Jelajah Kenyir
Panorama Menarik Serta ‘Syurga’ Kaki Pancing dapatkan ilham
Oleh: MUDA MOHD NOOR
Foto: Mohd Nasir Zainuddin
Tasik Kenyir tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai pusat memancing dan eco pelancongan popular yang menjadi tumpuan bukan sahaja warga tempatan, tetapi juga dari seluruh pelusuk dunia. Sebab itu jumlah pelancong terutama ‘kaki pancing’ yang berkunjung ke Tasir Kenyir bertambah dari setahun ke setahun.
Malah kerajaan Terengganu telah menjadikan Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai bagi menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir, dan bagi pemancing sebagai bonus kerana laluan yang lebuh mudah sampai ke tempat tersebut.
Tasik Kenyir menjadi tasik buatan manusia terbesar di Malaysia telah menjadi `syurga’ bagi pemancing telah jauh berubah dengan dilengkapi hotel, chalet dan lebuhraya yang serba lengkap. Ini juga memudahkan pengunjung yang mahu berehat sebelum keluar memancing di anak sungai yang banyak terdapat di Tasik Kenyir.
Malah kerajaan negeri Terengganu telah mengambil langkah bijak dengan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai syurga pemancing yang bertaraf dunia yang membabitkan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Tempat yang paling popular memancing di Tasik Kenyir ialah di Sungai Cacing, Sungai Petuang, Sungai Leban dan Sungai Terenggan manakala terdapat kira-kira 300 spesies ikan air tawar, antaranya kelisa, belida, kelah, sebarau, lampan, baung dan toman serta siakap.
Dengan pelbagai kemudahan yang terdapat di Tasik Kenyir serta pelbagai spesies termasuk juga raja ikan sungai iaitu ‘kelah’ menjadi kegilaan kepada sekumpulan pemancing dari Gombak, Selangor.
Kumpulan yang diberi nama Group Angler Selaseh (GAS) baru-baru ini telah berkunjung ke Tasik Kenyir dalam satu destinasi yang diberi nama Jelajah Kenyir. Jelajah Kenyir ini bukan asing lagi kepada GAS kerana sejak lebih 10 tahun lalu mereka pergi memancing bukan sahaja ke Tasik Kenyir, tetapi juga seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Kumpulan pemancing GAS yang kebanyakkan terdiri daripada peniaga dan kakitangan kerajaan seramai 23 orang termasuk tiga tukang masak berkongsi hobi yang sama iaitu memancing, yang diketuai oleh Mohd Saman Mokhtar.
Kenapa memilih Tasik Kenyir?
“Tasik Kenyir mempunyai pakej yang serba lengkap untuk pemancing, Ini kawasan semula jadi yang tidak tercemar manakala banyak ikan bersaiz besar yang mudah didapati. Kami boleh berhibur sambil memancing dalam suasana santai serta merehatkan minda.
“Dengan menyewa rumah bot sekitar RM1,300 semalam, yang dilengkapi bilik mandi, ruang dapur, siaran televisyen dan balkoni, kaki pancing merasa sangat selesa, ini tempat terbaik untuk memancing,” kata Mohd Nasir Zainuddin, salah seorang pemancing yang menyertai jelajah tersebut.
Kumpulan GAS telah menjelajah ke Tasik Kenyir selama empat hari untuk memancing. Kunjungan ke Tasik Kenyir merupakan rutin sepanjang tahun bagi GAS sejak lebih 10 tahun lalu.
Menariknya jelajah kali ini mereka membawa tiga orang tukang masak untuk memastikan pemancing dapat merasa masakan terbaik dari hasil tangkapan mereka di Tasik Kenyir itu.
“Semua hasil tangkapan yang masih baru dan segar itu lebih enak jika ada tukang masak yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam masakan. Makan pun berselera,” katanya lagi.
Untuk memancing di Kenyir mereka perlu membayar RM10 manakala mendaftar nama pula dikenakan RM5 bagi setiap batang joran untuk memancing di tasik itu. Kumpulan GAS ini akan bertolak menggunakan rumah bot dari Pengkalan Gawi untuk mejelajah sekitar tasik ini, di samping disediakan juga dua buat bot kecil untuk aktiviti memancing ikan.
Menurutnya lagi, memancing di Tasik Kenyir ikan yang paling mudah diperolehi ialah yang bersaiz kecil dan sederhana tetapi agak sukar untuk mendapatkan ikan bersaiz besar.
Bagaimanapun, ini langsung tidak mematahkan semangat kumpulan GAS kerana setiap tahun biasanya pada bulan Oktober mereka akan berkunjung ke Tasik Kenyir untuk memancing.
“Tasik Kenyir bagaikan sudah menjadi destinasi tetap GAS kerana setiap tahun kami ke sana selain untuk mendapatkan ikan segar, tetapi melancong dengan suasana yang nyaman dengan panorama cukup menarik.
“Jadi kami akan ke Tasik Kenyir lagi tahun depan,” katanya dengan tersenyum.