Misi Mentransformasi Pertanian Pintar
WAWANCARA KHAS BERSAMA YBHG DATO’ HASLINA ABDUL HAMID
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN (MAFI)
SOALAN: Pengenalan diri YBhg. Dato’ dan sudah berapa lama mengetuai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)?
JAWAPAN: Saya kongsikan sedikit latar belakang mengenai diri saya. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kangar, Perlis. Seterusnya, saya telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Bidang Ekonomi dan Pentadbiran dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-Undang (Pentadbiran Awam & Sains Politik) dari Universiti KEIO Tokyo, Jepun.
Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 26 tahun di pelbagai Kementerian, termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Agensi Awam. Pada akhir tahun 2019, saya telah diberi peluang untuk berkhidmat di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Setiausaha MAFI pada 10 Mac 2021 sehingga lah ke hari ni.
SOALAN: Sektor pertanian dan industri makanan menjadi tumpuan kerana ia merupakan pembekal utama makanan dan sumber bahan mentah. Apa pendapat YBhg. Dato’ dan adakah ianya selaras dengan visi dan misi yang dibangunkan oleh MAFI?
JAWAPAN: Visi MAFI adalah bagi menjadi ‘peneraju transformasi pertanian’ dengan misi mentransformasi sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden, dinamik dan kompetitif, Malaysia kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia dan pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara.
Sememangnya penetapan visi dan misi ini merupakan satu pernyataan yang bersifat tall order, akan tetapi, ini merupakan aspirasi dan harapan Kerajaan supaya MAFI terus memainkan peranan sebagai jentera pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan bekalan makanan dan tahap sekuriti makanan Keluarga Malaysia terus terpelihara.
Jika dilihat daripada sudut visi MAFI sebagai ‘peneraju transformasi pertanian’, manifestasi ini dapat dilihat melalui sumbangan Nilai Ditambah Sektor Agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara yang telah meningkat daripada 44.1 bilion pada tahun 2015 kepada 51.2 bilion pada tahun 2020 dan seterusnya menyumbang 3.8% atau lebih separuh daripada sumbangan sektor pertanian secara keseluruhan iaitu 7.4% kepada KDNK negara. Sumbangan ini akan terus diperkukuhkan dalam tempoh 10 tahun akan datang melalui transformasi yang sedang dilaksanakan di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) iaitu dengan aspirasi menjadikan sektor agromakanan sebagai suatu sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejateraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.
Kandungan DAN 2.0 secara ringkasnya meliputi 6 Objektif, 5 Teras Dasar mengenai aspek pemodenan pertanian, pengukuhan akses pasaran, pembangunan bakat industri, peningkatan amalan pertanian serta sistem makanan mampan dan pewujudan ekosistem perniagaan yang kondusif bersama 21 Strategi dan 77 Pelan Tindakan termasuk 18 Strategi dan 58 Pelan Tindakan di bawah 4 subsektor utama iaitu padi dan beras, buah-buahan dan sayur-sayuran, ternakan serta perikanan dan akuakultur. Menjelang tahun 2030, purata pertumbuhan nilai tambah tahunan diunjur akan meningkat kepada 5% berbanding 2.3% pada tahun 2020. Selaras dengan visi dan misi MAFI, DAN 2.0 juga akan memfokuskan kepada pertumbuhan sektor agromakanan dengan aktviti nilai tambah melalui pemerkasaan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), penggunaan IR4.0 serta pemantapan dan pendigitalan rantaian nilai sektor agromakanan.
Daripada segi bekalan makanan pula, tahap sara diri atau Self Sufficiency Level (SSL) bagi makanan ruji negara iaitu beras dijangka meningkat daripada 63% kepada 80%. Sumber protein utama iaitu daging ayam dan ikan akan terus dipertingkatkan masing-masing ke tahap 140% dan 98%. Bagi sumber nutrisi pula, SSL sayur-sayuran diunjur meningkat sebanyak 35% iaitu kepada 79% dan buah- buahan sebanyak 5% iaitu kepada 83% pada tahun 2030. Pertambahan SSL sumber makanan ruji, protein dan nutrisi ini seterusnya akan menyumbang kepada tahap sekuriti makanan negara yang lebih kukuh serta menjamin keperluan domestik negara
SOALAN: Dalam Bajet 2022, sebanyak RM 4.85 bilion diperuntukkan kepada MAFI untuk memperkasa sektor pertanian. Sejauh manakah ianya berjaya menjana ekonomi?
