Cabaran MTDC
Mengkomersialkan Teknologi Tempatan
WAWANCARA KHAS MAJALAH AGRO MALAYSIA
Soalan: Boleh Dato’ jelaskan peranan MTDC sebagai agensi utama pengkomersialan teknologi tempatan semenjak tahun 1992?
Jawapan: Sejak dari awal penubuhan MTDC, kami ingin membantu universiti-universiti untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan yang boleh digunakan untuk membantu usahawan-usahawan tempatan. Selain itu, kami juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat terbabit untuk membangunkan teknologi tempatan atau luar negara.
Seawal penubuhan, MTDC telah meyenaraikan banyak syarikat di pasaran saham kerana prestasi mereka yang baik. kewujudan dana-dana lain, telah membuatkan MTDC memberi fokus untuk mengembangkan lagi teknologi di pasaran domestik dan antarabangsa.
PROJEK TERNAKAN KETAM
MTDC turut memberi dana kepada syarikat yang berasaskan industri agrikultur. Antaranya ialah syarikat yang terlibat dalam penternakan udang putih dan ketam. MTDC difahamkan, ternakan ketam di Malaysia mempunyai risiko yang tinggi, tetapi dengan adanya teknologi yang bersesuaian diharapkan projek ini akan berjaya dan hasilnya akan dapat dilihat dalam masa enam bulan. Selain daripada itu, kami turut memberi dana untuk projek rumpai laut di Kuala Muda, Kedah dan tanaman cendawan kukur (kulat sisir).
Soalan: Berdasarkan pengalaman MTDC yang terlibat dalam agenda mengkomersialkan teknologi, apakah cabaran utama untuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana (IKS)?
Jawapan: Banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh syarikat-syarikat kecil dan sederhana (IKS) untuk mengkomersialkan teknologi tempatan. Bukan mudah untuk berjaya. Bagi menghasilkan sesuatu produk, kebanyakkan syarikat boleh melakukannya tetapi penentuan serta strategi pemasaran memerlukan penelitian dan kajian terperinci.
PEMASARAN PRODUK
Cabaran utama setiap usahawan ialah mereka perlu mengetahui dan memilih saluran yang sesuai untuk memasarkan produk. Pemilihan ini penting kerana ianya boleh memperluaskan lagi rangkaian produk dan seterusnya memasuki pasaran luar negara.
MTDC juga telah membantu banyak syarikat dalam ekosistem MTDC untuk memasuki pasaran dalam dan luar negara. Ini juga diikuti dengan bantuan dan bimbingan yang berterusan serta kerjasama yang diberikan oleh pihak syarikat. MTDC sentiasa komited untuk membantu para usahawan dalam memperluaskan lagi rangkaian perniagaan melalui program yang diajurkan. Program ReUnites ini diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun dengan tujuan untuk menemukan semua penerima dana supaya mereka dapat berkongsi pengalaman dan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan antara satu dengan yang lain.
BANTUAN RANGKAIAN PERNIAGAAN
Program ReUnites tersebut dihadiri seku-rang-kurangnya 150 orang peserta terdiri daripada penerima dana baru dan lama. MTDC juga menjalinkan rangkaian perniagan dua hala dengan beberapa buah syarikat ternama di Indonesia dan telah membawa 25 buah syarikat untuk memasarkan produk di sana.
Selain itu, MTDC turut menjalinkan kerjasama dengan pihak kerajaan luar dan dalam negeri, pihak kementerian dan agensi-agensi yang mempunyai objektif selari. Kami juga menyediakan latihan dalam bidang pengkomersialan teknologi di negara-negara terpilih bagi membantu mereka untuk mengkomersialkan teknologi dan berbincang mengenai isu-isu yang berkaitan.
Soalan: Boleh Dato’ kongsikan success story dalam agro & sektor-sektor lain?
Jawapan: MTDC telah memberi dana kepada sebuah syarikat untuk menghasilkan vaksin yang merupakan hasil penyelidikan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Pendidikan Veterinar. Semasa produk mereka memasuki pasaran, hanya mereka syarikat Bumiputera yang menghasilkan vaksin dan antibiotik untuk ternakan ayam. Kita haruslah bersungguh-sungguh untuk membantu kerajaan untuk mengkomersialkan sesuatu produk.
PENGHASILAN VAKSIN
Pada tahun 1994, MTDC telah membuat pelaburan dalam salah sebuah syarikat yang berasaskan agro iaitu Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals Sdn. Bhd. (MVP) bagi penghasilan vaksin untuk penyakit kanser dan sampar ayam. MVP telah membuka sebuah kilang di Kg. Pulau Meranti, Puchong. Pada masa tersebut, hanya beberapa buah negara sahaja yang boleh mengeluarkan vaksin tersebut. Oleh yang demikian, produk mereka telah berjaya dieksport ke beberapa buah negara luar. MTDC turut membantu sebuah syarikat yang berasaskan makanan di mana mereka mengkomersialkan sparkling jus buah-buahan tropika.
PASARAN EROPAH
Produk ini mendapat perhatian pihak MARDI di mana mereka turut membuat kajian terhadap buah salak, jambu dan lain-lain. Produk jus ini telah berjaya menembusi sehingga ke pasaran Eropah kerana keunikan rasa airnya. Disebabkan permintaan yang semakin meningkat, syarikat tersebut telah meningkatkan lagi keupayaan pengeluaran dengan menggunakan mesin yang berteknologi tinggi dan mengikut piawaian yang ditetapkan khususnya bagi proses pembotolan dan pembungkusan jus tersebut.
Soalan: Apakah cabaran usahawan muda terutamanya, serta peranan MTDC dalam menghadapi industri 4.0. Apakah persediaan MTDC kepada syarikat-syarikat dibawah ekosistemnya untuk menghadapi industri ini?
Jawapan: MTDC perlu berhadapan dengan cabaran untuk memindahkan dan mengkomersialkan teknologi tersebut. Peranan MTDC masih sama di mana kami akan sentiasa membantu syarikat sehingga berjaya dan sekiranya perlu MTDC akan membuat pelaburan ke dalam syarikat yang sesuai. Bermulanya Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11), kami telah menukar polisi dana pengkomersialan teknologi di mana pihak kami tidak lagi menyalurkan 100% geran kepada syarikat. Hanya 30% dari dana adalah geran, baki 70% adalah diberi dalam bentuk Nota Janji Boleh Ubah.
Tujuan polisi ini ditukar adalah kerana kami ingin setiap usahawan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menjayakan perniagaan dan menggunakan sebaiknya dana yang disalurkan kepada mereka. Ini adalah kerana, kami mahu memberitahu usahawan supaya tidak mempersiakan dan berusaha untuk menjayakan perniagaan mereka. Sekiranya perniagaan mereka berjaya, dana yang diberikan boleh ditukar kepada saham tertakluk kepada kriteria yang telah ditetapkan. Dalam masa setahun, MTDC mensasarkan sebanyak 30 hingga 40 projek yang berpotensi dan berdaya maju untuk dijadikan sebagai ikon MTDC.