Dari Hobi Menjadi Penternak Arnab
Dari kecil lagi, Faiz bin Ahmad Sari sangat meminati arnab. Pada awalnya Faiz membela arnab sebagai hobinya dan dia akhirnya mendapat ilham untuk menjadi penternak arnab sepenuh masa.
Ditanya mengapa beliau memilih arnab sebagai haiwan ternakannya, Faiz berkata arnab adalah haiwan yang kecil, cantik dan tidak cerewet berbanding dengan haiwan lain. Maka beliau lebih minat untuk menternak arnab daripada menternak lembu atau ayam.
Selain dari itu arnab tidak mengeluarkan sebarang bau yang meloyakan berbanding dengan haiwan ternakan yang lain. Justeru itu beliau berazam menjadikan ternakan arnab ini sebagai kerjaya yang popular bukan sahaja di Kampung Anak Kurau malah di seluruh negeri Perak.
Bercakap kepada wakil Agro Malaysia, Faiz yang tinggal di Kampung Anak Kurau kini telah membela sebanyak 200 ekor arnab di sekeliling rumahnya. Anak kepada tukang kebun sekolah iaitu Ahmad Sari, Faiz merupakan antara usahawan muda yang berjaya di negeri Perak.
“Saya membela arnab sebagai hobi sejak berusia 13 tahun,” katanya. Beliau membela arnab untuk dijual sebagai hiasan dan bukan untuk dimakan dagingnya.
“Saya tak tergamak hendak menjual arnab untuk orang makan,” katanya yang merupakan anak sulung kepada tiga orang adik beradik.
Beliau yang mempunyai 6 ekor ibu arnab sebagai baka kini berbangga kerana sudah berjaya menjual 3,000 ekor anak arnab sejak tiga tahun lalu.
Pelanggannya datang dari seluruh Malaysia yang mendapat hebahan dari Jabatan Veterinar yang pernah beliau ikuti kursus membela arnab. Anak arnab yang berusia 6 bulan dijual dengan harga RM30.00 seekor.
Sebagai penternak arnab, beliau memberi palet makanan setiap dua kali sehari. Beliau memulakan perniagaan membela arnab dengan modal RM1,000.
Beliau bersyukur dengan pengetahuan yang diperolehi dari kursus anjuran Jabatan Veterinar, beliau mengetahui selok-belok tentang penjagaan arnab.
Katanya, membela arnab lebih mudah daripada membela lembu dan kambing. Suasana landskap yang ada di sekeliling rumahnya menyebabkan kandang arnab lebih kelihatan kemas dan teratur. Apatah lagi pengalaman ayahnya seorang tukang kebun sekolah yang membuat landskap di belakang rumahnya.
Selain menjadi penternak arnab sepenuh masa, beliau berhasrat untuk memberi bimbingan kepada anak-anak muda yang berminat membela haiwan itu sebagai satu bidang perniagaan.
“Sebagai orang yang sudah ada sedikit pengalaman dalam perniagaan ini, saya tidak keberatan memberi tunjuk ajar kepada mereka yang mahu menjalankan ternakan arnab ini sebagai satu perniagaan,” katanya yang bangga kerana setiap minggu mendapat tempahan dari orang ramai.
“Siapa kata menjadi usahawan tani tidak menjamin masa depan? Saya telah buktikan bahawa sebagai anak muda, saya sudah berjaya dalam bidang ini. “Perjalanan saya masih lagi jauh,” katanya sambil tersenyum dan beliau yakin suatu hari nanti ternakan arnab Kampung Anak Kurau ini akan terkenal ke seluruh pelusuk tanah air.