JAWAPAN: Bajet 2022 dengan tema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ dirangka berdasarkan tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan beserta tiga fokus induk iaitu Rakyat yang Sejahtera, Perniagaan yang Berdaya Tahan, dan Ekonomi yang Makmur dan Mampan.
MAFI telah diperuntukkan sejumlah RM4.85 bilion yang merupakan angka yang lebih tinggi berbanding tahun 2021 serta membuktikan keprihatinan Kerajaan bagi mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden, dinamik dan kompetitif. Peruntukan ini termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.54 bilion.
Melalui Bajet 2022, pelbagai bantuan dan inisiatif strategik serta bersasar sedang dilaksanakan dalam tempoh pemulihan ekonomi di semua sub sektor di bawah sektor agromakanan. Melalui peruntukan OE, MAFI sedang dalam pelaksanaan pemberian subsidi dan insentif dengan jumlah RM1.7 bilion bagi subsektor tanaman serta perikanan. Bagi DE pula, peruntukan RM1.54 bilion adalah selaras dengan momentum pelaksanaan projek tahun kedua RMKe-12.
Selain itu, terdapat inisiatif khusus yang sedang dilaksanakan iaitu inisiatif meningkatkan jaminan bekalan makanan dengan jumlah RM120 juta, perlindungan takaful di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi semua ahli peladang PPK seluruh Malaysia dan program pembiayaan sehingga RM1.25 bilion oleh Agrobank dan Bank Negara Malaysia, antaranya melalui AgroFood Facility berjumlah RM500 juta dan Dana Pembiayaan Agromakanan oleh Agrobank berjumlah RM200 juta.
Walaupun masih mengharungi pandemik COVID-19, sektor agromakanan terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan purata pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 2.3% pada tahun 2020, 3.9% pada tahun 2021 dan diunjur akan terus berkembang pada kadar 4.3% pada tahun 2022.
SOALAN: Apakah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 yang telah dibangunkan mampu menampung bekalan makanan negara?
JAWAPAN: Kementerian sedar Negara masih mengharapkan sumber import bagi memenuhi keperluan makanan rakyat. Malah lebih 50% makanan adalah diimport. Justeru, usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan telah dirangka menerusi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 melalui usaha-usaha seperti pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan berorientasikan penghasilan benih dan baka berkualiti dan berdaya tahan, termasuklah pengganti kepada makanan ruji rakyat Malaysia dan makanan alternatif haiwan. Selain itu, usaha tersebut juga memfokuskan ke arah peningkatan adaptasi teknologi dalam sistem makanan bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran makanan negara dan lebih berintensifkan modal, sekaligus mengurangkan kebergantungan sektor agromakanan kepada pekerja asing. Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 turut mengambil perhatian terhadap pengoptimuman sumber melalui usaha pewartaan perairan negara serta pengurangan kehilangan dan pembaziran dalam sistem makanan yang turut menyumbang kepada pemeliharaan dan pemuliharaan sumber semula jadi.
Walau bagaimanapun, import makanan tidak akan mencapai tahap sifar memandangkan kebanyakannya item yang import bersifat temperate dan tidak dapat dihasilkan dalam iklim Malaysia seperti kiwi dan anggur, selain tidak ekonomikal. Sebanyak 76.6% sayur-sayuran dan 63.9% buah-buahan yang diimport adalah bersifat temperate. Pada masa yang sama, perubahan gaya hidup masyarakat zaman kini juga mempengaruhi permintaan terhadap sumber makanan-makanan yang diimport.
Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 juga menggariskan inisiatif Kementerian untuk meningkatkan kerjasama secara dua hala dan pelbagai bersama-sama negara sumber alternatif yang berpotensi bagi kesinambungan bekalan import dalam menjamin kestabilan dan kemampanan sistem makanan.
Selain itu, selari dengan Pelan Tindakan DSMN 2021-2025, DAN 2.0 juga memainkan peranan dalam merangka hala tuju pengeluaran makanan negara dan mengambil kira jaminan bekalan makanan sebagai salah satu aspek. DAN 2.0 bertujuan meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan, dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara. Sebanyak lima (5) Teras Strategik telah dikenal pasti untuk memacu sector agromakanan ke tahap yang lebih tinggi iaitu:
1. Mendukung pemodenan dan pertanian pintar;
2. Memperkukuh pasaran domestik, meningkatkan hasil keluaran yang mempunyai permintaan tinggi dan produk berorientasikan eksport;
- Membangun bakat yang memenuhi permintaan industri;
- Meningkatkan amalan pertanian dan sistem makanan yang mampan; dan
- Menyediakan ekosistem perniagaan yang kondusif dan kerangka institusi yang kukuh.
