Lembah Padi Adan di Tanah Tinggi Bario
Oleh: ABDUL RAHMAN HASHIM
Foto: SHAM SUHAZLI MAMAT
Kembara Agro Malaysia selama 4 hari ke daerah pedalaman Ba’Kelalan, Sarawak telah membuatkan kami terpegun dengan keindahan dan kedamaiannya, kerana keadaan muka bumi yang di kelilingi banjaran gunung telah menjadikan Ba’Kelalan semakin dikenali dengan hasil pertanian tanah tinggi yang diusahakan oleh masyarakat suku kaum Lun Bawang yang mendominasi bumi subur itu.
Walaupun agak terpisah dari dunia luar, kaum Lun Bawang yang mempunyai senyuman menawan sememangnya amat mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja ke sini.
Mengikut istilah tempatan, ‘Ba’ bermaksud padi manakala ‘kelalan’ membawa pengertian sebatang sungai (Ba’Kelalan)
Sinonim dengan pengertian Lun Bawang itu telah membuatkan daerah Ba’Kelalan yang mempunyai beberapa buah perkampungan di kawasan tanah tinggi Bario ini seperti Buduk Nur, Long Langai, Long Lemumut, Long Ritan, Long Rusu, Pa Tawing, Buduk Bui, Buduk Aru dan Long Rangat tidak boleh terpisah dengan kehidupan bersawah padi.
Lebih unik, kaum peribumi ini masih lagi mengamalkan tradisi ‘musang’ yang membawa maksud bergotong-royong mengerjakan sesuatu pekerjaan harian seperti bersawah padi, membuka tanah dan mengadakan majlis-majlis tertentu.
Keenakan beras yang ditanam di sini mempunyai rahsia tersendiri kerana sumber air yang mengairi sawah padi tersebut berasal daripada kawasan pergunungan.
Corak hidup yang masih bergantung kepada budaya ‘musang’ membolehkan penduduk-penduduk di Ba’Kelalan meneruskan kehidupan tanpa mengeluarkan kos untuk mengusahakan sawah padi masing-masing.
Kedudukannya yang terletak di kawasan tanah tinggi Bario iaitu kira-kira 1,000 meter dari aras laut membolehkan ia dilitupi udara sejuk serta dilimpahi bumi yang subur. Mendarat di bumi Ba’Kelalan telah menyaksikan satu hamparan sawah padi yang menghijau yang menjadikan daerah ini sebagai ‘lembah padi adan’ seperti yang terdapat di negara jiran Indonesia yang bersebelahan gunung, dengan Bario dan Ba’Kelalan di Sarawak.
Padi adan begitu dikenali di Indonesia terutama di sebelah Kalimantan Barat. Namun begitu padi adan juga terhasil dengan banyaknya di daerah-daerah berhampiran tanah tinggi Bario termasuk juga di Ba’Kelalan. Maka sebab itu, hasil padi adan di sini lebih dikenali sebagai ‘beras bario’ kerana ia dihasilkan dengan keringat masyarakat tani Lun Bawang di tanah tinggi Bario.
Tagal Paran, merupakan satu nama bagi seseorang yang amat popular di daerah ini khususnya di Ba’Kelalan. Beliau bukan sahaja terkenal dengan ladang epalnya di Kampung Bunuk Nur, tetapi Tagal Paran juga memiliki hamparan sawah padi yang menghasilkan beras bario.
Menginap di Apple Lodge iaitu sebuah inap desa popular yang bersebelahan dengan lapangan terbang kecil Ba’Kelalan, kami juga terpegun rupa-rupanya di bahagian belakang premis ini terdapat sebuah gudang yang tersimpan guni-guni padi yang bakal diproses menjadi beras.
Pak Tagal bukan sahaja menghasilkan padi adan, tetapi beliau juga mempunyai mesin pemprosesan yang menghasilkan beras sendiri. Menurut beliau, dengan memiliki mesin memproses padi, tempat beliau ini juga menjadi tumpuan kepada petani-petani lain untuk memproses padi mereka di sini. Memproses padi adan di tempatnya, Pak Tagal hanya mengenakan bayaran berpatutan dengan beras yang terhasil.
Mungkin ramai tidak tahu bahawa beras Bario mempunyai rasa berbeza dengan beras yang ditanam di tempat lain. Jika beras tersebut ditanam di kawasan lain ia akan membuahkan hasil yang tidak sama dengan beras bario asli di sini. Keadaan ini mungkin disebabkan faktor cuaca sejuk, bentuk muka bumi dan jenis tanah yang tidak sama. Keenakan beras yang ditanam di tanah tinggi Bario mempunyai rahsia tersendiri kerana sumber air yang mengairi sawah padi tersebut berasal dari kawasan pergunungan.
Beras Bario di sini terdapat dalam dua jenis, iaitu beras putih dan beras yang keperang-perangan.
Struktur bijirinnya lebih kecil dan melekit seperti pulut serta kaya dengan kandungan kanji. Walaupun nasi dimakan dalam kuantiti yang banyak, ia tidak akan membuatkan perut anda senak kekenyangan.
Beras Bario merupakan antara beras yang tersohor di negara ini yang mana rasanya berbeza dari beras biasa. Berbanding beras biasa, rasanya lebih berlemak, saiznya lebih kecil dan yang penting lebih mahal iaitu antara RM30 hingga RM40 untuk satu gantang (satu gantang bersamaan 3.5 kg). Selain rasanya yang enak, beras Bario dijual dengan harga yang mahal kerana produk itu terpaksa diterbangkan ke Miri menggunakan pesawat ataupun pengangkutan darat melalui jalan balak yang mengambil masa perjalanan sehingga 12 jam untuk sampai ke Miri.
“Benihnya disemai terlebih dulu pada Jun sebelum dipindahkan ke sawah sekitar Julai dan Ogos,” katanya sambil menambah bahawa musim menuai bermula pada bulan Disember hingga awal Februari.
Beras Bario juga dihasilkan secara organik dan bebas daripada pencemaran alam, menyebabkan ia selamat dan sesuai dimakan semua peringkat umur.
Selain padi adan, Ba’Kelalan juga mempunyai satu lagi sumber mineral semula jadi iaitu garam gunung atau pun lebih dikenali oleh penduduk-penduduk tempatan sebagai ‘tuchuk’. ‘Tuchuk’ Ba’Kelalan yang memiliki khasiat setanding dengan garam biasa mudah diperolehi di kawasan-kawasan tertentu di tanah tinggi tersebut.