Panduan Menanam Kacang Kelisa
Pokok kacang kelisa tumbuh melilit dan memerlukan pancang atau kayu junjung.
Ia merupakan tanaman jangka pendek di kebun sayur atau di tepi-tepi pagar rumah.
Kacang kelisa sejenis sayuran berbuah yang amat kaya protein, vitamin A dan B.
Tanaman ini berasal dari Papua New Guinea dan Asia Tenggara.
Biasa dijadikan ulam mentah, kerabu atau dimasak.
FAKTA
1. Tanah ringan berpasir, tanah lempung atau tanah gambut. Tanah yang gembur, subur, baik salirannya dan pH 5.5-6.0 paling sesuai.
2. Bajak dan gemburkan tanah sedalam 20 sm hingga 30 sm untuk memudahkan akar tumbuh dengan baik.
3. Pembiakan guna biji benih yang diambil dari buah kacang kelisa yang cukup tua.
4. Tanam biji benih dengan jarak 50 sm antara satu pokok dan satu meter antara barisan ataupun 60 sm x 60 sm.
5. Biji benih ditanam dua biji selubang.
6. Biji benih bercambah 14 hari. Cabut dan tinggalkan satu anak benih yang sihat.
7. Untuk kawasan seluas 0.4 hektar sejumlah tujuh kilogram biji benih diperlukan.
MENYEDIAKAN JUNJUNG
- Untuk mendapatkan hasil yang baik perlu disediakan junjung kayu pancang 2 m – 2.5 m panjang.
- Kayu-kayu sokongan yang bertentangan dicondongkan supaya bersilang dan diikat di bahagian atas bertemu untuk mendapatkan sokongan lebih kuat.
- Lentangkan kayu-kayu pada tiap-tiap tempat persilangan. Pastikan anak-anak tanaman melilit pada kayu sokongan.
- Penyiraman pokok 2 kali sehari.
- Boleh juga menggunakan baja organik seperti najis ayam yang sudah kering.
- Rumput perlu dikawal untuk tanaman mudah membesar.
HASILAN
- Hasilan boleh dikutip 10 hingga 12 minggu selepas ditanam.
- Kutipan boleh dibuat dua atau tiga hari sekali.
- Pokok yang subur boleh menghasilkan 10 biji untuk sepohon (dua hari sekali petik).
- Purata hasilan 4 ribu hingga 5 ribu kilogram untuk kawasan seluas 0.4 hektar.