Ladang Puyuh Raja Ali
Ramai orang keliru dengan Kampong Badak Mati Bukit Marak, Kelantan. Lokasinya agak jauh dari Kota Bharu menyebabkan orang ramai merasa sukar untuk mempercayai bahawa kampung itu terletak di Kota Bharu. Ia juga terletak agak jauh dari Bachok menyebabkan orang ramai juga tidak mempercayai ia terletak di Bachok.
Kampung itu sebenarnya terletak di Kota Bharu.
Ada sebuah rumah yang agak menarik di kampung itu. Kawasannya agak luas dan ia lengkap dengan dewan orang ramai serta reban menternak puyuh. Banglo itu adalah hasil usaha Raja Ali Raja Hassan, yang menternak puyuh untuk menyara keluarganya.
Kegigihannya turut menarik ramai pelawat dari luar negara serta tempatan. Antara mereka termasuklah dari negara-negara Afrika, Asia Barat, Jepun, Thailand dan Brunei Darussalam. Lazimnya mereka merupakan pelajar pertanian atau penternakan di kolej atau universiti negara masing-masing. Pelajar-pelajar itu tinggal selama beberapa hari di Kota Bharu untuk membuat kajian mengenai projek yang dijalankan oleh Raja Ali sebelum pulang ke negara masing-masing.
Kita juga tahu bahawa Raja Ali turut memainkan peranan secara tidak langsung dalam bidang pelancongan di negara ini. Apa yang menarik ialah, satu daripada dewan orang ramai yang menempatkan pelawat-pelawat itu dibina dengan kos kira-kira RM6,000. Ia adalah hadiah daripada Amanah Ikhtiar Malaysia kepada Raja Ali. Beliau telah membina dewan itu setelah mendapat hadiah sebanyak RM6,000 sesudah diisyriharkan sebagai Bapa Harapan AIM beberapa tahun lalu. Semua wang hadiah itu ‘didermakan’ kepada orang ramai dengan membina dewan itu. Ia dijadikan tempat untuk mereka belajar, pusat latihan dan membuat kajian mengenai penternakan puyuh.
Adalah sesuatu yang sangat biasa jika kita menghidu bau busuk setiap kali memasuki reban ayam atau puyuh. Atau jika kita memasuki mana-mana kandang kambing atau lembu. Baunya amat kuat dan mungkin kita akan terhidu sehingga beberapa jam lamanya. Tetapi ia berbeza dengan ladang puyuh Raja Ali.
Ladang ini telah diberi Sijil Penyembelihan Halal oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Pekerjanya tidak ramai – hanya tiga orang sahaja iaitu Raja Ali sendiri, isterinya Puan Rahimah Awang dan seorang pekerja tetap. Mereka merasa bangga dengan pemberian sijil itu kerana ia adalah satu pengiktirafan kepada ladang tersebut.
Kebersihan bukan sahaja menyebabkan ladang ini tidak berbau busuk tetapi ia juga menyebabkan puyuh di sini sentiasa sihat, tidak berpenyakit atau mati sebelum dipasarkan. Raja Ali memberitahu wakil Agro Malaysia yang mengunjunginya baru-baru ini, lazimnya ada tiga jenis musuh yang paling utama bagi puyuh. Musuh-musuh itu ialah ular, biawak dan manusia.
Daging puyuh yang baru disembelih akan dibersihkan dengan menggunakan mesin terlebih dahulu sebelum ia dijual kepada pelanggan.
Beliau menternak kira-kira 8,000 hingga 10,000 ekor burung puyuh.
Beliau membekalkan daging, telur dan anak burung puyuh selain memberi khidmat nasihat serta bimbingan kepada mereka yang berminat. Usaha ini dimulakan sejak 20 tahun lepas di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Raja Ali tidak menyombong diri walaupun telah berjaya dalam bidang ini. Beliau juga terlibat dalam aktiviti sosial yang lain. Dengan itu segala pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang ini turut dikongsikan bersama rakan-rakannya. Beliau pernah memegang jawatan penting dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di salah sebuah sekolah menengah agama yang sangat terkenal di Kelantan iaitu SMKA Tok Bachok.
Rumah yang beliau bina, reban puyuh serta dewan orang ramai adalah hasil titik peluhnya memelihara puyuh. Beliau bersyukur kerana lima orang anaknya berjaya memasuki IPT walaupun tiada seorangpun daripada yang berminat dalam bidang penternakan.
Beliau tidak merasa kesal walaupun meletakkan jawatan sebagai pegawai dalam SHAMELIN. Tugasnya dengan SHAMELIN di Kuala Lumpur selama kira-kira 11 tahun agak berbaloi. Raja Ali membuat pelbagai kerja selepas itu tetapi beliau tidak berjaya. Namun menternak puyuh telah mengubah corak kerja dan keusahawanannya sehingga beliau telah berjaya membeli sebidang tanah, membina rumah dan dewan orang ramai serta menyara keluarga. Apa yang menarik, kini Raja Ali merupakan salah seorang penternak puyuh terbesar di Kelantan.