Teknologi Kebolehkesanan DNA untuk Ternakan Ikan Tilapia
Bagaimana rasanya jika kita boleh kesan dan dapatkan maklumat latarbelakang ikan yang kita makan?
Tentu menarik, kerana ia memberi satu pengalaman baru. Pengguna juga pastinya merasa lebih selamat, kerana jika sesuatu berlaku disebabkan oleh ikan yang kita makan, kita dapat kesan dari mana ikan ini datang, makanan apa yang diberikan kepada ikan ini, diternak di mana, siapa pengeluarnya malahan siapa pemandu lori yang membawa bekalan ikan ini juga dapat diketahui.
Kerajaan sentiasa menyokong usaha-usaha yang membawa kepada perkembangan teknologi berkaitan industri perikanan dan seterusnya melindungi sumber makanan negara (food security). Teknologi kebolehkesanan (tracebility) ini yang memberikan pengguna lagi satu nilai tambah (value added) kepada produk yang telah kita beli seterusnya menambah kepada nilai eksport negara.
Trapia Malaysia Sdn. Bhd. memajukan industri perikanan negara dengan menternak ikan Tilapia Hitam di Tasik Temenggor, Grik, Perak. Usaha Trapia ini telah meletakkan nama Malaysia dalam peta industri ikan dunia.
Menggunakan teknologi Sistem Genopass, iaitu satu sistem yang dimajukan di Norway di mana baka-baka ikan telah diambil sampel DNAnya dan maklumatnya akan dikumpulkan di dalam mikro cip yang diletakkan di dalam perut ikan induk, dan ikan itu seterusnya dibiakkan.
“Trapia memperkenalkan sistem kebolehkesanan DNA kepada tilapia yang diternak di Tasik Temenggor dengan pelbagai sebab yang sangat kritikal. Antaranya nilai tambah kepada eksport ikan itu sendiri. Ini menyebabkan pengguna terutamanya pengguna dari negara luar akan berasa lebih terjamin dan ini akan membuatkan mereka ingin membeli daripada kita”
Tasik Temenggor dipilih kerana kualiti airnya yang sangat baik untuk pembiakan ikan, dan tilapia dipilih kerana ia adalah satu spesies ikan yang tahan lasak (sustainable), malah pembiakkan serta pengambilannya sebagai punca makanan secara besar-besaran tidak akan meningkatkan risiko penyusutan kualiti alam.
Tilapia yang juga dikenali sebagai ‘ayam akuatik’ merupakan sumber protein ikan yang paling murah dan umum, malah ia sangat senang untuk diternak, maka ia sangat sesuai untuk dimajukan di Malaysia memandangkan cuaca beriklim tropika yang sangat sesuai dengan pembiakan tilapia.
Nisbah penggunaan makanan juga rendah di mana untuk mendapatkan 1 kg daging, kita mengunakan 0.7 kg makanan sahaja. Melihat kepada peningkatan penduduk dunia yang memerlukan sumber makanan yang juga banyak, tilapia mungkin salah satu jawapan kepada masalah kekurangan sumber makanan kerana faktor-faktor di atas.
KAWALAN KUALITI ALAM SEKITAR
Kawalan alam sekitar adalah sangat penting bagi menjamin tahap maksimum kejayaan pembiakan dan penternakan ikan, malah ia juga menjamin keselamatan alam sekitar terutamanya kepada sistem ekologi.
Pengetahuan tentang kepentingan alam sekitar memberikan satu sebab mengapa Trapia sangat mementingkan kawalan alam sekitar. Kami mempunyai satu set sistem kawalan yang sangat terperinci bukan sahaja di sekitar sangkar penternakan malah, cara pelupusan sisa buangan ikan juga diberikan perhatian khusus.
Di mana setiap sangkar direka dan dibina dengan satu penyedut berbentuk kon di bawah setiap sangkar, ia dikeluarkan setiap hari dan dilupuskan luar dari kawasan tasik. Ia menjamin kualiti air tasik sentiasa terjaga.
Ikan yang diusahakan oleh Trapia juga telah mendapatkan sijil halal daripada JAKIM kerana ikan-ikan ini tidak makan daging, ia diberikan palet yang berasaskan sayuran. Biarpun ikan-ikan ini diberikan makanan berasaskan sayuran, namun rasanya masih lazat. Ini dibuktikan apabila, pengguna di Amerika Syarikat yang telah diberikan sample fillet tilapia amat menyukainya.