Memburu Rusa? Biar Betul
Oleh: Lilihani Fikri
Foto: Shamsuhazli Mamat
Bagi pemburu yang gemar memburu rusa, mungkin selepas ini mereka tidak perlu bersusah payah untuk pergi memburu di dalam hutan.
Di ladang De Paradise Sdn. Bhd, bukan setakat menternak rusa, malah ia turut dibuka kepada orang ramai untuk melihat persekitaran yang dipenuhi dengan rusa dan penggunjung bertuah berpeluang untuk merasai pengalaman memburu rusa.
Pemilik ladang ini, Muhammad Akhbar Chiraghdin, yang berasal dari Temerloh, Pahang memberitahu, kawasan yang sudah beroperasi selama beberapa tahun ini akan dibangunkan sedikit demi sedikit dan menelan kos sehingga RM50 juta.
Ini mungkin pengalaman baru yang tidak mungkin diperolehi di mana-mana dan pihak pengurusan ladang ternak itu sedang berusaha untuk menyediakan tapak khusus untuk tujuan tersebut.
Dengan adanya kemudahan di ladang itu, orang ramai boleh merasai sendiri cabaran memburu selepas ini. Namun, bagi mereka yang mempunyai lesen yang sah sahaja dibenarkan berbuat demikian tertakluk pada syarat-syarat tertentu.
“Pihak pengurusan ladang itu juga bercadang untuk membuka tapak permainan kanak-kanak seperti paint-ball yang mana mereka boleh bertarung sesama sendiri atau berburu dengan rusa sebenar menerusi peralatan senapang paint-ball ’’, katanya ketika ditemui Agro Malaysia di ladang ternakannya di Sungai Jin, Kuantan, Pahang.
Semua ini merupakan antara usaha untuk menjadi ladang De Paradise sebagai kawasan eko pelancongan terkemuka di negeri Pahang ini, yang dijangka disaksikan oleh pelbagai pelancong dalam mahupun di luar negara.
Kini, kawasan pemburuan yang siap dibangunkan berkeluasan 100 ekar manakala keseluruhan ladang ini seluas 300 ekar. Walaupun ladang rusa ini telah dibuka kepada orang ramai, pengalaman selama sepuluh tahun menternak rusa bagaikan sudah sebati dalam diri pengusaha ini.
Kawasan ladang yang dikelilingi pagar ini menempatkan dua jenis habitat untuk rusa tersebut iaitu kawasan hutan dan padang ragut di mana ia sesuai dengan habitat semulajadi haiwan ini.
Beliau sebelum ini pernah terlibat dalam pelbagai bidang ternakan termasuk lembu dan kambing. Daripada pengalaman tersebut beliau mendapati menternak rusa lebih mudah kerana ia lebih lasak serta tahan penyakit.
Beliau yang kini mempunyai 1,600 ekor rusa yang diternak di kawasan seluas 300 ekar turut menternak lima jenis rusa iaitu Samba, Literasi, Sika, Enterlock dan Eksis. Kesemua baka ini diimport dari Australia.
Selain untuk pengunjung yang ingin merasai suasana hidup di kawasan ladang ia juga boleh dijadikan tempat latihan mana-mana pelajar yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang cara penternakan dan penjagaan rusa.
Untuk tujuan itu kata Muhammad Akhbar, segala kemudahan asas telah disediakan.
Katanya, kemudahan seperti asrama disediakan kepada mereka sambil mengikuti latihan yang disediakan.
Beliau berharap ia bakal menjadi tarikan baru eko pelancongan di kawasan tersebut. Tambahan pula, chalet juga akan disediakan untuk kemudahan penggunjung menginap di sini.
ARTIKEL SETERUSNYA: Tanduk haiwan ini mempunyai nilai perubatan tinggi