Sepit Biru Mileseven: Dari Kolam Terus Ke Dapur
Pasti kaki pancing tersenyum lebar berada di kolam pancing udang galah Mileseven milik usahawan bernama Zuhairi Demyati ini.
Kolam pancing udang galah seluas 45 kaki x 45 kaki persegi yang dikelilingi kebun kelapa sawit itu bersih serta sejuk mata memandang.
Kawasan comel ini dilengkapi dengan tandas, surau dan bekalan air bersih.
Paling menarik turut disediakan adalah sebuah kafe masakan panas untuk para pelanggan dan juga kaki pancing yang bertamu di kolam pancing udang Milesseven.
“Hasil tangkapan udang galah yang diperolehi oleh kaki pancing bolehlah dimasak terus oleh tukang masak di restoran kami.
“Jenis sajian terpulang kepada permintaan pelanggan,” kata Zuhairi Demyati dalam pertemuan dengan Agro Malaysia baru-baru.
GELAGAT KAKI PANCING
Deruan bayu lembut Kuala Selangor mengiringi perbualan santai kami sambil pandangan menerjah jauh melihat gelagat kaki pancing yang tekun dengan aktiviti sendiri.
Anak jati Kampung Ijok yang dilahirkan 51 tahun lalu mengusahakan kolam pancing tersebut sejak enam tahun lalu.
Bekalan udang galah khazanah Sungai Perak ini diperolehi terus dari pembekal Kampung Gajah, Teluk Intan, Perak.
Melihat gelagat kaki pancing udang galah amat mengasyikkan. Aktiviti di kolam ini turut disertai kaum wanita dan kanak-kanak.
Sesekali terdengar bunyi siren menandakan udang galah baru dimasukkan ke dalam kolam untuk habuan kaki pancing.
Dua minit selepas siren berbunyi bakal terdengarlah jeritan kecil kegembiraan si kaki pancing yang umpan dikail berjaya memerangkap si sepit biru.
Si kaki pancing yang tidak sabar akan terus bergegas ke kafe Mileseven untuk meminta tukang masak menyediakan sajian udang galah tersebut segar dari kolam.
udang galah goreng mentega
Menu paling popular, udang galah goreng mentega, tiga rasa, kari atau bakar berempah.
Bagi menarik lebih ramai kaki pancing ‘berkampung’ di kolam tersebut, kerap di adakan program santai seperti pertandingan memancing yang menawar hadiah wang tunai serta hamper. Turut ditawarkan adalah hadiah cabutan bertuah bagi menceriakan program tersebut.