Memacu Industri Usahawan Tani
Oleh: DR. RAHMAT GHAZALI
Program kemakmuran ekonomi Malaysia tidak boleh meminggirkan sektor pertanian. Malaysia mempunyai iklim yang amat cocok dengan kehidupan fauna dan flora dan Malaysia juga mempunyai bumi yang tanahnya subur untuk tanaman. Hujan sepanjang tahun dan tenaga suria yang mewah membolehkan hampir semua tanaman yang menjadi makanan asas kepada keperluan biologikal manusia hidup subur di bumi Malaysia.
Namun sifat fizikal bumi dan iklim sedemikian belum cukup untuk menyemarakkan sektor pertanian, tanpa penyepaduan dan kesinambungan usaha, baik dari segi mental, kewangan, teknologi dan tenaga buruh. Atas fahaman sedemikianlah maka usaha dan pacuan kerajaan untuk memakmurkan sektor pertanian sama ada dari aspek teknologi, kemahiran dan kewangan harus dilihat sebagai tindakan yang amat bijak pada saat-saat ahli masyarakat terdodoi dengan kemajuan ICT, industri berat dan elektronik.
Apabila dunia dikacau oleh kesan spekulasi antarabangsa terhadap urusan jual-beli minyak mentah pada tahun 2008, masyarakat dunia tiba-tiba tersentak sehingga berlaku huru-hara di sana-sini kerana harga barang makanan turut naik mendadak. Kesan kenaikan harga barang makanan bukan sahaja dirumitkan oleh kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan, tetapi juga kerana kekurangan bahan berkenaan.
Kita pasti belum lupa betapa kenaikan harga beras menjadi isu hangat negara kerana itulah bahan makanan asasi penduduk Malaysia. Segalanya dihuru-harakan lagi dengan isu pemanasan global yang menyebabkan sistem ekologi dunia menjadi tidak intim dengan proses semula jadi pengeluaran bahan makanan.
Dahulunya kita pasti bangga dengan gelaran ‘Jelapang Padi’ yang diberikan kepada Kedah dan kebanggaan itu secara psikologinya juga menyebabkan kita selesa bahawa bekalan beras negara cukup untuk setiap isi rumah di Malaysia dengan sokongan penanaman padi dari negeri-negeri lain seperti Kelantan, Perak dan Pahang.
Namun hakikatnya hari ini, Malaysia amat bergantung kepada import beras daripada negara jiran seperti Thailand dan Vietnam. Dalam pada itu kita juga sedar bahawa situasi sosio-politik negara-negara berkenaan tidak stabil untuk memberikan jaminan bahawa pengimportan beras ke negara kita akan terus berkekalan dan dapat memenuhi peningkatan permintaan.
Bagaimanapun kesan perindustrian di Thailand dan Vietnam telah menunjukkan suatu corak migrasi tenaga kerja yang hampir sama dengan situasi di Malaysia. Anak-anak muda yang boleh kita terjemahkan sebagai tenaga kerja yang signifikan, telah berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Bangkok dan Ho Chin Minh untuk bekerja di kilang-kilang kerana gaji yang lumayan serta tarikan gaya hidup hedonisme (hiburan) yang lewah.
Situasi berkenaan juga terlihat di Malaysia pada suatu ketika dahulu apabila masyarakat desa berpusu-pusu berhijrah ke kota besar untuk mengisi permintaan pekerjaan di kilang-kilang. Akibatnya sektor pertanian mengalami kemerosotan dan kesan langsungnya ialah penurunan pengeluaran pertanian, terutamanya beras di Thailand dan Vietnam.
Kita mungkin terlupa bahawa peningkatan pengeluaran bahan makanan hanya bersifat ‘progresi metamatikal’ iaitu dengan kadar peningkatan 1, 2, 3, 4 dan seterusnya, sedangkan peningkatan jumlah penduduk adalah bersifat ‘progesi geometrikal’ iaitu dengan kadar 2, 4, 8, 16, 32, 64 dan seterusnya. Dengan hakikat sedemikian peningkatan permintaan bahan makanan sentiasa meningkat dengan kadar berganda sedangkan usaha ke arah penambahan pengeluaran bahan makanan itu mendatar dan sentiasa kalah dengan kadar permintaan.
Bayangkan apabila suatu hari nanti Thailand, mahupun Vietnam menolak pengeksportan beras ke negara kita kerana permintaan domestik mereka juga tidak terlayan.
Ramai yang setuju bahawa kita harus mengubah tabiat dan cara pemakanan kita; jangan makan nasi sebaliknya kita makan roti. Namun pada hakikatnya kita tidak menyelesaikan masalah jika pengeluaran gandum juga menghadapi situasi yang sama sebagaimana pengeluaran beras.
Tsunami, banjir, ribut taufan, gempa bumi, kebakaran hutan, kepanasan bumi yang meningkat dan gejala alam yang lain turut mengganggu dan menurunkan kapasiti pengeluaran bahan makanan terutamanya bahan makanan asasi. Malah kerana kesan pemanasan global keadaan iklim hari ini sudah tidak menentu di negara-negara pengeluar gandum, terutamanya Eropah dan Rusia.
