Merarap Hot Spring Lodge
Oleh: Abdul Rahman Hashim
Setelah dua jam perjalanan meredah rimba melalui jalan balak yang berliku-liku dan berbukit-bukau dari Kampung Buduk Nur, Ba’Kelalan menuju ke Lawas, wartawan majalah Agro Malaysia bersama juru pandu kami Pak Bronie Loyang sempat singgah di Merarap Hot Spring Lodge yang terkenal sebagai tempat mandian air panas tanah tinggi terunggul di Sarawak. Merarap ialah suatu penempatan di tanah tinggi Ba’Kelalan yang terletak di daerah Lawas, dalam Bahagian Limbang, Negeri Sarawak.
Walaupun pada mulanya kami tidak berjadual untuk singgah di Merarap Hot Spring, namun Pak Bronie Loyang merasakan kembara kami menuju ke Lawas tidak lengkap sekiranya tidak singgah di tempat peranginan ini untuk melihat sendiri keajaiban air panas tulen yang terdapat di Merarap yang kini menjadi tumpuan para pelancong.
Semasa kami sampai, cuaca agak mendung kemudiannya hujan renyai-renyai dan menjadi semakin lebat sebaik kami hendak meninggalkan lodge air panas Merarap milik Alfred Padan, 63 yang mengusahakan tempat peranginan ini sejak tahun 2006. Alfred Padan berketurunan suku kaum Lun Bawang begitu dikenali oleh masyarakat tempatan dan juga warga Lawas. Walaupun tidak ada janji temu kami dengan Alfred Padan, namun kami bertuah kerana kunjungan yang tidak dijangka ini telah menemukan juga kami dengan beliau yang begitu mesra menyambut kedatangan kami.
Terdapat juga pelancong-pelancong asing yang datang ke sini menggunakan pesawat dari Miri ke Lawas, seterusnya mereka akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda meredah perjalanan darat sejauh 71.3 kilometer dengan mengambil masa lebih kurang dua jam dari Bandar Lawas ke Merarap Hot Spring Lodge.
Keajaiban air panas tulen yang terdapat di Merarap dan ikan empurau kini menjadi tumpuan para pelancong.
“Semakin ramai pelancong berkunjung ke tempat ini, kerana mereka tahu di sini terdapat kolam air panas semulajadi yang boleh mereka berendam di dalamnya,” ujar beliau ketika ditemui oleh Agro Malaysia.
“Dengan suhu kehangatan 39oC, air panas yang terbit di bumi Merarap ini dikatakan mampu menyembuhkan beberapa penyakit seperti sakit kulit dan juga komplikasi pada sendi-sendi,” tambahnya lagi.
Menceritakan lagi tentang penemuan air panas ini, Alfred juga berkata sumber air panas ini telah ditemui oleh penduduk kampung di sini sejak 100 tahun yang lampau, dan beliau telah mengambil daya usaha untuk membangunkan kawasan ini di atas sebidang tanah milik keluarganya sejak tahun 2004 dengan membina pusat penginapan ala inapan desa yang mempunyai 13 buah bilik untuk kemudahan orang ramai bersantai sambil menikmati keindahan flora dan fauna yang melilit Merarap Hot Spring Lodge.
Keindahan tempat ini begitu memukau mata memandang bagaikan syurga yang tersembunyi di sebalik hutan belantara. Melihat keadaan hutan rimbanya yang belum diterokai, dengan desiran angin rimba yang segar, ditambah pula dengan derusan Sungai Trusan yang mengalir deras di sebelah lodge ini yang mengasyikkan, kerana di situ juga tersusun indah tembok-tembok batu besar sungai yang menjadi kegilaan ‘spesis ikan bernilai tinggi’ seperti ikan kelah atau ikan semah untuk menggamit kedatangan mereka yang kaki pancing.
Berada di laman lodge ini, kita akan terpukau melihat ketinggian pancutan air yang terdapat di kolam-kolam air yang dibinanya, kerana air yang memancut tinggi itu tidak menggunakan pam, sebaliknya pancutan air itu terjadi dengan tekanan kuat dari sumber air gunung sehingga ia menjulang ke langit dengan ketinggian 15 meter.
Kreativiti Alfred Padan mengindahkan lagi seni tamannya menjadikan Merarap Hot Spring bukan sahaja sebagai pusat takungan air panas yang popular di daerah Lawas, malah apabila kita bersantai di laman lodge ini akan menambahkan lagi keriangan percutian, kerana di situ kita melihat ikan-ikan empurau yang berkualiti tinggi berada di dalam kolam yang menghiasi laman inapan desa ini.
Oleh kerana ikan ini semakin mengalami kepupusannya, maka ikan empurau atau nama saintifiknya tor tambroides merupakan ikan air tawar termahal di Malaysia. Ikan ini dikatakan boleh terjual sehingga RM400-RM500 sekilogram. Ikan empurau juga mampu mencapai harga sehingga RM700 sekilogram di Semenanjung Malaysia. Manakala berat ikan ini boleh mencecah sehingga 50-60 kg.
Alfred memelihara sebanyak 500 ekor ikan empurau di dalam kolam ini, menjadikannya sebagai penternak ikan bernilai tinggi yang memiliki pendapatan lumayan. Namun begitu, beliau memelihara ikan empurau bukan untuk dijual, tetapi telah menjadi hobinya sekian lama untuk berjinak dengan ikan tersebut. Kadangkala beliau menjadikan ikan empurau sebagai pemberian istimewa kepada rakan-rakannya termasuk di kalangan para VIP yang sempat berkunjung di pusat peranginan air panas Merarap yang berminat dengan spesies ikan ini.
Krew Agro Malaysia menghargai segala daya usaha keluarga Alfred Paran yang berjaya mempromosikan Merarap sebagai destinasi agro pelancongan yang berasaskan pemeliharaan ikan empurau, di samping dapat menarik minat kaki pancing untuk memancing ikan kelah atau ikan semah yang banyak terdapat di Sungai Trusan yang bersebelahan dengan Merarap Hot Spring Lodge.
Kepada mereka yang berminat dengan sukan rekreasi ala safari dan aktiviti jungle trekking, anda juga tidak boleh melepaskan peluang untuk bertandang dan berkampung di Merarap Hot Spring Lodge, kerana di sini banyak kemudahan yang disediakan untuk tujuan tersebut, di samping itu anda juga akan dapat memanaskan badan dengan kehangatan kolam air panas semulajadi yang terdapat di situ.