Beras Perang
Pilihan Diet Terbaik Secara Semulajadi
Oleh: Mohd Amirul Mukmin Abdul Wahab
BERAS adalah sumber makanan utama penduduk dunia khususnya di Malaysia. Kepelbagaian jenis pengeluaran beras di Malaysia pada masa kini telah menawarkan opsyen yang lebih banyak kepada pengguna untuk kegunaan diet harian.
Ini termasuklah beras perang yang digunakan oleh segelintir pengguna di Malaysia yang dipercayai sebagai remedi terbaik bagi pencegahan penyakit seperti diabetis dan jantung. Sebagaimana beras hitam yang terkenal dengan kepercayaan yang mampu menyembuhkan penyakit hati, perut dan buah pinggang dan hanya menjadi hidangan khusus buat maharaja China pada masa silam, kini beras perang boleh dinikmati oleh semua golongan tidak mengira jantina, pangkat dan umur.
Beras perang didapati dengan kaedah menyingkirkan lapisan terluar padi tanpa melalui proses pengilangan. Berbeza dengan beras putih yang telah melalui darjah pengilangan, kandungan komposisi mineral dan vitamin yang terdapat pada beras perang seperti kalsium, zat besi, fosforus dan serat adalah jauh lebih tinggi.
Sifatnya yang lambat hadam apabila dimakan menjadikan ia sebagai diet terbaik bagi mengurangkan pengambilan nasi putih secara berlebihan sekaligus mampu mengekalkan berat badan.
Pengambilan nasi putih secara berlebihan dikenalpasti sebagai antara punca masalah kegemukan. Pengguna yang mengamalkan pengambilan beras perang dalam diet seharian mereka tidak perlu lagi untuk mengambil produk-produk kesihatan di pasaran sekarang yang menawarkan pakej penurunan berat badan tanpa mengganggu rutin pemakanan seharian mereka.
Bayangkan sekiranya seseorang mengamalkan pengambilan produk kesihatan untuk menurunkan berat badan yang diketahui umum sebagai bahan proses mengandungi gula, perasa dan bahan konservatif ditambah dengan rutin pemakanan dengan pengambilan gula berlebihan di dalam makanan dan minuman mereka, akan menjurus kearah penyakit kencing manis dan masalah jantung.
Ia bukanlah suatu pilihan yang tepat untuk mengurangkan berat badan. Pengambilan beras perang dan bersenam adalah pilihan terbaik bagi golongan tersebut. Khasiat beras perang bukan sahaja baik untuk amalan diet secara semulajadi.
Malah kajian yang dijalankan oleh Dr Saturo Eguchi, seorang professor fisiologi mendapati lapisan luar beras perang yang dikenali sebagai lapisan subaleurone berupaya menghalang aktiviti angiotensin II daripada menyerang lapisan dinding sel otot vaskular pada saluran darah seterusnya bertindak sebagai penghalang dan pelindung daripada terjadinya tekanan darah tinggi.
Angiotensin II ialah protin endokrin yang dikenali umum sebagai punca kepada pembentukan tekanan darah tinggi. Manakala lapisan subaleurone yang diekstrak daripada beras perang pula bertindak sebagai pelindung dan penghalang dari aktiviti tersebut.
Walaupun keberkesanan lapisan subaleurone terhadap penyakit jantung kardiovaskular masih belum dapat dipastikan, namun manfaatnya terhadap langkah pencegahan terhadap tekanan darah tinggi adalah sesuatu yang positif. Kajian masih dijalankan oleh Dr Eguchi untuk mengenalpasti beberapa kebaikan lain lapisan subaleurone yang terdapat pada beras perang ini.
Beras yang sudah diproses menjadi beras putih mengandungi kandungan kanji atau karbohidrat yang tinggi. Sekaligus kandungan gula di dalam beras putih juga meningkat. Menurut kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Mardi terhadap darjah pengilangan beras perang Q34 mendapati kandungan karbohidrat meningkat secara berperingkat berdasarkan darjah pengilangan 4,6 dan 8 %.
Ini jelas menunjukkan rutin pengambilan beras putih yang telah diproses secara berlebihan sebagai diet adalah sangat tidak digalakkan. Rakyat Jepun merupakan golongan yang aktif dalam pengambilan beras perang dalam diet seharian mereka.
Timbul persoalan di benak fikiran mengapa beras perang kurang digemari rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu. Rasa yang kurang enak, harga yang mahal dan cara penyediaan yang rumit mungkin menjadi sebahagian dari faktor beras perang kurang menjadi pilihan hidangan di rumah mahupun di restoran-restoran.
Tambahan permintaan terhadap beras putih yang telah diproses adalah tinggi di Malaysia yang merangkumi jenis beras wangi dan beras basmathi, masa depan beras perang masih lagi samar. Beberapa inisiatif perlu diambil bagi menimbulkan kesedaran umum tentang kebaikan dan khasiat beras perang.
Ini termasuklah peranan agensi-agensi kerajaan dalam menghasilkan teknologi penyimpanan stok beras perang agar tiada lagi masalah kerosakan produk berlaku yang seterusnya menjejaskan pengeluaran dan permintaan terhadap beras perang. Peranan media massa dan media cetak dalam penyebaran khasiat dan kebaikan pengambilan beras perang juga penting untuk memberi keyakinan kepada pengguna.
Mungkin juga kempen hari tanpa beras putih juga wajar dijalankan di seluruh negara melalui agensi seperti kementerian kesihatan. Di samping itu, untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, adalah harus dipertimbangkan pemberian subsidi oleh kerajaan terhadap produk beras perang ini agar ianya mampu dinikmati oleh semua golongan di Malaysia. Adalah diharapkan semoga semua usaha tersebut mampu menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara sihat menjelang tahun 2020.