Malaysia pernah mengalami pengalaman perit dalam soal krisis makanan dan kenaikan harga minyak mentah global pada 2008. Pastinya pengalaman perit sedemikian membawa parut yang tebal kepada rakyat kerana ia turut mengakibatkan inflasi dengan kenaikan harga makanan yang mendadak. Fenomena ekonomi sedemikian bukan sahaja menjadi penanda inflasi kepada Malaysia semata-mata, malah turut dirasai oleh seluruh masyarakat dunia, terutamanya negara-negara miskin dunia ketiga.
Negara kita mempunyai tanah yang subur dan jarang mengalami bencana alam sebagaimana yang dihadapi oleh negara-negara lain. Malaysia tidak termasuk dalam gugusan negara-negara yang mempunyai gunung berapi. Malaysia juga terpisah daripada garisan gempa bumi yang kerap menimpa Afghanistan, Jepun, Korea Selatan, Turki, New Zealand, Filipina dan lain-lain lagi.
Tenaga kepakaran Malaysia yang lewah, dengan wujudnya puluhan universiti serta badan-badan yang berkaitan dengan teknologi pertanian, seperti MTDC, MARDI, FELCRA, FELDA, BERNAS dan lain-lain lagi, adalah teraju penting untuk menggerakkan dan memacu industri tani khususnya dalam konteks pengeluaran bahan makanan.
Secara kasarnya sektor pertanian negara boleh dipecahkan kepada dua, pertamanya pertanian yang menjurus kepada penghasilan untuk industri dan pengeksportan seperti kelapa sawit, getah, koko dan sebagainya, dan keduanya pertanian yang menjurus kepada menghasilkan bahan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, penternakan dan perikanan. Kerana desakan-desakan ekonomi yang bertujuan menstruktur semula corak ekonomi rakyat serta dasar afirmatif terhadap bumiputera, maka kita dapat lihat bahawa pembangunan sektor pertanian sejak merdeka lebih banyak tertumpu kepada pertanian yang menjurus kepada industri dan pengeksportan.
Amatlah bijak sekiranya usaha yang telah dibuat oleh kepimpinan negara selepas Tun Mahathir untuk memacu sektor pertanian khususnya usaha mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menjana sektor pertanian makanan dan penternakan diteruskan sebagai dasar utama negara meskipun kepimpinan negara berubah. Tun Abdullah Ahmad Badawi serta barisan kepimpinan negara yang terlibat telah berjaya melakukan suatu transformasi mental terhadap rakyat dengan mengangkat bidang pertanian sebagai sumber pendapatan.
Amat membanggakan apa yang telah diperkenalkan oleh kepimpinan era Tun Abdullah ialah suatu penglibatan rakyat, terutamanya di luar bandar dalam bidang pertanian yang berasaskan teknologi moden, dengan bermatlamatkan komersilisme serta produktiviti yang tinggi. Usaha sedemikian telah diselarikan dengan pengayaan penyelidikan dan pembangunan dan memperkasakan institusi-institusi pertanian untuk berdiri dengan kekuatan yang lebih efisien dan berdaya maju.
Dengan moto ‘pertanian adalah perniagaan’, persepsi rakyat terhadap sektor pertanian telah kian berubah. Program transformasi mental khususnya dalam konteks persepsi rakyat terhadap sektor pertanian dapat dilihat daripada program kerajaan seperti pembentukan koridor NCER, ECER, Iskandar Malaysia (IRD dan SJER) Score dan SDC.
Antara wawasan utama yang didokong oleh setiap koridor tersebut adalah memakmurkan sektor pertanian bahan makanan, penternakan dan perikanan. Bukan itu sahaja, pihak swasta juga turut sama berganding bahu untuk menyemarakkan penggunaan teknologi moden pada sektor pertanian melalui program Taman Kekal Pengeluaran Pertanian, Agro-Entrepreneur, Ladang Kontrak, Pusat Fidlot Kebangsaan dan Zon Industri Akuakultur.
Jelaslah bahawa pendekatan kerajaan untuk mentransformasi mental rakyat terhadap pertanian perlahan-lahan menunjukkan kesan positif. Pendekatan sedemikain amat baik untuk menarik kembali golongan muda yang lebih bertenaga supaya memakmurkan tanah terbiar di kampung-kampung dengan aktiviti pertanian moden serta kapasiti produktiviti yang tinggi. Gejala mahasiswa menganggur juga boleh dikendurkan melalui program pertanian sedemikain yang berpotensi dimajukan dengan penglibatan golongan berpendidikan tinggi. Bukan itu sahaja, usaha kerajaan sedemikian juga memacu kelahiran usahawan pertanian komersial yang bergerak bukan sahaja untuk keperluan domestik tetapi juga untuk produk eksport.