian tidak dapat lari daripada sumbangan para petani Malaysia yang membekalkan bahan asas.
Selari dengan itu, kita juga harus melebarkan pasaran produk makanan negara kepada pasaran dunia. Malaysia boleh sahaja menjadi hub herba, buah-buahan tempatan dan ikan air tawar yang boleh diproses untuk dipasarkan ke pasaran global. Kajian saintifik sudah memperakui tentang hebatnya akar tungkat ali, gamat, buah manggis, kacip fatimah, misai kucing, dan pegaga (sekadar menyebut beberapa produk herba tempatan) yang saya kira boleh sahaja berdiri seiring dengan ginseng yang sudahpun popular di pasaran dunia.
Industri asas tani, bukan sahaja menyumbang kepada pertahanan negara menentang neokolonialisme, malah ia juga membantu para petani, khususnya petani kecilan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan tegar. Kita tidak boleh membiarkan sektor ekonomi negara menjadi juling kerana terpengaruh dengan dichotomi antara sektor pertanian perladangan dan pertanian makanan. Walaupun sektor pertanian makanan terbentuk dalam kelompok-kelompok kecilan namun sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah lebih besar berbanding dengan sektor perladangan.
Industri makanan ringan seperti kerepek ubi kayu, rempeyek kacang, kerepek pisang, sate ikan dan sebagainya haruslah dilumayankan dan disemarakkan. Tiada sesiapa yang akan memperoleh keuntungannya selain daripada para petani sendiri. Dengan usaha, tindakan dan mekanisme strategik, pastinya produk tempatan dapat menentang kerepek kentang, serta makanan ringan import yang hanya akan memakmurkan negara luar.
Dalam konteks budaya, kita pastinya berasa rimas apabila makanan seperti Tom Yam, Nasi Paprik, Nasi Pataya, Bakso, Susyi, Mee Hailam, burger, hotdog dan sebagainya memenuhi menu restoran negara. Pada satu sudut ia tidak memberikan apa-apa dampak kepada senario politik dan ekonomi negara, namun dalam konteks neokolonialsme, kita kalah pada aspek membudayakan makanan tempatan. Tidak hairanlah hanya dengan isu remeh seperti tarian pendet dan kain batik, rakyat negara jiran menjadi amat emosional untuk menuntut hak milik asal produk budaya berkenaan yang didakwa sebagai milik mereka. Saya tidak nampak apa-apa yang serius yang mahu mereka perjuangkan selain daripada tanggapan mereka terhadap neokolonialisme atau mungkin juga boleh diistilahkan sebagai imperialisme budaya.