Mengubah Nelayan Tradisional Kepada Berteknologi Moden

Tidak dinafikan, kehidupan nelayan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah, kita sering kali mendengar kisah-kisah nelayan yang terpaksa berjuang demi meningkatkan taraf hidup keluarga.
Ini menunjukkan kebanyakan nelayan tradisional masih lagi berada di bawah paras kemiskinan. Namun, pada masa yang sama, kisah kejayaan anak-anak nelayan dalam bidang akademik hingga berjaya menjawat pelbagai jawatan penting, begitu membanggakan.

Justeru, bagi memastikan nasib masyarakat nelayan tidak terpinggir daripada arus pembangunan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil inisiatif melaksanakan program transformasi nelayan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan nelayan tradisional.
Produktiviti kebanyakan kapal (vessel) tradisional semakin rendah berpunca daripada beberapa faktor seperti saiz kapal yang kecil, uzur dan kurang kuasa enjin, tahap penggunaan teknologi rendah serta masih terlalu bergantung kepada peralatan tradisional.

Melalui program ini, ia menyasarkan untuk melahirkan golongan nelayan yang moden dan komersial serta berdaya maju. Ini bagi mencapai objektif menjadikan sektor perikanan pantai sebagai sektor ekonomi yang produktif dan menguntungkan melalui pengurusan lestari.
Sehubungan itu, LKIM melaksanakan beberapa pendekatan, antaranya, mengurangkan bilangan kapal yang tidak produktif dan menggantikan kapal kayu yang dilupuskan dengan kapal kaca fiber (FRP).
LKIM juga memperkayakan sumber perikanan bagi perairan 12 batu nautika, mengamalkan target fishing ladang ikan di laut dan memberi bantuan pinjaman modal melalui dana nelayan kepada pemilik kapal.

Spesifikasi semua kapal tersebut diseragamkan dari segi reka bentuk dan bahan binaan serta mempunyai kelengkapan seperti tandas, kabin, petak ikan dan dapur bagi memberi keselesaan krew untuk bekerja selain menjamin kebersihan dan pengendalian ikan di atas bot.
Kos sebuah kapal baru yang lengkap dianggarkan melebihi nilai RM350,000. Di bawah program ini, tiga hingga lima buah kapal nelayan tradisional diganti dengan sebuah kapal FRP bersaiz lebih 13 meter dan enjin melebihi 110 kuasa kuda (enjin dalam) tetapi tidak melebihi 300 kuasa kuda. Malah, program ini menggabungkan tiga hingga lima nelayan tradisional secara penubuhan syarikat di mana hak miliknya adalah secara bersama.

Pengurusan operasi dan pemasaran pula dijalankan oleh syarikat yang ditubuhkan atau melalui persatuan nelayan. Bagi kawalan operasi, ia terletak di zon A (0-12 batu nautika) di kawasan ladang ikan di laut dengan menggunakan perkakasan berteknologi moden dan beroperasi sepanjang tahun. Selain dana nelayan, sumber kewangan juga diperoleh melalui pelaksanaan skim pembelian semula.
Ia melibatkan pelupusan kapal lama dan lesen peserta. Pampasan dibayar sebelum kapal baru yang dilesenkan beroperasi. Pelupusan meliputi kapal dan semua peralatan dek yang tidak mesra alam. Setiap unit yang dilupuskan akan dinilai untuk bayaran ganti rugi dan pampasan tersebut akan menjadi modal tambahan dan bayaran balik pinjaman yang dilakukan.
