Tanam Roselle Sampai Jadi
POKOK roselle di kalangan penduduk tempatan dipanggil asam paya atau asam susur. Pokok roselle atau nama saintifiknya hibiscus sabdariffal adalah dari keluarga malvaceae yang boleh hidup subur di Malaysia. Pokok yang berasal dari Afrika Barat ini boleh ditanam melalui benih atau keretan batang yang telah matang.
Di negara ini roselle ditanam secara komersial di kawasan pantai timur terutama di Kelantan dan Terengganu.
Cara Mudah Tanam Roselle Dari Benih
1. Sediakan tapak semaian anggaran 4×4 kaki. Campur tanah dengan sedikit pasir dan baja organik.
2. Tapak semaian perlu mendapat cahaya suria pagi. Tapak semaian boleh buat sendiri sekiranya anda tidak mempunyai tanah.
3. Biarkan dua minggu hingga baja organik mereput. Jangan lupa siram air setiap hari.
4. Rendam benih roselle selama tiga hingga lapan jam.
5. Untuk tanam benih roselle gunakan ranting atau pensil untuk membuat lubang di tapak semaian.
6. Masukkan satu atau dua benih roselle dalam lubang tersebut. Jarak antara satu lubang ke satu lubang enam inci dan dalamnya tiga inci.
7. Tutup tanaman tersebut dengan plastik jernih, pelepah kelapa atau kelapa sawit.
8. Kekalkan kelembapan tanah dengan semburan halus.
9. Selepas tujuh hari benih akan bercambah. Buka penutup tapak semaian tersebut. Jika sudah tumbuh daun empat atau lima helai pindahkan anak pokok tersebut ke dalam pasu atau kawasan tanaman baru.
10. Semasa pemindahan anak pokok lakukan dengan cermat supaya tidak menjejaskan akarnya.
11. Siram pada waktu pagi . Jangan biarkan air bertakung dalam tanaman kerana boleh merosakkan pokok tersebut.
12. Gunakan baja organik selepas dua minggu. Ikut sukatan yang sesuai dengan tanaman. Baja setiap empat hari sekali.
13. Pokok roselle akan mula berbunga selepas enam minggu di alih dari tapak semaian. Buahnya boleh dituai selepas dua minggu kemudian.
14. Ketinggian pokok rosselle boleh mencecah tiga meter. Jika pokok mula meninggi guna pancang untuk menampung pohon tersebut.
Khasiat Roselle
> Kajian saintifik menunjukkan roselle amat kaya dengan khasiat dan nilai perubatan yang tinggi.
> Ekstrak roselle mengandungi vitamin C serta amat bermanafaat sebagai antioksidan.
> Melancarkan perjalanan darah, mencegah penyakit jantung, memiliki anti bakteria dan mengubat asma.
> Roselle yang dijadikan minuman juga membantu menghaluskan kulit, mengubat penyakit kulit, meningkatkan stamina tubuh dan mengubat insomnia serta mencergaskan minda.
> Selain dibuat jus, buah roselle juga kini diinovasikan untuk menjadi ubat gigi serta mandian.