Kedua-dua DAN 2.0 dan Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 yang sedang dilaksanakan ini dapat menyumbang dalam memperkukuh sistem makanan negara supaya lebih berdaya tahan dan mampan, sekaligus menjamin kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli secara berterusan kepada rakyat.
SOALAN: Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), pertanian pintar dikenal pasti sebagai salah satu aktiviti strategik dan berimpak tinggi yang mampu meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan negara. Boleh YBhg. Dato’ perjelaskan sedikit tentang perkara ini?
JAWAPAN: Pertanian pintar telah dikenal pasti sebagai aktiviti strategik dan berimpak tinggi dalam RMKe-12 kerana potensinya untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi menerusi peningkatan hasil pengeluaran daripada segi kuantiti dan kualiti. Teknologi pertanian pintar yang menerapkan elemen pertanian tepat (precision farming), sensor dan juga Internet of Things (IoT) membolehkan petani dan penternak membuat keputusan berkaitan operasi ladang seperti pembajaan dan pengairan dengan tepat dan bersasar, seterusnya membolehkan mereka meningkatkan output dengan menggunakan tanah, buruh, modal serta input pertanian secara optimum.
Dengan penambahbaikan pengurusan ladang menerusi penggunaan teknologi, ia diharap dapat membantu para petani dan penternak meningkatkan serta merancang pengeluaran hasil berdasarkan keperluan dan permintaan rakyat seterusnya ke arah menjamin sekuriti makanan negara.
SOALAN: Program Smart Card Keluarga Peladang (Peladang-i) telah dilancarkan selaras dengan DAN 2.0 yang menerapkan ciri- ciri pemodenan dan pendigitalan dalam revolusi pertanian.
JAWAPAN: Program Smart Card Keluarga Peladang (Peladang-i) adalah satu program kolaborasi antara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Agrobank yang menggabungkan pelbagai fungsi dan kelebihan di dalam satu kad co-brand debit card.
Inisiatif usahasama antara LPP bersama pihak Agrobank ini bertujuan untuk meningkatkan penawaran penggunaan teknologi, perkhidmatan dan kebajikan kepada komuniti dan masyarakat peladang.
Matlamat kerajaan untuk meneraju industri pertanian dalam negara ke arah IR 4.0 adalah selaras dengan Dasar Agromakanan (DAN) 2.0 yang menggariskan ciri-ciri pemodenan dalam revolusi pertanian termasuklah dalam bidang perbankan yang melibatkan ahli peladang.
Antara fungsi Smart Card Keluarga Peladang adalah sebagai kad keahlian PPK, kad debit perbankan dan Kad Perlindungan Khas Takaful Peladang. MAFI juga dalam perancangan untuk memperluaskan fungsi Smart Card Keluarga Peladang pada masa akan datang, antaranya untuk menjadikan ia sebagai satu platform penyaluran insentif atau bantuan daripada pihak Kerajaan kepada golongan petani khususnya ahli peladang. Peluasan fungsi ini akan dapat membantu Kerajaan dalam menyegerakan penyaluran bantuan terus kepada golongan sasar, sekaligus dapat mengelakkan berlaku sebarang ketirisan.
SOALAN: Selain daripada sektor pertanian, apakah pandangan YBhg. Dato’ mengenai peranan sektor akuakultur dalam menyumbang kepada pembangunan industri agro makanan negara?
JAWAPAN: Tidak dinafikan sektor perikanan merupakan antara sektor yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri agromakanan negara. Pada tahun 2020, Malaysia telah mencapai tahap SSL untuk sektor perikanan sebanyak 93.51%. Manakala bagi tahun 2030, MAFI mensasarkan SSL bagi sektor perikanan sebanyak 97.8%. Bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai strategi dan pelan tindakan telah digariskan MAFI melalui Dasar Agromakanan (DAN) 2.0 untuk meningkatkan pengeluaran perikanan.
