Teknologi Angkasa Tingkat Kecekapan Sektor Perikanan Negara
Penulis: Agensi Angkasa Malaysia (KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI)
Penggunaan teknologi angkasa dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan, secara tidak langsung memberi manfaat kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat.
Komitmen negara untuk mempergiatkan lagi pembangunan dan pertumbuhan ekosistem sektor angkasa di Malaysia diterjemahkan melalui pewujudan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) pada tahun 2017. Dasar ini menyatakan pendirian negara untuk membina keupayaan teknologi angkasa tempatan bagi tujuan memperkukuhkan kedaulatan negara, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baharu negara dan kemajuan ilmu untuk kesejahteraan rakyat. Dasar ini selari serta saling melengkapi dengan dasar sedia ada negara iaitu Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) dan Malaysian Aerospace Industry Blueprint 2030.
Satu pelan tindakan yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 atau Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030) telah dilancarkan pada tahun 2023 bagi merealisasikan matlamat DAN 2030.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) komited menyusun strategi pembangunan sektor angkasa negara termasuklah mempergiatkan usaha pelaksanaan projek-projek sistem aplikasi yang berteraskan teknologi angkasa melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak seperti Kementerian / Jabatan / Agensi Kerajaan.
Sistem bioDOF-Map
Sistem Pengurusan Kawalan Biosekuriti Perikanan (bioDOF-Map) yang berteraskan teknologi angkasa dibangunkan untuk memantapkan perancangan, pengurusan dan pemantauan aktiviti biosekuriti perikanan yang merangkumi ladang ternakan ikan hiasan dan ikan makan.
Sistem bioDOF-Map meliputi teknologi remote sensing; sistem maklumat geografi (GIS); sistem penentududukan (GPS); dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah dibangunkan dengan termeterainya Nota Kerjasama antara MYSA dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pada 27 November 2018.
Berkonsepkan low cost and high impact, pembangunan sistem yang menggunakan kepakaran dalaman pegawai MYSA dan DOF ini sekaligus dapat mengoptimumkan penggunaan sumber Kerajaan sedia ada serta dapat menjamin keselamatan data strategik negara.
Sebanyak enam (6) zon biosekuriti perikanan telah diwujudkan. Zon biosekuriti ini melibatkan dua kawasan kajian utama bagi ikan hiasan terpilih iaitu ladang ikan emas di Johor (Kluang, Kulai dan Johor Bahru) dan ladang ikan koi di Perak (Kuala Kangsar dan Kinta). Manakala bagi ikan makan, kawasan kajian utama adalah di Pekan, Pahang.
Imej satelit SPOT 6 dan SPOT 7 yang beresolusi tinggi iaitu 1.5 meter digunakan untuk penyediaan lapisan data yang mengandungi maklumat seperti kompartmen, sempadan ladang akuakultur, jasad air dan guna tanah. Manakala imej satelit Pleiades yang beresolusi sangat tinggi iaitu 0.5 meter digunakan untuk memetakan maklumat yang lebih terperinci seperti sempadan kolam ikan dan pelbagai fasiliti ladang seperti lokasi saliran dan pintu air masuk dan keluar ke ladang akuakultur. Penyediaan fasiliti ladang adalah sebagai langkah kawalan biosekuriti perikanan bagi mengawal sebarang risiko kemasukan dan pengeluaran penyakit ke dalam atau luar ladang akuakultur.
Sistem bioDOF-Map yang berteraskan teknologi angkasa dibangunkan untuk memantapkan perancangan, pengurusan dan pemantauan aktiviti biosekuriti perikanan yang merangkumi ladang ternakan ikan hiasan dan ikan makan.
Pengemaskinian imej satelit terkini secara berkala amat penting dalam membantu DOF melaksanakan pemantauan sumber punca air dan perubahan guna tanah persekitaran dalam lingkungan satu kilometer dari ladang akuakultur serta mengenal pasti status operasi kolam sama ada aktif atau tidak.
Maklumat yang dijana daripada imej satelit tersebut akan diintegrasikan dengan data lain seperti profil penternak dalam Sistem bioDOF-Map bagi membolehkan pengguna DOF membuat analisis berkaitan biosekuriti perikanan secara dalam talian. Output yang dihasilkan seperti peta digital membolehkan perancangan dan pengurusan ladang akuakultur yang lebih tepat dan cepat berbanding dengan kaedah konvensional. Sistem ini juga mempunyai keupayaan untuk memberi notifikasi kes penyakit ikan yang memudahkan pemantauan kawalan kes penyakit ikan.
Hak Cipta
Pada November 2023, sistem ini telah mendapat pengiktirafan hak cipta yang direkodkan di dalam Daftar Hak Cipta sebagaimana diperuntukan di bawah Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.
Sistem MyDOFGiS
Peluasan Sistem bioDOF-Map kepada Sistem Pengurusan Perikanan Bersepadu Berasaskan Teknologi Angkasa (MyDOFGiS) merupakan satu inisiatif yang menterjemahkan komitmen kedua-dua agensi bagi mencapai aspirasi Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) dan Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN2.0).
Mengorak langkah ke hadapan, atas impak penggunaan yang mampu meningkatkan kecekapan pengurusan dan pemantauan, bermula tahun 2023 skop kerjasama ini telah diperluaskan kepada semua aktiviti sektor perikanan dan akuakultur yang meliputi zon darat, pesisir pantai dan juga marin di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak di bawah Sistem MyDOFGiS.
Sistem ini mempunyai enam (6) komponen utama yang boleh diakses melalui https://mydofgis.mysa.gov.my
♣ Maklumat asas;
♣ Akuakultur dan Biosekuriti Perikanan;
♣ Konservasi dan Perlindungan Perikanan;
♣ Pengembangan Perikanan;
♣ Perikanan Tangkapan; dan
♣ Penyelidikan Perikanan
Pembangunan dan pengoperasian MyDOFGiS adalah secara berfasa dengan Fasa 1 memberi tumpuan kepada komponen Akuakultur dan Biosekuriti Perikanan (2023-2024). Komponen-komponen perikanan yang lain akan diintegrasikan ke dalam sistem secara berperingkat mengikut ketersediaan data terkini.
Penggunaan teknologi angkasa dan teknologi berkaitan dalam penyampaian perkhidmatan Kerajaan ini akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi sektor perikanan dan keterjaminan makanan selain meningkatkan pemuliharaan sumber perikanan seperti pemantauan kawasan perlindungan marin dan pemantauan zon tangkapan perikanan di negara kita.
Peluasan Sistem bioDOF-Map kepada Sistem MyDOFGiS merupakan satu inisiatif yang menterjemahkan komitmen kedua-dua agensi bagi mencapai aspirasi Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) dan Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN2.0)