Bemban Sumber Bio Baharu Dalam Perhutanan Tani
Oleh: Abdul Hamid Hj. Mar Iman* Universiti Malaysia Kelantan (UMK), 17600 Jeli, Kelantan.
BEMBAN adalah nama yang amat dikenali oleh ramai orang kampung terutamanya generasi lama yang lahir di sekitar tahun 1960an atau sebelum itu. Secara tradiisi, bemban digunakan oleh orang kampung untuk menjahit atap rumbia yang kemudiannya dijadikan sebagai atap atau dinding rumah atau tali pengikat. Akan tetapi ia juga telah lama digunakan sebagai bahan asli kraf tangan seperti raga, bakul, tikar, tabir, dan sebagainya. Lapisan epidermis yang cantik, licin, kilat, dan berlilin menjadikan bemban memiliki ciri-ciri estetika bagi tujuan hiasan dan kemasan permukaan. Ia juga mempunyai ciri-ciri ketahanan dan rintangan cuaca yang agak baik.
Universiti Malaysia Kelantan merintis pengetahuan baru dalam pembiakan dan penggunaan spesies bemban sebagai tumbuhan tidak berkayu untuk dijadikan sebagai sumber bahan bio baharu di Malaysia, terutamanya dalam sektor pembinaan dan kraftangan.
Potensi perhutanan tani spesies bemban
Dua daripada spesies utama bemban ialah bemban batu, Donax grandis dan bemban air, Donax canniformis. Kedua-duanya boleh didapati di kawasan lembangan sungai, tetapi bemban batu tumbuh di habitat yang lebih kering di atas garis kelompok pertumbuhan bemban air. Epidermis bemban batu lebih keras sedikit daripada epidermis bemban air dan sesuai dijadikan bahan parket manakala bemban air yang lebih lembut lebih sesuai dijadikan bahan kraf tangan.
Spesies bemban mempunyai potensi aktiviti huluan dalam konteks pembangunan perhutanan tani di Malaysia malahan di rantau Asia Pasifik. Konsep perhutanan tani ini dapat dikembangkan di mana proses domestication boleh dilakukan ke atas spesies bemban. Bagaimanapun, proses ini memerlukan penyelidikan dan pembangunan selanjutnya terutamanya dalam pembiakan dan pengurusan tanaman.
Ujikaji lapangan di Agropark, Fakulti Industri Asas Tani, Universiti Malaysia Kelantan telah menemui beberapa fakta tentang spesies bemban. Anak benih yang dirawat dengan hormon tumbuh dengan sedikit lebih baik daripada anak benih yang tidak dirawat dengan hormon. Bagaimanapun, bemban dikategorikan sebagai spesies lambat membesar dan biomass yang diperolehi daripada sebatang pokok bemban adalah kecil.
Potensi Tambah Nilai Bemban
Melalui penyelidikan dan pembangunan produk selanjutnya, bemban mampu mewujudkan lebih banyak produk tambah nilai yang boleh mencipta peluang keusahawanan. Salah satu inovasi yang telah dijalankan di Universiti Malaysia Kelantan ialah ciptaan parket bio-komposit yang diberi nama Donaca®. Ia adalah sejenis bahan parket yang diperbuat daripada kombinasi kulit buah salak, Salacca zalacca, bahan plastik, dan kulit pokok bemban, Donax grandis serta isi buluh, bambusa spp. Ia adalah bahan binaan dalaman ringan yang berpotensi sebagai produk kemasan permukaan seperti parket lantai atau dinding. Penggunaan produk ini mampu mengurangkan pergantungan sektor pembinaan kepada bahan-bahan berasaskan kayu, terutamanya bagi kemasan dalam bangunan.
Faedah dari bemban
Penciptaan produk baru ini tepat pada masanya kerana industri pembinaan di Malaysia sentiasa mencari-cari bahan binaan bukan kayu untuk digunakan sebagai produk kemasan permukaan bagi menggantikan sumber kayu kayan yang semakin berkurangan. Parket, yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu, adalah salah satu jenis produk kemasan permukaan yang telah lama berada di pasaran dan diterima oleh pengguna. Produk kemasan permukaan yang lain diperbuat daripada bahan bukan kayu seperti buluh dan rotan. Produk kemasan permukaan yang diperbuat daripada bemban masih belum terdapat di pasaran.
Dari segi aktiviti hiliran, ia menggalakkan proses industri (pengilangan) bersumberkan bemban. Proses industri ini seterusnya dapat menghasilkan ciptaan automasi perindustrian dalam proses pengeluaran Donaca® secara besar-besaran. Jika dimajukan dengan betul, ia mampu membuka pintu kepada pembangunan bio-ekonomi Malaysia melalui aktiviti-aktiviti pembuatan berasaskan sumber semula jadi daripada bemban. Maka, dapat dikatakan bahawa produk baru ini mempunyai potensi mewujudkan pembangunan komuniti.
Dari sudut alam sekitar, pembangunan bahan ini mampu membantu negara dalam menggunakan kekayaan sumber tropika yang terdapat di dalam hutan Malaysia bagi pengitaran dan penggunaan semula bahan bio.
Spesies bemban belum pernah menjalani proses domestication di mana ia ditanam di kebun dengan persekitaran baru yang agak berbeza dari habitat asal. Kuantiti biomass per pokok yang kecil merupakan cabaran utama dalam memfaedah guna bemban terutamanya bagi aktiviti hiliran. Pulangan yang kecil seunit kawasan mungkin tidak menarik minat petani untuk menanam bemban di kebun mereka. Walau bagaimanapun, penyelidikan lanjut diharapkan mampu mencari jalan bagi menghasilkan pengeluaran ladang bemban secara besar-besaran. Keupayaan bemban untuk tumbuh dengan lebih baik dan menghasilkan biomass yang lebih tinggi perlu menjadi agenda penyelidikan di masa hadapan. Seterusnya, potensi penggunaan bemban dalam industri pembuatan perlu dimajukan dengan lebih giat untuk menjadikannya sebagai industri baru yang viable.
* Dr. Abdul Hamid Hj. Mar Iman ialah Profesor dan Dekan, Fakulti Industri Asas Tani, Universiti Malaysia Kelantan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mail: hamid.m@umk.edu.my. Hasil penyelidikan produk Donaca® telah mendapat pingat gangsa dalam ITEX 2014 di Kuala Lumpur.