Bio-Seed & Bio GS3 Penjana Peningkatan Hasil Tani
Oleh: Wartawan Agro Malaysia
DALAM merangka pelan pembangunan negara, kerajaan turut menumpukan perhatian terhadap bidang pertanian dengan memperkenalkan kaedah pelaksanaan tanaman menggunakan teknologi tinggi seperti pelaksanaan projek tanaman rumah hijau, fertigasi dan hidroponik yang terbukti berjaya meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.
Menyedari hakikat ini, sebuah syarikat yang beroperasi di Serdang, Selangor, Agribolics Technology Sdn Bhd (Agribolics Technology) tampil membantu petani. Dua jenis produk, Bio-Seed dan Bio-GS3 masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri kini berjaya mempengaruhi minat petani, termasuk pengusaha sawah padi.
Dua jenis produk terbabit dicipta oleh bukan calang-calang individu. Justeru, petani tidak perlu bimbang menggunakan produk berkenaan yang bertindak sebagai unsur penggalak tanaman dan bahan untuk melindungi tanaman dari ancaman musuh perosak.
Pengarah yang juga Ketua Pegawai Sains Agribolics Technology, Dr. Mohd Amir Fursan Abdullah, 49, berkata Bio-Seed yang mengandungi metabolit berfaedah daripada bakteria seperti enzim, antibiotik dan hormon yang berperanan meningkatkan pertumbuhan dan ketahanan pokok serta meningkatkan kesuburan tanah manakala Bio-GS3 adalah bahan yang dicipta khas untuk kawalan musuh tanaman diperbuat daripada eksktrak semulajadi tumbuhan herba yang mempunyai impak untuk mengurangkan serangan tikus, burung pipit dan serangga perosak. Produk berkenaan yang dihasilkan dalam bentuk cecair dicipta sendiri Dr. Mohd Amir yang berkelulusan dalam bidang Mikrobiologi (BSc, MSc Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bidang Biokimia (PhD Universiti Ohio State Amerika Syarikat).
“Selain tanaman padi, Bio-GS3 dan Bio-Seed juga sesuai digunakan untuk tanaman lain seperti jagung, cili, timun, kacang panjang, petola, kelapa sawit dan getah. Untuk tanaman padi sawah, petani di satu kawasan di Negeri Sembilan berjaya memperoleh pengeluaran hasil antara 5 dan 7.9 tan sehektar untuk semusim apabila menggunakan produk kami, berbanding cuma 1.9 hingga 3.8 tan sehektar sebelumnya.
“Penanaman percubaan di Pusat Kecemerlangan Padi Titi Serong Perak pula mencatatkan peningkatan potensi hasil begitu mendadak iaitu 13.1 tan sehektar atau pada kadar sebanyak 46 peratus apabila menggunakan produk ini,” katanya.
Air perlu dibuang dari bekas rendaman benih dan benih perlu disejatkan semalaman sebelum kerja menabur benih dilakukan di sawah. Semasa proses tumbesar padi, Bio-Seed perlu disemburkan pada pokok padi di peringkat awal dan akhir batang beranak, peringkat bunting dan peringkat selepas pokok mula mengeluarkan buah.
Untuk mendapatkan impak lebih baik, pada peringkat ini, petani disyorkan supaya melakukan semburan menggunakan Bio-Seed dan Bio-GS3 bertujuan menyelamatkan tanaman daripada menjadi sasaran serangan serangga perosak dan masalah kulat yang boleh merosakkan tanaman.
Dr. Mohd Amir berkata, kedua-dua produk tersebut mula diperkenalkan untuk pesawah pada tahun 2012 dan akhir tahun lalu. Ia mendapat pengikhtirafan dari beberapa pihak tertentu, antaranya seperti Syarikat Pengeluaran Beras dan Padi Negara (BERNAS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MARDI dan FELCRA. Dalam program Rakan Ladang BERNAS, produk keluaran Agribolics Technology juga digunapakai.
Di samping itu, keberkesanan produk tersebut mendapat perhatian Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang menggunakannya dalam Program Input Pertanian Bersepadu agensi terbabit selain FELCRA Niaga turut komited menjadi pembekal untuk kegunaan estet padi yang diusahakan agensi itu di FELCRA Seberang Perak.
“Kami memberi jaminan kepada petani bahawa Agribolics Technology berupaya mengeluarkan produk berkualiti ini secara berterusan. Kilang kami yang beroperasi di Pusat Teknoloji UPM-MTDC, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang mempunyai kakitangan dan pegawai berkemahiran dalam bidang Bioteknologi,” kata Dr. Mohd Amir.
Bagi mengukuhkan keberkesanan produk terbabit, seorang pesawah di Pendang, Kedah yang cuma mahu dikenali sebagai Pak Andak Bri, 60, berkata produk berkenaan teryata boleh meningkatkan kesuburan tanah dan pokok padi yang ditanamnya tumbuh begitu subur selain bahan itu tidak memudaratkan pokok tersebut. “Sejak sekian lama mengusahakan sawah, kali ini baru saya berjumpa dengan produk untuk menyuburkan tanaman yang benar-benar baik apabila padi yang ditanam mengeluarkan hasil yang lebat dan bernas.
“Siapa yang tidak mahu melihat padi berbuah lebat, oleh itu saya terus mengambil keputusan untuk menggunakan produk ini, lagi pun harganya tidaklah mahal sangat dan saya percaya petani mampu membelinya,” katanya lagi.
Orang ramai, terutama petani yang mahukan maklumat lanjut mengenai produk ini boleh menghubungi Dr. Mohd Amir di talian 016-3963 810.