Menternak Ayam Turki

Ayam turki ialah sejenis ternakan yang sangat besar. Ia berasal dari Amerika Utara dan pernah hidup secara meliar di kebanyakan tempat bermula dari lautan Atlantik hingga ke kawasan pergunungan Rocky berhampiran sempadan Amerika-Kanada dan Amerika-Mexico.
Semasa zaman penjajahan, ayam ini turut dibawa belayar di dalam kapal dan dijadikan bahan makanan yang berkhasiat semasa penjajah dalam pelayaran. Seterusnya, ia juga mula diternak di tanah jajahan termasuk di negara kita.
Ayam turki turut dikenali dengan panggilan ayam belanda. Di utara semenanjung Malaysia, ia juga dikenali sebagai ayam piru.

Antara penternak ayam piru di Pulau Pinang dan Perak ialah Kadir Razali, 29 tahun. Usaha ini dimulakannya beberapa tahun yang lepas atas nasihat rakan-rakannya. Mereka memberi pengesyoran itu kerana bilangan penternak yang kurang menyebabkan bekalannya terhad. Seterusnya ia membuatkan harganya menjadi tinggi.
Bakanya diperoleh dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Perniagaanya bukan sahaja menjual baka, tetapi menternak ayam itu secara kecil-kecilan.
Kekurangan penternak yang serius juga menyebabkan baka itu sukar diperolehi. Baka dari Kepala Batas itu diperolehinya dari salah sebuah ladang yang menternak ayam piru di Perancis.

“Ia sudah boleh dijual hanya dalam masa enam bulan selepas itu”, kata beliau dalam satu pertemuan dengan Agro Malaysia.
Usaha tersebut dilakukan hanya di belakang rumah sahaja, katanya. Beliau dibantu oleh bapanya yang bertindak sebagai pekerja tetap.
Usaha ini dilakukannya di atas kawasan seluas 20 meter persegi dan ia boleh memuatkan 100 ekor ayam pada satu-satu masa.
Makanannya?
Mudah sahaja. Haiwan tersebut suka makan pelbagai jenis serangga, rumput hijau selain dari buah-buahan yang terdapat di sekelilingnya. Haiwan ini yang hidup secara meliar boleh memakan pelbagai jenis serangga lain. Ia juga makan dedak dan sayur-sayuran.
Pasarannya?
Ia dijual di merata tempat termasuk sehingga ke Johor. Pembelinya lebih suka mendapatkan bekalan daripada Kadir berbanding dengan penternak Johor mungkin kerana beliau lebih established jika dibandingkan dengan penternak yang lain. Kadang-kadang ia juga dijual melalui laman sosial facebook.

Ayam turki mendapat pasaran yang sangat meluas setiap kali musim perayaan seperti Krismas dan Deepavali. Penganut Kristian sangat suka memakan daging ternakan itu apabila mereka menyambut thanks giving day.
Harga daging ayam ini pada hari-hari biasa ialah kira-kira RM18 sekilogram. Ia boleh meningkat menjadi RM25 sekilogram pada hari perayaan.
Usaha itu dimulakan secara kecil-kecilan sahaja dan sehingga kini beliau sudah menjual kira-kira 150 ekor.

Selain menjual ayam, beliau juga nenjual telurnya. Dengan saiz yang hanya sebesar telur ayam kampung, beliau sudah menjual kira-kira 100 biji telur ayam piru setakat ini. Tapi jangan terkejut – harganya lebih mahal iaitu RM2.00 sebiji.
Ia dikatakan sejenis haiwan yang pemalu kerana akan melarikan diri sebaik sahaja dihampiri.
Dengan berat badan maksimum lapan kilogram, ayam ini juga boleh berdiri sangat tinggi – sehingga 1.2 meter.
Lazimnya, ia akan menetas dalam masa satu bulan dan boleh mula mencari makanannya sendiri.

Di sesetengah negara asing, menternak ayam piru merupakan industri besar yang bernilai berbilion dolar. Di Kanada dan Mexico, ada penternak yang berupaya menternak hingga 10,000 atau 20,000 ekor seorang.
Ayam piru menjadikan mereka kaya raya.
Secara komersial, ayam jantan dan betina diasingkan semasa musim menetas. Ayam jantan juga boleh dijual beberapa bulan terlebih awal berbanding ayam betina kerana ia lebih cepat membesar, matang dan ekonomik.
Kadir juga memberitahu, menternak ayam piru juga boleh dimulakan dengan modal yang kecil. Ia mungkin juga dibuat dengan menternak sekadar lima ekor sebagai hobi terlebih dahulu, sebelum diperbesarkan dalam jangka masa panjang. Katanya, beliau juga bersedia untuk memberi bimbingan serta tunjuk ajar kepada mereka yang berminat dalam menternak ayam piru.
Kami baru memulakan tetnakan ini of bln Julai 2020. Terima kasih info ini
sama-sama