Alat Pelindung Hujan Untuk Penoreh Getah
Oleh: SABARUDDIN ABD GHANI
Penggunaan alat pelindung hujan (Tapping Panel Shade) memerlukan keyakinan serta komitmen kerja yang tinggi bagi menarik minat pekebun kecil atau syarikat pemilik ladang yang kebanyakkannya masih terikat dengan cara torehan lama.
Sudah tentu kaedah torehan lama tanpa menggunakan alat pelindung hujan dilihat tidak membebankan pemilik kebun atau tuan punya estet kerana mereka perlu berbelanja lebih untuk membeli alat berkenaan.
Bagaimanapun, kita perlu berfikir secara rasional selain berlandaskan transformasi minda dan sikap untuk menerima pakai apa jua bentuk perubahan yang boleh menjana kemajuan ekonomi.
Apatah lagi dengan fenomena cuaca masa kini yang tidak menentu dengan taburan hujan boleh dikatakan di merata tempat sudah pasti merugikan penoreh atau pemilik ladang apabila pokok getah terdedah dengan curahan hujan yang lebat.
Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd (KLPK), syarikat induk kepada KLPK Venture Sdn Bhd, alat pelindung hujan itu dicipta khas bagi melindungi tapak torehan (Tapping Panel Shade) daripada menjadi lembab dan basah apabila hujan.
Alat terbabit yang diperbuat daripada bahan mudah alih dan ringan iaitu Polyvinyi Chloride (PVC) yang dipasang pada bahagian pokok yang bertoreh berfungsi sebagai `penyelamat’ kepada cawan getah dan tapak torehan daripada basahan air hujan.
Beberapa ladang yang ditanam pokok getah milik KLPK iaitu Ladang Bukit Perak Utara di Pendang dan Ladang Bukit Nguan di Kuala Nerang Kedah sudah menggunakan alat pelindung hujan membabitkan pemasangan sebanyak 149, 621 unit alat tersebut.
Selain itu, pekebun kecil Risda di tiga tempat iaitu di Kampung Bukit Kuang Gurun, Kampung Ambing Mukim Kupang Baling dan Kampung Bukit Buluh, Serdang, Kedah juga sudah menggunakan alat berkenaan melibatkan sebanyak 1,626 unit telah dipasang di kawasan itu,” katanya.
Cara memasangnya amat mudah Dengan menggunakan 10 jenis peralatan iaitu pencair, tar, berus besi, berus cat, stapler, scarper, gunting, cermin mata, topeng hidung dan kayu, pemilik ladang boleh memasangnya dalam masa kira-kira 5-10 minit sahaja.
Alat terbabit yang mempunyai lengkungan berbentuk bulat perlu dipotong di bahagian belakang bagi memudahkan kerja pemasangan pada pokok getah. Stapler pula digunakan bagi melekatkan alat itu pada bahagian torehan sebelum disapu dengan tar atau sealant bagi menguatkan cengkaman alat berkenaan pada pokok getah.
Jarak memasangnya berukuran antara lapan inci dari tapak torehan (panel torehan) dengan bahagian yang terjulur perlu menghala ke arah cawan getah supaya apabila hujan, air tidak akan menitik ke dalam cawan berisi getah yang masih cair.
Banyak kebaikan menggunakan alat tersebut. Antaranya mampu mengekalkan aliran udara pada bahagian panel torehan, sekali gus menghalang kehadiran kulat perosak di bahagian panel torehan, melancarkan aliran susu getah tanpa gangguan hujan, membolehkan kekerapan penorehan hingga 95 peratus dan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Buat masa ini KLPK belum bercadang untuk memperluaskan pasaran alat itu secara terbuka di kedai-kedai kerana dibimbangi produk berkenaan akan menjadi mangsa perbuatan pemalsuan produk oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan mahu mengaut keuntungan lebih.
Produk berkenaan dijual dengan harga berpatutan, jika dibeli dalam kuantiti yang banyak, potongan harga akan diberi kepada mereka yang berminat.
Sementara itu, seorang pekerja Ladang Bukit Perak Utara, Pendang, Idrus Mahmud, 55, berasal dari Temerloh, Pahang berkata, ternyata menggunakan alat pelindung hujan dapat mengelak pokok getah daripada basah apabila hujan.
“Selain boleh meningkatkan pendapatan, Penggunaan alat tersebut boleh menyelamatkan pokok getah yang ditoreh daripada ditumbuhi kulat perosak pada bahagian panel torehan,” katanya.