Cili Jeruk Saraka ‘Hot Pepper’
DI IBUKOTA saya tidak memiliki tanah kerana tinggal di kawasan perumahan. Namun ia bukan satu halangan untuk menanam pokok cili yang menjadi keperluan harian kami sekeluarga.
Saya membeli dua kilogram tanah campuran berharga RM4 lalu saya tambah sedikit sabut kering serta baja AB untuk ditanam sepohon cili varieti saraka ‘hot pepper’ spesies menegak.
Di sinilah saya berkarya, menimba pengalaman sambil melihat proses pembesaran pokok cili tersebut.
Alhamdulilah… setelah hampir lima bulan, penantian saya berhasil. Pokok cili saya berbuah lebat dan cukup untuk kegunaan peribadi serta dipanjangkan kepada para sahabat serta jiran.
Selain dibuat sambal hijau, digunakan untuk mengulai atau masak lemak cili padi inovasi dari tanaman cili saya seterusnya adalah cili jeruk organik.
Berikut saya kongsi panduan membuat cili jeruk organik yang ringkas untuk mengelakkan buah cilik rosak atau busuk.
1. Masak air hingga mendidih bersama sedikit garam kasar.
2. Setelah air masak tersebut menjadi suam masukkan cili-cili tersebut.
3. Biarkan beberapa minit. Selepas itu masukkan ke dalam balang atau botol.
4. Masukkan sedikit gula dan satu sudu kecil cuka.
5. Selepas empat hari bakal terhasillah cili jeruk yang enak, halal lagi bersih.
Fakta Mengenai Cili
Cili adalah sejenis sayur berbuah dan tanaman sayur tanah rendah. Varieti yang baik perlu mempunyai kandungan pepejal yang tinggi dan tahan terhadap penyakit serangan-serangan serangga.
1. Varieti MC 11 – Varieti ini mengeluarkan hasil 10 minggu selepas ditanam di ladang dan berterusan hingga musim berakhir. Buah boleh dipetik setiap dua hari sekali. Sehingga musim berakhir tidak kurang 30 kali tuaian.
Varieti ini sesuai ditanam dan berupaya mengeluarkan hasil yang tinggi di pelbagai pesekitaran dengan jarak tanaman 60 sentimeter x 100 sentimeter.
2. Varieti MC12 – Sangat produktif, mempunyai dua puncak pengeluaran dan berupaya mengeluarkan hasil sehingga empat bulan dengan sistem pengaliran yang cekap.
Pemetikan hasil dilakukan 5 hingga 6 hari sekali. Pokoknya rendah dan menghalang ia rebah. Pancang-pancang tidak diperlukan. Buahnya panjang, padat dan menarik.
3. Varieti MC 4. Saiz sederhana dan kurang pedas. Tahan pada penyakit antraknos dan boleh ditanam secara besar-besaran. Hasilnya 12 hingga 20 tan untuk satu hektar.
4. MC 5 – Varieti ini dibiakkan oleh MARDI. Saiz buah 10 hingga 15 sentimeter panjang. Sangat pedas dan sentiasa berbunga. Hasilnya 15 hingga 25 tan sehektar.
5. Kulai – Saiz buahnya 12 hingga 15 sentimeter. Tirus, mesocap tebal, tinggi pokok adalah 60 hingga 180 sentimeter. Rasanya amat pedas. Hasil buah sebanyak 10 hingga 15 tan sehektar.