Salah satu pelan tindakan di bawah DAN 2.0 adalah untuk memperkukuhkan sektor perikanan akuakultur ke arah mencapai nisbah 60:40 pendaratan ikan tangkapan kepada pendaratan akuakultur. Sehubungan itu, MAFI melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah menyediakan Pelan Strategik Akuakultur 2021-2030. Pelan ini
diwujudkan adalah untuk mempelbagaikan sumber perikanan negara dan tidak hanya menumpukan kepada perikanan marin sahaja. Penternakan akuakultur merupakan satu kaedah alternatif bagi menjamin ketersediaan bekalan ikan negara yang berterusan.
Pada tahun 2020, pengeluaran hasil akuakultur adalah sebanyak 400,017 metrik tan yang bernilai RM3.11 bilion dengan jumlah penternak akuakultur seramai 20,258 orang. MAFI mensasarkan jumlah pengeluaran ini akan meningkat kepada 630,00 metrik tan pada tahun 2025 dan 958,000 metrik tan pada tahun 2030. Sektor akuakultur mempunyai potensi besar untuk dimajukan kerana sektor ini memainkan peranan yang sangat penting, iaitu sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi negara, strategi dalam membasmi kemiskinan serta sebagai sumber utama bekalan makanan negara.
Antara usaha yang dijalankan oleh MAFI dalam merancakkan sektor akuakultur termasuklah memantapkan ladang sinergi melalui pengukuhan projek sedia ada dan penambahan projek atau kawasan baru, memperkasakan estet ikan dengan mengekalkan produktiviti sedia ada serta menambah estet-estet baru. Selain itu, pengukuhan kluster ternakan dan pembenihan turut dilaksanakan dengan mewujudkan program pembenihan ikan seperti siakap, kerapu, tilapia dan udang laut serta memberikan khidmat sokongan melalui Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SpeKS) Akuakultur. MAFI turut mewujudkan program Aqua Bijou bertujuan untuk memberi sokongan kepada komuniti dan pengusaha ikan hiasan seperti betta, guppy dan udang hiasan. Melalui program ini, bantuan bagi peningkatan kemudahan dan peralatan turut disediakan.
Secara dasarnya, industri akuakultur negara perlu diperkukuh supaya lebih berdaya maju sekaligus mampu menjamin bekalan sumber protein negara, terutamanya spesies ikan air tawar seperti ikan keli, tilapia merah, keli, patin dan udang galah.
SOALAN: Kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian terus menjadi cabaran utama dalam industri agromakanan. Boleh YBhg. Dato’ memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini?
JAWAPAN: MAFI akui terdapat kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian yang banyak bergantung kepada buruh asing. Bagi mengurangkan kebergantungan ini, MAFI melihat terdapat keperluan untuk meningkatkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian dan industri agromakanan demi kemampanan pengeluaran makanan negara bagi tempoh jangka masa yang panjang.
MAFI telah mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi berkenaan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian ini seperti persepsi yang kurang baik tentang sektor pertanian, yang mana golongan muda menganggap pertanian sebagai suatu sektor yang berintensifkan buruh dengan pulangan yang rendah dan lebih cenderung kepada pekerjaan dalam sektor lain. Selain itu, fasiliti kewangan yang terhad, kebergantungan kepada pekerja asing dan pendapatan yang tidak menentu turut menjadi antara cabaran yang dihadapi pihak MAFI
MAFI akan terus berusaha untuk menarik minat dan membantu penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian dan industri agromakanan negara. Golongan muda adalah satu katalis untuk mentransformasikan dan memacu sektor pertanian dengan pemodenan, teknologi dan inovasi selaras dengan matlamat MAFI melalui DAN 2.0.
Bagi menggalakkan golongan muda terlibat dalam aktiviti pertanian negara, MAFI turut menawarkan program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK), Sijil Pertanian, Sijil Perikanan dan Sijil Veterinar yang berlandaskan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada semua generasi muda berumur diantara 18 hingga 25 tahun yang berkelayakan.
Program-program ini yang dijalankan di 14 buah Pusat Bertauliah di bawah MAFI bertujuan untuk menggalakkan generasi muda melibatkan diri dalam bidang agromakanan sebagai pekerja separa mahir dan usahawan agromakanan melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti sektor agromakanan negara. Selain penerapan kemahiran teknikal dan teknologi dalam
bidang yang dipelajari, para pelatih turut diterapkan dengan latihan keusahawanan semasa menjalani program pembelajaran.
