Travelog Sabah: Taman Kinabalu Hadiah Untuk Pencinta Alam
Sabah Negeri Bawah Bayu adalah negeri yang tidak pernah jemu untuk dilawati penulis. Asal usul nama ‘Sabah’ dikatakan berasal daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai ‘pisang Saba’ yang juga dipanggil ‘Saing Sabbah’ atau ‘Sappah’ oleh masyarakat Taosug yang popular dibuat pisang goreng.
Lebih 45 lokasi menarik yang boleh dilawati oleh pelancong sama ada untuk melakukan aktiviti pendakian, menyelam, berkarya dengan alam, membeli belah atau menikmati hidangan laut yang segar. Lebih menarik penduduk Sabah juga mesra, kaya budi bahasa serta melayan pelancong dengan ramah serta berhemah.
Sewaktu melaksanakan misi Agro Malaysia bertemu usahawan Sabah baru-baru ini, penulis berkongsi pengalaman mengunjungi beberapa tempat menarik untuk tatapan anda.
TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO
Taman Kinabalu yang menjadi pintu masuk ke Gunung Kinabalu adalah tempat popular yang menarik jutaan pelancong serata dunia. Ia terletak 1,585 meter di atas paras laut dan menjadi tapak permulaan bagi pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.
Gunung Kinabalu yang terkenal di pulau Borneo di Asia Tenggara ini dilindungi sebagai Taman Negara Kinabalu, sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Gunung ini juga adalah yang tertinggi di Malaysia dan Borneo.
Turut melengkapkan keunikan taman tersebut adalah Gunung Tambayukon serta bukit bukau yang dipenuhi pelbagai spesis hidupan liar dan tumbuhan eksotik hutan hujan tropika. Ribuan pokok periuk kera serta rotan berduri berlingkar menutupi ‘lantai’ hutan yang mewujudkan pemandangan unik lagi indah.
Taman tersebut menjadi tempat perlindungan lebih 200 spesies burung dan lebih 50 spesies mamalia. Aktiviti mendaki gunung amat sesuai dilakukan pada Mac hingga Ogos kerana ianya pada musim kemarau.
Pendakian mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari satu malam. Adalah disarankan pendaki bermalam di kawasan tanah tinggi Taman Kinabalu sebelum memulakan pendakian. Ini bagi memastikan penyesuaian altitud yang tinggi dan mengurangkan risiko Acute Mountain Sickness (AMS).
Terlanjur anda bercuti di sini luangkan juga masa meninjau Pekan Kundasang dan Desa Cattle Dairy Farm yang cukup popular dengan ladang lembu ala-ala New Zealand.
PANORAMA INDAH
Desa Cattle Dairy Farm yang digelar sebagai New Zealand kecil ini juga menjual produk-produk tenusu hasil daripada ladangnya yang segar dan enak. Pemandangan diperindahkan lagi dengan ladang-ladang sayur yang menghijau seluas mata memandang dengan suhu dingin yang nyaman.
Selain itu jangan lupa singgah di Kundasang War Memorial yang turut menyajikan panorama indah sesejuk mata memandang. Memorial ini mula dibuka pada tahun 1962 sebagai mengenang wira-wira masyarakat tempatan dan warga Australia serta British yang terkorban sewaktu Perang Dunia Kedua.
LADANG TEH SABAH
Perjalanan kira-kira 127 kilometer dari Kota Kinabalu bagai tidak terasa sebaik sahaja dapat menghirup secawan Teh Sabah di restoran Sabah Tea Resort yang diproses segar dari ladang ternama ini.
Anda juga boleh mencuba minuman teh tarik Napalak (panas) atau teh Sabah bersama cinnamon di restoran yang terletak berdepan dengan ladang teh tersebut.
Sajian penkek teh bersama madu menambat selera kerana rasanya yang unik dan asli.
Sambil melihat kehijauan anda juga boleh memetik sendiri daun teh dari pokok teh yang segar sambil berfoto kenangan. Bagi yang berminat untuk melihat cara daun teh diproses bolehlah melawat kilang penghasilan teh berhampiran restoran tersebut. Anda juga boleh membeli Teh Sabah sebagai ole-ole yang dijual di Sabah Teh Garden dengan harga berpatutan.
Ladang yang terletak di daerah Ranau ini telah dirasmikan pada tahun 1984 turut menyediakan penginapan untuk kemudahan para pengunjungnya. Anda boleh memilih untuk menginap di rumah panjang tradisional, banglo atau dengan cara berkhemah. Ladang teh Sabah ini terletak di Kampung Nalapak dan merupakan satu-satunya ladang teh organik di kepulauan Borneo dengan keluasan 6,200 ekar.
Hanya satu jam perjalanan dari Kota Kinabalu anda boleh sampai ke Tambunan Raffesia Reserve. Bagi peminat jungle trekking di sinilah lokasinya untuk anda melunaskan impian mencari Bunga Rafflesia yang paling unik, pelik dan terbesar di seluruh dunia. Bunga ini hanya mampu berkembang untuk beberapa hari sahaja dan melihat keunikannya anda perlu bersabar. Penantian anda pasti berbaloi.
RUMAH TERBALIK TAMPARULI
Rumah terbalik? Pasti anda juga teruja untuk melihatnya. Perbagai persoalan pasti menerjah minda sebelum tiba di Rumah Terbalik Tamparuli.
Memang unik rumah ini kerana semuanya terbalik dari rumah hinggalah perabot dalamannya. Lebih menarik menarik lagi terdapat 3D Wonders Museum yang mempamerkan karya-karya seni 3D.