Patin Sangkar Buat Temerloh Terkenal
Oleh: MOHD ZABIDI HAJI SAIDI
Walaupun Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang menghubungkan Karak-Kuantan melepasi bandar Temerloh, tetapi bagi penggemar ikan patin sangkar, mereka tetap singgah di bandar tersebut. Bagi mereka, tiada halangan untuk berkereta sejauh 10 km dari susur keluar LPT semata-mata untuk menikmati masakan ikan patin asam tempoyak.
Ikan patin atau nama saintifiknya Pangasius sutchi adalah sejenis ikan air tawar yang boleh didapati di kebanyakan sungai Pahang, terutama sekali sungai Temerloh. Oleh kerana di Temerloh terdapat ramai pengusaha ternakan ikan patin dalam sangkar, maka mereka bergabung dalam sebuah koperasi yang dinamakan Koperasi Penternak Ikan Sangkar dan Nelayan Sungai Temerloh Berhad.
Seorang pengusaha ikan dalam sangkar di Kampung Raja Songsang, Temerloh, Haji Md Idris bin Haji Muda, mempunyai 30 sangkar ikan. Satu sangkar bermodalkan (anggaran) lebih RM3,500 yang dimulakannya pada tahun 2001. Sangkarnya terletak di Sungai Semantan lebih kurang lima kilometer melalui sungai ke Kuala Semantan (Bandar Temerloh) yang merupakan pertemuan di antara Sungai Semantan dengan Sungai Pahang.
Musuh utama kepada ternakan ikan dalam sangkar ialah memerang dan burung. Tetapi memerang kurang di Sungai Semantan berbanding di Sungai Pahang.
Ikan patin diberi makan palet sebanyak dua kali satu hari. Dalam masa enam bulan, ikan itu akan dijual kepada pemborong dan peruncit manakala benihnya diperolehi dari patin kacukan Thailand. Pelbagai jenis ikan patin iaitu patin juara, patin buah dan patin muncung. Patin sangkar biasanya dijual RM15.00 sekilogram, manakala patin buah dan patin muncung pula harganya boleh mencecah sehingga RM95.00 sekilogram.
Haji Md Idris yang merupakan bekas pesara kerajaan di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh berkata ternakan ikan patin yang diusahakannya hanya untuk penduduk Temerloh sahaja kerana permintaan yang tinggi dan tidak mencukupi.
Seorang lagi pengusaha yang ditemui, Mohd. Yasin Ismail, mempunyai beberapa buah sangkar di Kampung Pangsenam. Menurut beliau, nama kampung itu berasal dari buah durian yang mempunyai enam pangsa. Akhirnya panggilan pangsa enam melekat pada nama kampung itu yang akhirnya diringkaskan menjadi pangsenam.
Sangkarnya yang terletak di Sungai Pahang, beliau adalah bekas wireman dan chargeman. Selepas puas menjadi wireman dan chargeman, beliau mengambilalih sangkar yang sudah tidak mahu lagi diusahakan oleh kawannya.
Menternak ikan patin dalam sangkar tidaklah cerewet mana, yang penting kena tahu memberi makan yang mencukupi untuk anak ikan cepat membesar. Satu sangkar boleh muat kira-kira 1,500 ekor ikan yang memerlukan 60 beg makanan pallet.
“Masalah perubahan cuaca dan aras air amat penting bagi pertumbuhan ikan dalam sangkar. Aras air amat penting semasa meletakkan benih ikan di sangkar kerana anak ikan sensitif dengan perubahan aras air terutamanya semasa musim hujan,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selain itu, benih ikan perlu diletakkan selepas musim monsun kerana hujan lebat akan menyebabkan anak ikan mudah mati. Ini adalah antara masalah dalam industri ternakan ikan sangkar selain harga makanan ikan yang semakin meningkat.
Anak ikan memerlukan makanan seimbang yang terdiri daripada palet dan baja ikan sebagai makanan tambahan bagi membolehkannya cepat membesar dan dalam masa enam bulan ia boleh dijual kepada para pengguna.
“Selain pasaran tempatan seperti pasar tani, saya juga turut menghantar ikan ini ke Gohtong Jaya di Genting Highlands yang menjadi rebutan pelancong dari luar negara terutama Singapura,” katanya lagi sambil berazam untuk membesarkan lagi ternakan ikan.
Ikan patin boleh dimasak dalam tiga bentuk sama ada masak stim atau masak asam tempoyak atau goreng tiga rasa. Jika anda singgah di bandar Temerloh jangan lupa pastikan anda menikmati ikan patin asam tempoyak kerana ianya sungguh sedap dan menyelerakan.
Ternyata ikan patin membuatkan bandar Temerloh terus terkenal walaupun bandar itu sudah tidak dikerumuni seperti dahulu selepas adanya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang mendekatkan Kuala Lumpur dengan Kuantan tetapi kerinduan kepada ikan patin mendorong orang ramai tetap singgah di bandar Temerloh.
Persediaan bagi menjadi penternak ikan sangkar:
- Modal yang mencukupi (anggaran satu sangkar RM3,500 – 4,500)
- Satu sangkar biasanya berukuran 10 kaki x 12 kaki
- Bekalan (benih) anak ikan
- Bekalan makanan ikan
- Pasaran ikan
Jenis ikan yang biasa diternak:
- Patin hitam
- Patin buah
- Baung
- Tilipia merah
- Jelawat
- Kerai
Harga runcit ikan patin dianggarkan bernilai RM15 sekilogram.