Jom Tanam Kacang Bendi
SAYUR kacang bendi memang enak. Apatah lagi jika buahnya direbus segar dan dicecah dengan sambal belacan atau sambal hijau lalu dimakan bersama nasi panas.
Aduhai… bukan sahaja lazat tetapi mengandungi 1001 khasiat untuk tubuh kita. Kacang bendi atau nama saintifiknya Ablelmoschus Esculentus adalah tumbuhan mampu hidup subur di negara kita.
Batangnya lembut, hidup tegak dan mempunyai banyak cabang yang menghasilkan buah lebat. Bendi juga dikenali sebagai kacang tanduk kerana buahnya lonjong, panjang serta bersegi. Kerap juga sayuran tersebut digelar kacang lendir, okra atau lady finger.
BIJI KACANG BENDI BOLEH DIJADIKAN MINYAK SAYUR
1. Amalan makan kacang bendi sangat baik untuk mencegah penyakit kencing manis.
2. Kacang bendi juga bermanafaat menyihatkan kulit (anti oksidan) dan meremajakan kulit.
3. Sayuran itu amat berguna untuk mencergaskan minda, otak serta mengurangkan kolesterol.
4. Kacang bendi bukan sahaja enak tetapi membantu melawaskan penghadaman dan pencernaan usus.
5. Biji bendi yang matang boleh diproses menjadi bahan minuman seperti kopi.
6. Biji bendi yang tua juga boleh diproses menjadi minyak sayuran yang bermutu tinggi.
7. Daun pokok kacang bendi yang muda boleh dijadikan ulam manakala daun yang tua boleh dijadikan bahan kraftangan yang unik.
8. Kacang bendi mencegah ulser, mengurangkan keletihan dan kemurungan.
CARA RINGKAS KOS MURAH
Bahan-Bahan
1. Tanah (Kacang bendi boleh ditanam dikebanyakan jenis tanah iaitu tanah gembur berpasir, tanah liat, tanah gambut atau tanah lembah).
2. Benih kacang bendi.
3. Air baja AB.
4. Baja buah.
CARA MENANAM
>> Rendam biji kacang bendi satu malam supaya dapat melembutkan lapisannya agar cepat tumbuh.
>> Gemburkan tanah iaitu dua minggu sebelum biji kacang bendi disemai.
>> Gaulkan tanah tersebut dengan baja organik .
>> Tanam biji benih bendi sedalam 2.5 sentimeter di batas. Setiap satu lubang dua biji. Jarak tanaman ialah 90 sentimeter setiap satu pokok.
>> Untuk mengekalkan kelembapan tanah tutup tanaman tersebut dengan pelepah kelapa kering atau plastik.
>> Cabut rumput liar yang tumbuh supaya pokok kacang bendi boleh tumbuh selesa dan subur.
>> Tabur baja organik setiap dua minggu di keliling pokok.
>> Siram sekali sehari iaitu pada waktu petang. Penyiraman amat penting terutama di peringkat pokok tersebut berbunga dan berputik.
>> Kacang bendi boleh dituai 50 hari hingga 60 hari selepas benihnya ditanam.
>> Buah kacang bendi yang sihat berukuran 10 sentimeter hingga 12 sentimeter. Hujungnya lembut serta rapuh dan mudah dipatahkan. Tuai buahnya selalu supaya tumbuh bunga baru untuk buah baru.
Kawalan Musuh Dan Penyakit Musuh utama tanaman bendi ialah serangga perosak atau ulat pengorek . Penyakit utama kacang bendi pula adalah daunnya bertompok serta berkarat.