Fokus, Disiplin Punca Kejayaan Usahawan Lintah
Oleh: MOHD ZABIDI HAJI SAIDI
Setiap usahawan kena fokus dengan bisnes yang diceburinya dan berdisiplin untuk menjadi usahawan yang berjaya. Itulah pegangan utama seorang pengusaha lintah, Zamri Ibrahim, 48.
Menghuraikan isu ini, beliau berkata tanpa fokus, sesuatu bisnes itu tidak akan berjaya. Sebab itu apabila usahawan nekad untuk menjalankan apa-apa bisnes dia kena fokus dari A hingga Z.
“Tanpa fokus, bisnes tidak akan ke mana dan mati separuh jalan,” katanya. Selain dari itu, beliau juga berharap usahawan-usahawan baru perlu disiplin dan komitmen yang tinggi dalam bidang yang diceburi.
Beliau sudah mengalami jatuh bangun dalam bisnes sejak berniaga dalam bidang pengiklanan dengan syarikat Artsoulist Holdings Sdn. Bhd. Kegawatan ekonomi pada tahun 1997 menyebabkan beliau terpaksa menutup syarikat pengiklanannya.
Mengekalkan nama syarikat yang sama, Zamri dengan rakan kongsinya, Syed Osman beralih ke bidang kesihatan pula. Ilham ini menjelma bila pada suatu hari Zamri berjalan kaki di jalan Masjid India. Beliau lihat ramai orang kerumuni penjual ubat minyak lintah.
“Lendir yang terdapat pada lintah itu mampu membantu melancarkan peredaran darah serta mengurangkan masalah pada sendi badan”, katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Alam Jaya, Batu 9, Cheras, Selangor baru-baru ini.
Apabila mengetahui lintah mempunyai pelbagai khasiat, Zamri menanam cita-cita untuk menternak lintah sekaligus menguruskan perniagaan serta mengkomersialkan pati minyak haiwan itu.
Lintah atau nama saintifiknya hirudo medicinalis juga mengandungi kolagen yang boleh digunakan dalam industri kosmetik dan juga perubatan dalaman tubuh badan.
Lintah mempunyai 650 batang gigi halus dan tiga batang gigi rahang utama. Bila ia menghisap darah, ia akan cakup mangsanya dan ia mengeluarkan sejenis kimia yang bernama hirudin untuk mencairkan darah. Bila kenyang ia mengeluarkan kimia bernama hydrunalias untuk memberhentikan pengaliran darah.
Tanggapan sesetengah pihak lintah menghisap darah kotor adalah tidak benar, sebaliknya ia memerlukan darah ketika hendak mengawan. Lintah mengeluarkan lendir yang sesuai dijadikan bahan untuk kosmetik. Jika badan kita ada kudis, lendir lintah ini boleh menyembuhkan kudis tersebut.
Menyingkap kembali sejarah penglibatannya dalam bisnes lintah ini, Zamri berkata beliau memulakan dengan modal sebanyak RM600.
Dengan perolehan pada tahun pertama, Zamri dan rakan kongsinya tidak menggunakan keuntungan itu untuk beli kereta mewah sebaliknya mereka melabur wang itu untuk menambah modal dengan membuka kilang di Ajil, Terengganu.
Kalau dahulu beliau memperolehi bekalan lintah dari vendornya dengan harga RM80.00 sekilogram, tetapi kini beliau menternak sendiri lintah di premis kilangnya di Ajil.
Sebanyak RM800,000 telah dilabur ketika membuka kilang yang berukuran 100 kaki panjang dan 50 kaki lebar dengan mempunyai 12 orang pekerja manakala di ibu pejabat di Cheras, seramai tujuh kakitangan termasuk dua orang saintis.
Setiap bulan, kilangnya memerlukan 30 kilogram lintah. Lintah induk membesar dalam tempoh enam bulan. Ia mempunyai 300 ekor induk. Lintah yang uniknya mempunyai dua jantina, jantan dan betina. Halangan utama menternak lintah ialah burung putih yang suka makan lintah. Maka kolam lintah dipasang dengan jaring supaya ia tidak diganggu burung putih.
Lintah yang diternaknya diberi makanan lumut dan cacing. Darah yang diberi kepada lintah ialah darah ikan keli dan belut. Lintah juga boleh hidup tanpa makan selama tiga bulan. Itulah kelebihan lintah yang mana ia memerlukan darah untuk mengawan sahaja.
Selain dari lendir lintah yang diekstrak, minyak lintahnya juga dicampuri dengan bahan-bahan lain seperti lada hitam, halia, lengkuas dan ubi jaga.
Siapa sangka Zamri menjadi usahawan lintah yang berjaya dalam usia muda. Beliau yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu belajar di Sekolah Menengah Intan Zaharah Dungun setakat SPM sahaja.
Menyedari betapa pentingnya ilmu, beliau banyak mengikuti kursus jangka pendek mengenai lintah yang diadakan di UPM dan sebagainya.
Beliau memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi pengedar di mana setiap orang tidak dibenarkan menjadi pengedar tunggal bagi mana-mana daerah.
Ayah kepada dua anak kecil berusia 4 tahun dan 1 tahun, Zamri berkahwin di usia yang lewat kerana mahu memberi tumpuan kepada bisnes terlebih dahulu. “Sekarang Alhamdulilah bisnes saya sudah stabil, maka saya dapat juga buat bisnes lain seperti membekal ubat-ubatan kepada hospital dan bidang pembinaan,” katanya sambil mengakui bahawa bisnes lintah ini merupakan perniagaan terasnya.