Inovasi Produk Cendawan ‘Kukur Emas’
‘CENDAWAN Kukur’ atau panggilan lain ‘Kulat Sisir’ atau nama saintifiknya schizophyllum commune adalah spesis cendawan yang tumbuh meliar pada kayu reput dan biasanya ditemui pada batang kayu getah.
Sambutan hangat masyarakat terhadap masakan berasaskan cendawan kukur mendorong minat Mohd Rashid Samsudin, 37 mengusahakan penanaman cendawan tersebut secara komersial sejak tahun 2014.
Menurut Mohd Rashid, ilham menanam cendawan timbul apabila beliau menyertai program keusahawanan Symbiosis MTDC yang dianjurkan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Koridor Utara Malaysia (NCIA) pada tahun 2013. Ini merupakan program teknousahawan (Techno-preneurship) yang memberi peluang pada para graduan tempatan untuk menjalankan perniagaan bagi mengkomersialkan teknologi hasil kajian dan inovasi daripada universiti atau pusat penyelidikan tempatan seperti MARDI, MPOB, FRIM, Lembaga Koko Malaysia, Agensi Nuklear Negara dan sebagainya.
Menerusi program keusahawan Symbiosis MTDC ini, pada Ogos 2013 syarikat Norsym Sendirian Berhad telah ditubuhkan bagi mengkomersialkan teknologi penghasilan benih cendawan kukur hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Teknologi ini telah dilesenkan kepada syarikat Norsym Sendirian Berhad dengan bantuan pembiayaan daripada MTDC dibawah Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Teknologi Teknologi (CDRF). Syarikat Norsym Sendirian Berhad mendapat sokongan penuh dari Dato’ Norhalim Yunus, Ketua Eksekutif MTDC bagi usaha mengkomersialkan teknologi cendawan kukur di Malaysia.
Pada tahun 2015, Rashid telah mencuba nasib dibawah nama syarikat Coconut Island Resources bagi pertandingan Rural Business Challenge (RBC) yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ketika itu bagi merebut hadiah berbentuk geran untuk kategori pengembangan perniagaan. Berkat usaha dan sokongan dari keluarga dan rakan-rakan, Rashid berjaya memenangi pertandingan RBC dan dinobatkan sebagai pemenang RBC Jaya 2015.
Beroperasi di Kg Alor Batu, Mukim Gelong, Jitra, Kedah, beliau kini mempunyai lima orang pekerja. Tapak ladang sedang dibangunkan menggunakan geran RBC dan MTDC.
Beliau yang berasal dari Kampung Pulau Nyior, Jitra berkata tempoh hasil cendawan kukur ini boleh dituai dalam masa empat minggu di mana dua minggu pemeraman, satu minggu hasil tuaian kali pertama dan satu minggu hasil tuaian kali kedua.
Rashid berkata antara masalah utama yang dihadapi ialah penyakit serangan serangga kerana cendawan kukur mengeluarkan bau yang kuat bagi menarik pelbagai jenis serangga.
“Serangga yang hadir akan bertelur dan membiak pada beg cendawan dan merosakkan cendawan,” katanya dalam satu pertemuan dengan Agro Malaysia Online.
Untuk mengatasi masalah ini, katanya, rumah cendawan perlu ‘direhatkan’ selepas selesai hasil tuaian. Ia adalah untuk memastikan rumah cendawan dalam keadaan bersih serta bebas dari serangga perosak.
KHIDMAT NASIHAT MARDI
Dalam tempoh dua tahun syarikatnya beroperasi, Rashid yang mendapat khidmat nasihat pelesenan teknologi daripada MARDI berkata beliau turut mendapat latihan intensif di Thailand yang dibiayai oleh pihak MTDC.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang banyak membantunya seperti MTDC, MOSTI, KKLW, Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Pertanian dan MADA.
Katanya lagi, cendawan kukur dipasarkan ke seluruh negara melalui ejennya di setiap negeri, secara perseorangan, terus dari ladang, menerusi media sosial seperti facebook, instagram dan Expo seperti MAHA, SDSI dan KUD.
“Sambutan pelanggan amat menggalakkan kerana cendawan yang di-usahakan secara komersial tidak banyak di negara ini.
