Fauziah Perintis Penternakan Landak Raya
Teks dan Foto oleh: Sabaruddin Abd Ghani
KUALA KETIL (Kedah): Landak, sejenis hidupan liar yang habitatnya sungguh istimewa dan unik adalah satu-satunya haiwan yang berbulu keras dan tajam yang terdapat di Malaysia.
Habitatnya yang suka tinggal di dalam lubang, sama ada di dalam lubang tanah lembut atau lubang pokok yang tumbang, sebenarnya ia bukan sejenis binatang merbahaya, sebaliknya sejenis haiwan yang mudah dipelihara, jinak dan manja.
Menyedari hakikat itu, seorang wanita di Kampung Batu 1 Kuala Ketil Kedah, Puan Fauziah Ahmad, 46, mengorak langkah berani dengan mengusahakan projek ternakan landak secara komersial.
Di samping berhasrat untuk membantu meningkatkan taraf hidup keluarga, karakter sebenar haiwan ini yang tidak memilih makanan, sukar dihinggapi penyakit, mudah dijinakkan selain bersifat manja mendorong wanita ini mengusahakan projek yang dilaksanakan menggunakan konsep ternakan bersangkar.
Berbekalkan modal lebih kurang RM5,000, pada tahun 2010 Puan Fauziah memulakan projek dengan pasangan induk ternakan berkenaan dibeli dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Perhilitan menyediakan baka terpilih yang menjanjikan ternakan mudah membiak.
Di kombinasikan dengan semangat serta usaha tanpa mengenal penat lelah, modal sebanyak itu yang dibelanja urus dengan baik, akhirnya projek terus berkembang maju. Kini, ternakannya membiak sebanyak 70 ekor tanpa menghadapi masalah.
Ketika Agro Malaysia berpeluang melawat projek tersebut baru-baru ini, pengusaha ternakan itu sibuk memberi makan ternakan yang ditempatkan dalam sangkar berjaring. Sangkaan penulis yang haiwan terbabit akan bertindak agresif apabila didekati meleset, sebaliknya ia begitu jinak dan manja.
“Kita mampu memperoleh pendapatan agak lumayan jika betul-betul fokus mengusahakan projek ini. Di samping itu, sikap ingin mengenali secara lebih dekat habitat haiwan ini menyemarakkan semangat saya memajukan ternakan landak.
“Buat masa ini, saya cuma menternak landak dari spesies landak raya (nama saintifiknya Hystrix brachyura). Syukur sehingga kini pasaran daging landak cukup memberangsangkan, kebanyakan pelanggan adalah komuniti tempatan selain syarikat tertentu,” kata Fauziah.
Disebabkan haiwan ini dari spesies binatang terkawal, Fauziah perlu memiliki lesen menternak landak yang dikeluarkan PERHILITAN dan Kementerian Sumber Asli selain mempunyai lesen dan permit pembiakkan dalam kurungan komersial dari jabatan yang sama bagi membolehkannya menjual ternakan terbabit.
Menurut Fauziah, landak yang diternak itu tidak boleh dijual sesuka hati. Tempoh empat bulan dalam setahun adalah jangka tempoh yang disyaratkan PERHILITAN untuk menjual ternakan berkenaan.
Fauziah yang menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Usahawan Hidupan Liar Malaysia (PUHLM) berkata daging landak yang mempunyai pelbagai khasiat, termasuk mujarab dijadikan penawar penyakit kronik meletakkan status haiwan tersebut ke tahap nilai komersial yang tinggi.
Justeru, tidak hairanlah harga seekor landak yang cukup matang dijual pada harga antara RM2,000 dan RM3,000 manakala dagingnya dijual RM120.00 sekilogram.
Fauziah yang dibantu anak lelakinya, Muhammad Nur Najmi Aiman Shafek, 20, menganggap menternak landak paling mudah. Haiwan tersebut tak banyak `songeh’ dan habitatnya menyukai makanan berherba selain makanan biasa seperti buah-buahan, sayuran dan tanaman berubi memudahkannya memelihara tanpa perlu mendapatkan rawatan dari Jabatan Vaterinar.
Penulis yang dibawa melawat kandang mendapati landak peliharaan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri, Kuala Ketil ini boleh menyesuaikan diri dengan suasana dalam kandang dan tidak menolak apabila diberi makan lobak merah, timun, buah rambutan, buah betik, ubi keledek, kobis, buah bacang, daun maya dan jagung.
Seekor landak paling jinak yang diberi nama Wishy bukan saja bebas bergerak dalam rumah Fauziah, malah lebih dari itu, ia boleh didukung dan dipeluk, makan di tangan, mandi bersama di bilik air dan menyondol kaki apabila lapar.
“Jika diberi perhatian sepenuhnya sejak dari kecil, landak boleh dijinakkan dan manja, boleh dipeluk dan dicium malah faham apabila namanya dipanggil.
“Jika luka atau berkudis, haiwan ini tidak perlu mendapatkan rawatan. Luka dan kudis itu akan sembuh sendiri dengan cara mereka menjilat di bahagian yang tercedera atau berkudis itu” jelas Fauziah.
Ada satu perkara yang mungkin ramai orang tidak tahu mengenai haiwan ini. Jika halipan dan ular mempunyai batu geliga, landak juga memilikinya. Ia digelar batu landak yang terdapat dalam badan binatang ini.
Batu ini berbentuk bulat bewarna merah hati dan dikatakan sangat berkhasiat untuk menyembuh penyakit kronik.
Bagaimanapun, tidak semua landak mempunyai batu istimewa itu. Jika sesiapa yang menjumpainya, itu sudah dikira bernasib baik dan sungguh beruntung berikutan harga sebiji batu tersebut mencecah puluhan ribuan ringgit.
Selain landak raya, di Malaysia juga sesuai dihuni landak padi (Trichys fasciculate) dan landak nibong (Atherurus macronrus). Habitatnya sama seperti landak raya tetapi untuk diternak, landak raya adalah yang paling sesuai.
Keistimewaan lain hidupan liar ini ialah dagingnya mempunyai kandungan protein yang tinggi, kurang berlemak, tinggi kalsium, iodin dan bahan mineral yang berkhasiat untuk kesihatan. Untuk dibuat masakan pula, dagingnya paling enak dibuat masakan lemak cili api, sup, rendang dan direbus atau dipanggang dicecah dengan air asam.
INFO: Landak
- Dikenali juga sebagai porcupine, terdiri daripada gabungan dua perkataan Latin yang bererti ‘babi berduri’.
- Seekor landak matang disembelih ketika usia 8 hingga 12 bulan dan boleh menghasilkan kira-kira lapan kilogram (kg) daging. Panjang landak biasanya antara 63 hingga 80 sentimeter dengan berat antara 5 kilogram (kg) hingga 20 kg.
- Tempoh bunting landak raya betina adalah 16 minggu atau hampir 100 hari. Landak raya mampu membiak sehingga dua kali setahun. Haiwan bertulang belakang (vertebrata) ini melahirkan dan menyusukan anak mereka.
- Landak raya mempunyai sehingga 30,000 duri. Setiap duri landak mempunyai “duri cangkut seni” boleh mencangkuk tubuh pemangsa yang cuba menyerangnya.
- Landak raya liar mampu hidup 12 hingga 15 tahun, sementara landak yang dipelihara pula pernah direkodkan hidup sehingga 20 tahun.