MAFI juga turut menawarkan kursus dan latihan teknikal jangka masa pendek (upskilling) kepada kumpulan sasar bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan berdasarkan bidang pengkhususan masing-masing seiring dengan perkembangan semasa industri dalam usaha membentuk kumpulan sasar yang lebih kompeten, berketerampilan dan berdaya saing. Kursus-kursus ini dikendalikan oleh Jabatan dan Agensi dibawah MAFI.
Melalui usaha-usaha yang dijalankan ini, MAFI berharap akan dapat menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian dan industri agromakanan seterusnya menjamin sekuriti makanan negara.
SOALAN: Bagaimana YBhg. Dato’ melihat kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan ayam di pasaran sejak akhir-akhir ini menimbulkan keluh resah dikalangan rakyat? Apa pula tindakan MAFI untuk mengatasi masalah ini?
JAWAPAN: Kerajaan sentiasa peka terhadap isu kekurangan bekalan dan mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah tersebut. MAFI telah mengadakan tinjauan industri bagi memastikan kelangsungan operasi supaya pengeluaran ayam terus lancar, sekaligus mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan. Libat urus Kementerian dan pihak industri seperti ini adalah penting bagi mengetahui masalah dan cabaran yang dihadapi dalam mengolah pendekatan-pendekatan dan dasar supaya industri ternakan ayam terus dibangunkan dan stabil.
Bekalan ayam di negara ini telah mulai stabil dan tidak berlaku kekurangan ketara dikesan di pasar basah, pasar tani dan pasar raya di seluruh negara. Pihak pengusaha ternakan ayam juga telah mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan bekalan keperluan 1.8 juta hingga 2 juta ekor ayam setiap hari mampu dibekalkan.
Industri ayam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran seperti kenaikan kos dan masalah buruh. Oleh itu, Kerajaan prihatin dan mengambil berat kepentingan industri, pada masa yang sama, MAFI juga melihat kepentingan rakyat untuk mendapatkan sumber protein ayam dengan harga yang munasabah.
Bagi menangani isu kekurangan bekalan ayam, MAFI telah mengambil beberapa langkah termasuklah memperkenalkan skim subsidi dengan jumlah RM729.43 juta sepanjang tempoh Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dilaksanakan bermula dari 5 Februari hingga 5 Jun 2022. Pada masa yang sama, proses tuntutan subsidi ayam turut telah dipermudahkan. Selain itu, eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan telah dihentikan bermula pada 1 Jun 2022 dan dijangka akan diteruskan sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil. Kerajaan turut telah bertindak memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam yang bertujuan untuk meningkatkan peluang penglibatan import untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan serta penambahan dan pengiktirafan loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.
Melalui usaha dan inisiatif tersebut yang bertepatan dengan dasar yang telah dirangka, MAFI yakin bahawa bekalan makanan akan sentiasa mencukupi dan berada pada paras stabil demi kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya.
SOALAN: Akhirnya, apakah saranan terbaik daripada YBhg. Dato’ dikongsikan bersama oleh penternak, peladang dan nelayan dalam merealisasikan DAN 2.0?
JAWAPAN: DAN 2.0 digubal dengan aspirasi untuk mentransformasikan sektor agromakanan sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.
Dalam merealisasikan aspirasi tersebut, keluarga agro termasuk penternak, peladang dan nelayan memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda DAN 2.0 khususnya meningkatkan pengeluaran makanan dan memastikan jaminan sekuriti makanan negara. Golongan ini merupakan pengeluar makanan yang menjadi keutamaan MAFI supaya mereka dapat meneruskan aktiviti pengeluaran melalui kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh Kementerian. Saranan saya kepada golongan penternak, peladang dan nelayan adalah untuk terus menyokong dasar Kerajaan dalam menjayakan agenda sekuriti makanan negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya. Pihak MAFI sentiasa mengalu-alukan idea dan saranan daripada kumpulan sasar dan pemain industri supaya program dan inisiatif yang dirancang adalah bertepatan dengan keperluan petani, penternak, nelayan dan usahawan agromakanan. Semoga dengan sokongan dan komitmen daripada semua pihak, sektor agromakanan akan kekal berdaya saing dan sekaligus menjamin sekuriti makanan negara.