“Cendawan ini lebih dikenali dan diminati oleh masyarakat Melayu berbanding kaum Cina dan India,” kata anak jati Jitra, Kedah. Beliau mensasarkan pengeluaran cendawan kukur secara komersial sebanyak 200 kilogram sebulan. Menurut beliau lagi, sasaran masa depan ialah sejumlah pengeluaran satu tan sebulan dengan harga cendawan kukur segar mencecah RM80.00 sekilogram.
Rashid menjelaskan cabaran yang dihadapinya ialah masyarakat masih tidak tahu cendawan kukur. Dalam isu ini, kita kena mendidik masyarakat supaya mengenali dan makan cendawan kukur terutamanya generasi Y dan mereka yang tinggal di bandar kurang pengetahuan tentang cendawan ini.
Pada masa hadapan, beliau bercadang mengeluarkan produk hiliran seperti burger dan serunding yang berasaskan cendawan.
Bahan Pengganti Daging
“Cendawan kukur mempunyai tekstur liat serta rasa seperti daging. Oleh itu cendawan ini amat sesuai untuk diproses sebagai bahan pengganti daging untuk makanan berasaskan sayuran,” katanya.
Rashid lulusan Ijazah Sarjana Muda Pemutusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menerima banyak anugerah, antaranya Best CEO Small Medium Enterprise UUM pada tahun 2014, Winner of Rural Business Challenge pada tahun 2015 dan Commodity Farmer Award pada tahun 2012.
Kepada usahawan baru yang mahu menceburi bidang ini, beliau menasihati mereka supaya mengikuti kursus-kursus untuk memahami dengan lebih arif tentang kaedah penanaman dan pemasaran cendawan kukur.
“Ini adalah kerana cendawan kukur dan cendawan tiram adalah amat berbeza sama sekali,” jelasnya.
Katanya, cendawan kukur berbeza dengan cendawan tiram dari segi kaedah penanaman, penjagaan, suhu, kelembapan, formulasi, serangan penyakit dan teknik lepas tuai.
“Cendawan kukur ditanam menggunakan sistem gantung berbeza dengan jenis cendawan tiram yang disusun secara bertingkat,” katanya lagi.
PRODUK NORSYM SDN BHD
Produk yang dihasilkan oleh syarikat ini ialah benih cendawan, cendawan kukur segar dan kering Norsym Sendirian Berhad mengkomersialkan teknolgi penghasilan benih cendawan kukur hasil kajian MARDI dengan kerjasama MTDC bagi tujuan pemindahan teknologi.
Menerusi teknologi ini, syarikat mampu menghasilkan benih cendawan berkualiti dalam kuantiti yang banyak bagi menampung permintaan.
Pada masa ini, syarikat memberi tumpuan kepada penghasilan cendawan kukur dengan mengeluarkan produk jenama Kukur Emas (KE). Dengan teknologi yang sama, syarikat mampu berkembang maju dengan penghasilan pelbagai variati cendawan untuk memenuhi permintaan industri cendawan negara.
KAYA KHASIAT
Berdasarkan kajian, cendawan mengandungi banyak khasiat dan nilai perubatan yang tinggi. Seperti mana cendawan Lingzhi (ganoderma lucidum), Cordyceps, cendawan susu harimau (lignosus rhinoceros), cendawan kukur juga merupakan dari kumpulan cendawan perubatan. Ia mengandungi schizophyllan iaitu bahan aktif dalam ubat anti tumor dan anti kanser selain dikatakan dapat membantu meningkatkan sistem imunasi, anti radangan, anti bakteria, anti parasit, antioxidan dan melindungi hati.
Selain dari penggunaan dalam industri perubatan, bahan aktif ini turut digunapakai dalam industri kosmetik termasuk industri minyak dan gas. Syarikat antarabangsa Wintershall’s di German telah menggunapakai bahan aktif schizophyllan dalam membantu meningkatkan ekplorasi pengeluaran dan penghasilan minyak mentah dan gas asli. Perbezaan kukur emas dengan cendawan kukur yang lain ialah cendawan ini ditanam, cukup nutrisi, bersih dari bendasing (seperti kulit kayu), selamat untuk dimakan, saiz lebih besar, warna lebih cerah dan keemasan. Menariknya cendawan ini boleh dikeringkan untuk disimpan dan tahan lebih lama sehingga satu tahun.